Remaja

Aku Adalah Pemuda Luar Biasa

Oleh Rasyidah Rahmat  •  24 Oct 2018  •  5 min baca

Sudah berminggu saya membiarkan aktiviti penulisan artikel saya tergendala disebabkan beberapa perkara yang menguji. Lumrah kehidupan, ada masalah yang diundang dan ada masalah yang tidak diundang.

Rupanya, kehidupan sebagai seorang bekerjaya dan seorang pelajar 360 darjah bertukar dan sangat berbeza!

Waktu saya masih di zaman belajar seringkali saya tertanya-tanya. Bagaimana rasanya menjadi seorang yang berkerjaya?

Pasti seronok kerana tidak lagi terikat dengan tugasan assignment tidak perlu lagi ke kelas dan tidak perlu untuk menahan mata siapkan pembentangan untuk esok!

Namun, jangkaan saya meleset sekali lagi. Sebenarnya yang paling utama di sini ialah pengurusan masa sebagai seorang da’iee. Bukan seorang manusia. Mengapa?

Kita Semua Adalah Da’ie

Sebagai seorang pemuda yang masih memegang status bujang sangat perlu kemahiran dalam pengurusan masa. Mengapa? Kerana di waktu kita masih hidup sendiri, kita perlu cemerlang dalam subjek pengurusan masa.

Jika kita terkandas, bagaimana pula untuk menguruskan masa hidup sebagai da’ie apabila kita menjadi seorang yang ada kerjaya, ada tanggungjawab sebagai seorang da’ie, seorang suami/isteri, tambah lagi ada anak-anak. Jangan sampai hidup kita tunggang terbalik pula.

Sebagai mukadimah, kefahaman ini perlu diingatkan agar kita berusaha bersama menjadi pemuda yang luar biasa.

“Barangsiapa yang memelihara ketaatan kepada Allah di masa muda dan masa kuatnya, maka Allah akan memelihara kekuatannya di saat tua dan saat kekuatannya melemah. Ia akan tetap diberi kekuatan pendengaran, penglihatan, kemampuan berfikir dan kekuatan akal.” Ibn Rajab

Imam Hassan Al-Banna

Anda pernah dengar sebaris nama ini? Pernah menelusuri kisah perjuangan beliau?

Saya pernah membaca perjalanan kehidupannya yang penuh dengan ujian dan cabaran dalam membawa risalah Islam. Mujadid yang sungguh hebat membawa perubahan yang gemilang dalam tamadun Islam.

Di dalam penulisan ini, saya tidak mahu bercerita panjang soal riwayat kehidupan beliau. Tetapi saya ingin mengambil beberapa perkara yang memberi inspirasi dalam hidup saya yang ingin saya kongsikan kepada semua.

Salah satu perkara yang beliau lakukan dalam penyebaran dakwah apabila kaedah yang digunakan adalah sangat dekat dengan jiwa masyarakat.

Imam Hassan Al-Banna dengan penuh hamasah (rasa semangat yang berkobar-kobar) menuju ke warung-warung semata-mata untuk berkongsi ilmu dan menyampaikan tentang Islam.

Apa yang saya lihat pada dunia hari ini, (sama-sama kita muhasabah) kebanyakan pemuda seperti kita memanfaatkan masa yang ada di mana jua dengan khusyuk dan tawaduk merenung gadget masing-masing.

Kita di dalam fasa penyampaian (praktikal) bukan lagi pada fasa teori. Jiwa yang muda lahir daripada semangat yang kental, keperwiraan yang sejagat serta keinginan yang membuak-buak.

Jiwa muda juga adalah jiwa keberanian, jiwa kesatuan dan juga jiwa pengharapan. Rugilah jika anda muda pada ‘lahirnya’ tetapi tua dari segi semangat dan pemikiran.

Empat Rukun Pemuda

Dalam konteks ini, Imam Hassan Al-Banna telah menggariskan empat rukun pemuda iaitu ;
#1- Iman (Hati yang suci)
#2- Ikhlas (Jiwa yang bersih)
#3- Hammasah (Perasaan yang kuat)
#4- Amal (Azam seorang pemuda)

Subhanallah! Sebenarnya, perkara pertama dalam apa jua yang kita lakukan memang berkaitan dengan nilai iman. Tanpa iman, seluruh kehidupan manusia akan jadi hambar dan seringkali menjadi seorang hati berkeladak.

Saya suka mengambil perkataan dari Prof. Muhaya yang menggunakan perkataan keladak terhadap golongan yang malas, lemah, putus asa, dan negatif. Persoalan iman ini haruslah diselesaikan terlebih dahulu supaya akan lahirnya keikhlasan.

Apabila hati kita ada iman dan ikhlas barulah akan adanya rasa jiwa yang hammasah lebih-lebih lagi jiwa pemuda. Momentum ini yang harus dibina dan dibaja serta dikekalkan agar terus kuat istiqamah dalam amal.

Kisah Abdullah B. Huzafah Dengan Maharaja Parsi

Suka saya mengulang kembali pembacaan saya tentang kisah inspirasi ini. Kisah ini mengenai sebuah misi yang dirintis oleh Rasulullah S.A.W pada tahun ke-6 Hijrah.

Misi ini merupakan misi seruan Islam kepada raja-raja asing yang masih belum memeluk Islam. Rasulullah S.A.W sedar bahawa misi ini sangat mencabar.

Kita boleh menggambarkan misi ini seperti misi berani mati Necati Sazmaz, James Bond Turki dalam filem Valley of the Wolves; Palestin.

Filem yang mengisahkan mengenai sekumpulan anggota perisik komando Turki yang ditugaskan untuk menyiasat dalang sebenar yang menyerang kapal bantuan Flotilla ke Gaza.

Di dalam kisah ini, ketika Abdullah Bin Huzafah masuk menemui Maharaja Parsi, seolah-olah semua mata tertumpu padanya. Pakaian badwinya yang tampak ringkas dan kekampungan itu tidak sedikit pun membuatkan dirinya berasa rendah diri di hadapan Maharaja yang kelihatan agung pada ketika itu.

Bahkan dia berjalan dengan penuh rasa izzah. Kepalanya terangkat, tubuhnya tegak dan mendada mempamerkan keagungan Islam yang memenuhi jiwanya.

Menyedari kehadiran Abdullah, Maharaja Kisra lantas mengisyaratkan kepada salah seorang tenteranya supaya mengambil perutusan yang berada dalam genggaman Abdullah. Walaupun begitu, dengan penuh berani Abdullah menafikan pecubaan tentera itu lantas berkata;

“Tidak! Bahkan aku sendiri yang akan menyerahkan kepadamu! Ini adalah amanah Raulullah S.A.W kepadaku.”

Maharaja Kisra terkesima mendengar pendirian tegas itu. Dengan bantuan seorang penulis berbangsa Arab yang berasal daripada Hirah, penulis itu membuka dan membaca apa yang terkandung dalam perutusan itu.

“Daripada Muhammad Rasulullah kepada Kisra Maharaja Parsi. Sejahtera untuk mereka yang mengikut hidayah…”

Sebelum sempat perutusan itu habis dibacakan, Kisra menjadi berang kerana perutusan itu menyebut nama Rasulullah S.A.W dahulu, sebelum namanya.

Pada mulanya, Abdullah sedikit gusar, kerana takut dibunuh, tetapi dengan penuh bersemangat dia menyanggahi fikiran negatif itu lalu berkata;

“Demi Allah! Aku tidak peduli akan apa bakal berlaku! Saksikan bahawa aku telah berjaya menunaikan amanah Rasulullah S.A.W!”

Subhanallah! Sangat kagum dengan jiwa pemuda ini. Umpama pada masa sekarang, anda pergi berjumpa dengan Perdana Menteri Israel dan menerangkan padanya tentang Islam dengan penuh rasa izzah!

Akulah Orangnya!

Saya terfikir, selagi mana kita meletakkan tanggungjawab ini kepada orang lain. Selagi itulah tidak akan lahirnya pemuda yang berjiwa Islam.

Kita semua layak untuk menjadi lebih baik. Tidak perlu tunggu sehingga menjadi alim ulama. Tetapi tetaplah bekerja kerasa untuk belajar dan terus belajar. Moga semangat ini terus subur dalam jiwa para pemuda.

Sungguh, sirah ini membangunkan jiwa. Contohilah akhlak pemuda seperti Imam Hassan Al-Banna, Abdullah Bin Huzafah, Sultan Muhammad Al-fateh, Salahuddin Al-Ayubi dan lain-lain lagi. Kita gali sirah dan jiwai hammasah. Moga akulah orangnya! Wallahualam.

Rujukan;
Buku Imam Hassan Al-Banna, Buku Aku Bukan Superman.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Rasyidah Rahmat

Rasyidah Rahmat

Suka mencuba perkara baru dan sangat meminati bidang penulisan dan membaca buku dalam semua genre. Karya pertama yang diterbitkan iaitu dalam siri antologi cerpen Negeri Terengganu. Merupakan mahasiswa tahun akhir sarjana muda syariah di UIN STS Jambi, Indonesia.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami