Tokoh

Al-Kindi: Aset Genius Dalam Dunia Islam

Oleh Anas  •  23 Jun 2017  •  3 min baca

Al-Kindi dilahirkan di Kufah sekitar tahun 800 C.E dengan nama sebenar Abu Yousuf Yaqub Ibn Ishaq al-Kindi. Al-Kindi adalah seorang anak pegawai kepada Haroon al-Rashid.

Al-Kindi membesar sezaman dengan nama-nama hebat seperti al-Mamun, al-Mu’tasim dan al-Mutawakkil. Malah, beliau pernah bekerja sebagai juru khat kepada Mutawakkil. Namun begitu, Mutawakkil tidak menyenangi pemikiran al-Kindi dalam hal falsafah sehingga beliau telah merampas buku-buku al-Kindi.

Al-Kindi dilahirkan dan dibesarkan di Kufah yang menjadi pusat kepada budaya Arab dan ilmu pada abad ke 9. Maka, ini adalah tempat terbaik untuk al-Kindi mendapatkan pendidikan terbaiknya.

Ada juga yang mendakwa bapa al-Kindi merupakan gabernor di Kufah sebagaimana datuknya sebelum itu. Ada juga maklumat yang menyatakan beliau berketurunan puak Diraja Kindah yang berasal dari selatan Arab.

Selepas menamatkan pengajiannya di Kufah, al-Kindi berhijrah ke Baghdad untuk melengkapkan pengajiannya. Kemasyhurannya pada masa itu telah menarik perhatian Khalifah al-Ma’mun yang pada masa sama sedang menubuhkan Bayt al-Hikma di Baghdad.

Bayt al-Hikma ialah sebuah akademi di mana karya-karya sains dan falsafah dari Greek diterjemahkan. Al-Mamun juga membina sebuah perpustakaan dipenuhi manuskrip dan merupakan perpustakaan pertama sejak di Alexandria. Ia mengumpulkan karya-karya penting dari Byzantium.

Selain itu, Al-Mamun juga membina sebuah balai cerap di mana astronomi muslim boleh mendapatkan ilmu yang diperolehi oleh cendekiawan terdahulu.

Al-Kindi, bersama-sama dengan al-Khawarizmi dan saudara Banu Musa mendapat peluang untuk menyertai akademi tersebut. Sebagaimana tujuan akademi itu ditubuhkan, maka al-Kindi bertanggungjawab menterjemahkan manuskrip-manuskrip sains berbahasa Greek.

Kematian al-Mamun menyebabkan kuasa pemerintahan berpindah kepada saudara lelakinya iaitu al-Mu’tasim. Al-Mu’tasim menggemari al-Kindi sehingga mengambil beliau sebagai tutor kepada anaknya yang bernama Ahmad.

Al-Kindi turut merasai berada di bawah pemerintah yang lain selepas itu iaitu Al-Mutawakkil. Namun, semasa berada di bawah Al-Mutawakkil, keadaan mulai berubah.

Al-Mutawakkil telah menindas mereka yang bukan ortodoks dan juga bukan Islam. Malah kuil dan gereja mereka juga dimusnahkan.

Al-Kindi juga turut terkesan dalam hal itu sehingga pada suatu masa beliau dipukul. Manakala perpustakaan beliau pula diserahkan kepada Banu Musa.

Walaupun dugaan yang dihadapi beliau amat berat, Al-Kindi tetap dikenali sebagai seorang ahli falsafah, ahli matematik, dan ahli sains.

Al-Kindi telah menulis banyak karya mengenai aritmetik, termasuklah manuskrip-manuskrip mengenai nombor India, keharmonian nombor, garis dan pendaraban dengan nombor, kuantiti relatif, mengukur masa dan bahagian, serta prosedur kod berangka.

Beliau juga mengambil berat tentang bidang geologi, geografi, muzik, pembuatan pedang, malah termasuk seni masakan. Al-Kindi telah menulis kira-kira 270 karya yang kebanyakannya karya pendek. Ia telah dibahagikan kepada 7 kumpulan.

Ini bermaksud karya-karya al-Kindi meliputi bidang yang luas. Ibn al-Nadim dalam karyanya ‘al-Fihrist’ menggambarkan beliau sebagai manusia terbaik dalam zamannya yang mempunyai ilmu pengetahuan yang unik mengenai semua sains kuno.

Perkara ini diakui juga oleh ilmuwan yang lain seperti Durant yang menggelarnya pakar dalam pelbagai bidang, mempelajari semua perkara dan menulis hampir semua bidang.

Al-Kindi juga merupakan ilmuwan Arab yang pertama mempelajari dan menulis komentar ke atas karya sains Greek dan manuskrip-manuskrip falsafah.

Bagi menghargai sumbangan Al-Kindi, namanya telah diletakkan di sebuah hospital iaitu Hospital Awam Al-Kindi. Ia merupakan antara pusat perubatan terbesar di Baghdad.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Anas

Anas

Seorang penulis yang suka bereksperimentasi dengan pelbagai bidang dalam penulisan. Pernah menulis buku kanak-kanak dan juga majalah.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami