Tokoh

Al-Baitar: Ahli Ekspedisi Yang Mencari Tumbuh-Tumbuhan

Oleh Anas  •  20 Jun 2017  •  3 min baca

Ibn Al-Baitar meninggal dunia pada 1248 Masihi. Semasa hayatnya, beliau merupakan salah seorang ahli sains muslim terkemuka di bumi Sepanyol, dan juga ahli botani dan ahli farmasi terhebat semasa Zaman Pertengahan.

Al-Baitar dilahirkan pada penghujung abad ke-12 di bandar Malaqa (Malaga). Guru botaninya adalah Abu al-Abbas al-Nabati yang merupakan seorang ahli botani. Mereka sama-sama mengumpulkan tumbuh-tumbuhan.

Pada tahun 1219 Masihi, Al-Baitar telah meninggalkan Sepanyol untuk satu ekspedisi mengumpulkan tumbuh-tumbuhan. Minatnya terhadap bidang ini telah membawa beliau melawati banyak tempat termasuk Bugia (Algeria), Qastantunia atau Constantinople (Istanbul), Tunis (Tunisia), Tripoli (Libya), Barqa (Lubnan) dan Adalia atau Antalya di Turki.

Apa yang dilakukannya telah menarik minat Al-Kamil. Lalu, beliau ditawarkan untuk berkhidmat kepada al-Kamil yang merupakan Gobenor Mesir pada ketika itu. Al-Baitar telah dilantik sebagai ketua ahli herba.

Penaklukan Al-Kamil ke atas Damascus (Syria) pada tahun 1227 Masihi merupakan satu peluang yang baik kepada al-Baitar untuk meneruskan kajian, sekaligus menambah ilmu dalam bidang yang diceburinya. Ini kerana beliau perlu menemani Al-Kamil ke sana. Jadi, Al-Baitar mengambil peluang ini untuk mengumpul tumbuhan di Syria.

Kajiannya ke atas tumbuh-tumbuhan terus berkembang sehingga ke Arabia dan Palestin. Kesemuanya adalah hasil daripada lawatan peribadi beliau atau semasa beliau ditugaskan ke lokasi-lokasi tertentu. Dengan semua ekspedisi mengumpulkan tumbuh-tumbuhan ini, Al-Baitar didapati telah memperkembangkan kawasan pengumpulannya di bahagian Arab dan Palestin.

Justeru, sumbangan terbesar Al-Baitar pastinya adalah buku yang mengumpulkan kesemua ilmunya. Buku bertajuk Kitab al-Jami fi al-Adwiya al-Mufrada merupakan kompilasi terbesar mengenai botani atau digelar sebagai ensiklopedia pharmacopoeia.

Sebanyak 1400 jenis tumbuh-tumbuhan dan makanan untuk tujuan perubatan berjaya direkodkan. 200 daripada jumlah tersebut adalah tumbuhan yang tidak diketahui sebelum beliau menemuinya.

Beliau juga memberikan ilham dalam penghasilan air oren dan air ros yang merangkumi proses mengekstrak sirap daripada bunga-bungaan dan dedaun yang jarang-jarang ditemui melalui penggunaan minyak dan lemak.

Karya itu juga merujuk kepada 150 pengarang yang majoritinya adalah Arab selain turut mengambil kata-kata kira-kira 20 ahli sains Greek terawal. Kerana itu, kewujudan karya ini telah mendapat tempat di hati ahli botani sehingga abad ke-16.

Karyanya yang bertajuk Kitab al-Mughni fi al-Adwiya al-Mufrada juga merupakan sebuah ensiklopedia. Namun karya ini lebih menampakkan kecenderungannya kepada perubatan. Ubat-ubatan disenaraikan mengikut nilai terapeutik. Ia dibahagikan kepada 20 bahagian berbeza. Ini termasuklah tumbuh-tumbuhan yang bagus bagi mengubati penyakit di kepala, telinga, mata dan sebagainya.

Malah, tumbuh-tumbuhan itu juga telah diberi nama dalam bahasa Arab, Greek dan Latin oleh Al-Baitar. Dengan meletakkan nama dan penggunaan bahasa yang berbeza, penyampaian ilmu dapat dilakukan dengan lebih meluas.

Sumbangan Al-Baitar dalam bidang botani dan perubatan bukan sahaja mempengaruhi ilmu di timur, malah di barat juga. Setelah karyanya diterjemah, banyak kajian daripada ahli sains yang menjadikan bukunya sebagai rujukan mereka.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Anas

Seorang penulis yang suka bereksperimentasi dengan pelbagai bidang dalam penulisan. Pernah menulis buku kanak-kanak dan juga majalah.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami