Keluarga, Remaja

Aktiviti Menarik Yang Boleh Dilakukan Pada Musim Cuti Sekolah

Oleh Fizah Lee  •  18 Dec 2019  •  4 min baca

Disember merupakan antara bulan yang paling ditunggu oleh golongan pelajar. Musim cuti sekolah pastinya banyak perkara yang sudah berada dalam perancangan ibu bapa mahupun pelajar itu sendiri bagi mengisi masa terluang.

Buat ibu bapa yang bekerja, pastinya mempunyai masa yang pendek dengan anak-anak apabila mereka hanya boleh meluangkan masa bersama pada hujung minggu sahaja. Kebiasaannya, aktiviti juga banyak dihabiskan di rumah sahaja akibat penat bekerja.

Ada juga ibu bapa yang mengambil keputusan untuk menghantar cahaya mata mereka ke kampung bagi mengelakkan anak-anak mereka dilanda kebosanan di rumah tanpa sebarang aktiviti menarik yang boleh dilakukan sekali gus menjamin keselamatan mereka di bawah jagaan orang tua.

Kebiasaannya, nenek dan datuk mereka di kampung akan mengajar cucu-cucu mereka untuk lebih dekat dengan suasana kampung dan juga dengan ajaran Islam seperti membaca Al-Quran, membaiki solat agar lebih baik dan memberi ilmu agama yang secukupnya.

Ia merupakan antara aktiviti santai yang boleh dilakukan oleh kanak-kanak dan juga remaja yang sedang menikmati cuti sekolah mereka. Entri kali ini akan merungkai pelbagai aktiviti menarik yang boleh dilakukan oleh para pelajar sama ada yang sedang berada di kampung mahupun di bandar.

#1 – Rajin-Rajinkan Diri Melakukan Kerja Rumah

Walaupun ibu bapa anda meninggalkan anda dengan orang gaji atau datuk dan nenek di kampung, tidak semestinya anda perlu goyang kaki dan tidak melakukan apa-apa.

Ini merupakan masa yang sesuai untuk belajar melakukan kerja rumah dan menjadi ringan tulang. Sekurang-kurangnya, anda akan belajar benda baru dan boleh berdikari apabila ibu dan bapa anda tidak ada di rumah kelak.

Mengemas rumah, belajar memasak, membantu menyiram tanaman di halaman rumah dan menemani nenek anda membeli ikan di pasar merupakan kemahiran asas yang perlu diketahui dalam diri setiap anak-anak yang sedang membesar. Daripada anda menghabiskan satu hari suntuk dengan menatal laman media sosial atau bermain permainan video, bahagikan masa anda juga untuk mempelajari ilmu-ilmu seperti ini.

#2 – Kunjungi Perpustakaan Yang Ada

Buat anda yang tinggal di kota, terdapat banyak perpustakaan yang boleh dikunjungi. Malah, baru-baru ini, Perpustakaan Negara Malaysia telah kembali dibuka untuk orang ramai setelah mengalami proses baik pulih.

Kerajaan juga telah menambah baik kemudahan yang ditawarkan di kawasan luar bandar dengan membina perpustakaan desa kepada rakyat di sana.

Anda boleh mengakses internet dan membaca pelbagai buku yang dibekalkan di sana sama ada bahan bacaan fiksyen dan juga bukan fiksyen.

Malah, perpustakaan yang ada sekarang bukan hanya membekalkan buku-buku sebagai bahan bacaan, tetapi juga menawarkan pelbagai aktiviti menarik seperti tempat kanak-kanak bermain sambil belajar, ruang bermain permainan video dan sebagainya.

#3 – Mempelajari Ilmu Asas Daripada Orang Tua

Buat anda yang dihantar ke kampung halaman oleh ibu bapa, jangan anggap ia adalah sebuah hukuman atau perkara yang tidak menyeronokkan, sebaliknya gunalah peluang tersebut untuk menjadi insan yang lebih baik.

Dengar kisah-kisah menarik mengenai Islam atau para nabi daripada datuk dan nenek anda, belajar mengaji dan perbetulkan solat merupakan antara aktiviti yang boleh dilakukan di kampung.

Bacalah buku-buku yang boleh memberi pengetahuan yang mendalam atau asas ke dalam diri anda jika anda bosan tiada bekalan internet di kampung.

Adalah lebih baik belajar ilmu ini secara bersemuka dengan orang yang lebih tua. Kadang-kadang, mereka mempunyai ilmu yang lebih mudah untuk belajar.

#4 – Melawat Tempat-Tempat Bersejarah

Malaysia mempunyai pelbagai tempat bersejarah yang menarik untuk dilawati. Setiap negeri pasti mempunyai muzium atau tempat bersejarahnya sendiri.

Ajak ibu bapa atau kawan-kawan anda untuk melihat sendiri keunikan sejarah di Malaysia. Muzium P. Ramlee, Muzium Penjara, Muzium Besar Negeri Terengganu dan Muzium Bank Negara Malaysia merupakan antara tempat menarik yang boleh dilawati.

Anda bukan sahaja boleh menambah ilmu berkenaan sejarah-sejarah yang ada, malah dalam masa yang sama anda boleh melihat keunikan senibina di sana dan mengeratkan hubungan dengan ibu bapa atau sesama kawan anda sendiri.

Kesimpulan

Tidak salah untuk menghabiskan masa anda di rumah dengan sekadar bermain permainan video atau melayari internet, namun 24 jam yang dibekalkan itu terlalu lama hanya untuk digunakan ke arah itu.

Bahagikan masa anda dengan bijak dan jadikan ia musim cuti sekolah yang paling berkualiti pernah anda alami.

Baca Juga:
Senarai Perpustakaan Yang Boleh Dikunjungi


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Fizah Lee

Fizah Lee

Merupakan seorang graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Bahasa Melayu untuk Komunikasi Antarabangsa. Seorang yang suka membaca bahan bacaan dalam bidang sejarah dan motivasi

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami