Tokoh

Al-Battani: Kehebatan Ilmu Bintangnya Dikagumi

Oleh Anas  •  16 Jun 2017  •  2 min baca

Albategnius, Albategni, dan Albatenius merupakan nama terkenalnya dalam bahasa Latin. Tapi, nama sebenar beliau ialah Abu Abdullah Mohammad ibn Jabir ibn Sinan al-Raqqi al-Harrani al-Sabi al-Battani.

Al-Battani dilahirkan di Harran sekitar tahun 858 C.E. Lokasi itu pada asalnya dikenali sebagai Carrhae oleh orang Rom. Ia terletak di Sungai Balikh, 38km tenggara Urfa. Keluarganya adalah ahli Sabian iaitu golongan yang menyembah bintang.

Pendidikan awalnya diterima daripada bapanya sendiri yang juga seorang ahli sains terkemuka iaitu Ibn San’an al-Battani.

Ada pendapat mengatakan yang bapa beliau ialah Jabir ibn Sinan al-Harrani iaitu seorang yang mempunyai reputasi bagus sebagai pembuat alatan di Harran. Oleh itu, Al-Battani dipercayai telah mewarisi kemahiran bapanya itu dalam membuat alatan untuk ilmu falak atau astronomi.

Berbalik kepada pendidikan beliau, setelah menuntut ilmu daripada bapanya, al-Battani kemudian berpindah ke Raqqa yang terletak di tebing Euphrates untuk meneruskan pengajian. Di sinilah jugalah berlakunya perkembangan dalam hidupnya sehinggga beliau menjadi cendekiawan terkemuka.

Kerana dilahirkan di dalam kelompok penyembah bintang, maka minatnya juga cenderung ke arah itu. Ini bukanlah minat yang pelik di dalam kumpulan itu.

Justeru, mereka telah melahirkan ahli kaji bintang dan ahli matematik seperti Thabit ibn Qurra yang lahir di Harran juga. Walau bagaimanapun, Al-Battani diyakini bukanlah penyembah bintang. Beliau adalah seorang Muslim.

Karya gemilang Al-Battani adalah Kitab al-Zij yang mengandungi 57 bab. Cetakan pertama adalah pada pada tahun 1116. Ia kemudian telah diterjemah kepada bahasa Latin bertajuk De Motu Stellarum oleh Plato pada tahun 1537 dan seterusnya pada tahun 1645. Selain bahasa Latin, ia turut diterjemah ke dalam bahasa Sepanyol.

Kitab al-Zij menyentuh dan membincangkan beberapa perkara termasuk masalah-masalah astronomi dan astrologi, pergerakan matahari, bulan, dan 5 planet, serta pembinaan jam matahari dan alatan ilmu falak.

Tulisan dari Kitab al-Zij telah disebut juga di dalam sebuah buku bertajuk The Fihrist, iaitu kompilasi karya yang dikumpul oleh seorang peniaga buku iaitu Ibn an-Nadim pada tahun 988.

Sumbangan terbesar Al-Battani adalah beliau telah berjaya merekodkan 489 bintang. Beliau juga adalah individu yang bertanggungjawab meletakkan setahun dengan jumlah 365 hari, 5 jam, 48 minit, dan 24 saat.

Al-Batani tidak menggunakan kaedah geometri sebagaimana yang dilakukan oleh Ptolemy. Sebaliknya, beliau telah melangkah ke hadapan apabila menggunakan metod trigonometri yang dilihat lebih maju.

Malah, al-Battani turut dikagumi kerana mampu membuat kiraan yang lebih tepat dalam pemerhatiannya.

Oleh itu, kehebatan beliau turut diakui oleh tokoh sains yang lain. Maka, pengaruh ilmu Al-Battani turut sampai kepada tokoh sains terkenal seperti Tycho Brahe, Kepler, Galileo, dan Copernicus.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Anas

Seorang penulis yang suka bereksperimentasi dengan pelbagai bidang dalam penulisan. Pernah menulis buku kanak-kanak dan juga majalah.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami