Tokoh

Al-Farabi: Ayuh Kita Selusuri Kehebatan Keluasan Ilmunya

Oleh Anas  •  3 Jun 2017  •  3 min baca

Pada tahun 259 A.H (870 C.E), lahirlah seorang bayi lelaki di sebuah perkampungan kecil berhampiran Farab di Turkistan.

Kampung bernama Wisaj itu menyaksikan kelahiran Abu Nasr Mohammad Ibn al-Farakh al-Farabi yang akan memberi sumbangan besar kepada dunia Islam dan dunia keseluruhannya.

Asal keturunan beliau bukanlah dari Turkistan. Keluarganya berada di Turkistan kerana moyangnya berhijrah ke Turkistan. Ibu bapa Al-Farabi sebenarnya berketurunan Parsi.

Pendidikan awal Al-Farabi bermula di Farab dan Bukhara. Setelah itu, beliau pergi ke Baghdad untuk meneruskan pengajiannya. Baghdad menjadi lokasi penerokaan ilmunya.

Ilmu milik Allah terlalu luas. Jadi, Al-Farabi mengembara ke merata tempat termasuk Damascus dan Mesir untuk beberapa ketika.

Kembaranya ke Aleppo telah menemukannya dengan si pemerintah yang kemudiannya menjadi sahabatnya. Persahabatan itu juga menjadi asbab namanya dikenali ramai selepas itu.

Hidup telah memberikan banyak ilmu dan pengalaman, lantas menjadikan beliau seorang yang bijaksana. Beliau berjaya menguasai banyak bahasa dan cabang ilmu.

Beliau pernah menjadi hakim, namun akhirnya memilih untuk menjadi pengajar bagi mendidik dan menyebarkan ilmunya kepada lebih ramai orang.

Sumbangan al-Farabi meliputi pelbagai bidang seperti sains, falsafah, logik, sosiologi, perubatan, matematik, dan muzik.

Semua bidang ini telah mendapat manfaat daripada buah pemikirannya. Tapi, falsafah, logik, dan sosiologi adalah bidang yang paling banyak mendapat ideanya. Kerana itu, Al-Farabi dikenali bukan sahaja sebagai ahli falsafah, malah ahli sains juga.

Dalam bidang falsafah, Al-Farabi dikenali sebagai Neoplatonist di mana beliau cuba mensintesiskan Platonisme dan Aristotelisme dengan teologi.

Beliau telah menulis banyak komentar ke atas karya fizik, meteorologi, logik dan lain-lain milik Aristotle. Oleh itu, tidak mustahil selepas itu beliau digelar sebagai al-Mou’allim al-Thani yang bermaksud ‘guru kedua’ selepas Aristotle.

Selain itu beliau juga banyak menghasilkan karyanya sendiri. Buku Fusus al-Hikam beliau telah dijadikan buku teks selama beberapa abad di pebagai institusi pengajian dan masih digunakan khususnya di Timur.

Ara Ahl al-Madina al-Fadila adalah antara buku terkenal beliau dalam bidang sosiologi yang turut menyumbang kepada bidang sains politik.

Buku beliau yang bertajuk Kitab al-Ihsa al-Ulum membincangkan tentang klasifikasi dan prinsip asas sains secara teratur dan berguna.

Sumbangan penting Al-Farabi dalam bidang logik adalah apabila beliau membahagikan ia kepada dua kategori iaitu Takhayyul (idea) dan Thubut (bukti).

Sains dan seni pula digabungkan dalam bidang muzik sehingga beliau berjaya menghasilkan alat muzik dan mampu memainkannya dengan baik.

Beliau juga telah menyumbang ilmu dalam nota muzik. Kajiannya direkodkan di dalam buku beliau yang bertajuk Kitab al-Musiqa.

Al-Farabi telah menghasilkan 117 buah buku di mana 43 darinya adalah berkaitan logik, 17 mengenai muzik, perubatan dan sosiologi, 11 metafizik, 11 komentar, 7 berkaitan etika, dan 7 sains politik.

Sebenarnya ini bukanlah jumlah sebenar karya beliau kerana banyak lagi karya beliau yang telah hilang.

Al-Farabi merasai pengalaman hidup di bawah pemerintahan 6 orang khalifah Abbasiyah. Beliau meninggal dunia pada usia 80 tahun.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Anas

Anas

Seorang penulis yang suka bereksperimentasi dengan pelbagai bidang dalam penulisan. Pernah menulis buku kanak-kanak dan juga majalah.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami