Inspirasi

Akhirat Menjadi Saksi Pergaduhan Dengan Rakan Karib

Oleh Fizah Lee  •  13 Feb 2020  •  2 min baca

Di akhirat kelak, setiap orang akan mencari sahabat atau sesiapa sahaja yang boleh digunakan untuk membantu sesi penghakiman. Sedangkan Allah sendiri telah menyebut bahawa hari akhirat itu akan munculnya keadilan.

Terdapat pelbagai jenis syafaat yang akan diberikan di hari akhirat kelak dan salah satunya ialah syafaat orang-orang yang soleh dan sahabat baik. (Syeikh Muhammad Ibn ‘Ali, Mausu’ah Kasyaf Isthilahat)

Berkawanlah dengan orang yang baik-baik dan bergaullah dengan orang yang soleh kerana mereka akan menjadi asbab dan penolong kepada anda di akhirat kelak.

Diceritakan dalam beberapa kitab perbahasan ulama berdasarkan kalam Allah, manusia akan saling menyalahkan orang lain terutamanya kawan yang rapat dengan mereka semasa hidupnya di dunia.

Jika seseorang itu bersahabat kerana Allah, maka di akhirat kelak, mereka akan saling mencari sahabat mereka untuk sama-sama dimasukkan di syurga. Namun, buat mereka yang berkawan atas dasar maksiat dan dosa serta pada masa hayat mereka tidak pernah sama-sama mengajak ke arah kebaikan, masing-masing akan menyalahkan kawan mereka itu.

“Kalau aku tak kawan dengan kau, mesti aku akan dapat hidayah dan jadi orang baik.”

الْأَخِلَّاءُ يَوْمَئِذٍ بَعْضُهُمْ لِبَعْضٍ عَدُوٌّ إِلَّا الْمُتَّقِينَ

Mafhum: “Pada hari itu sahabat-sahabat karib: setengahnya akan menjadi musuh kepada setengahnya yang lain, kecuali orang-orang yang persahabatannya berdasarkan taqwa (iman dan amal soleh).” (Surah Az-Zukhruf, 43:67)

Bahkan, mereka akan cemburu dengan golongan yang bersahabat baik kerana Allah kerana golongan inilah yang sama-sama akan membantu sahabatnya untuk menarik mereka ke syurga.

Golongan yang berkawan atas dasar maksiat dan sama-sama melakukan dosa akan saling menyalahkan satu sama lain kerana mereka beranggapan bahawa kawannya itu ialah penyebab kepada berlakunya dosa tersebut.

وَيَوْمَ يَعَضُّ الظَّالِمُ عَلَىٰ يَدَيْهِ يَقُولُ يَا لَيْتَنِي اتَّخَذْتُ مَعَ الرَّسُولِ سَبِيلًا

يَا وَيْلَتَىٰ لَيْتَنِي لَمْ أَتَّخِذْ فُلَانًا خَلِيلًا

لَّقَدْ أَضَلَّنِي عَنِ الذِّكْرِ بَعْدَ إِذْ جَاءَنِي ۗ وَكَانَ الشَّيْطَانُ لِلْإِنسَانِ خَذُولًا

Mafhum: “Dan (ingatkanlah) perihal hari orang-orang yang zalim menggigit kedua-dua tangannya (marahkan dirinya sendiri) sambil berkata: “Alangkah baiknya kalau aku (di dunia dahulu) mengambil jalan yang benar bersama-sama Rasul?”

“Wahai celakanya aku, alangkah baiknya kalau aku tidak mengambil si dia itu menjadi sahabat karib! Sesungguhnya dia telah menyesatkan daku dari jalan peringatan (Al-Quran) setelah ia disampaikan kepadaku. Dan adalah syaitan itu sentiasa mengecewakan manusia (yang menjadikan dia sahabat karibnya).” (Surah Al-Furqan, 25:27-29)

Tuntasnya, kita dinasihatkan untuk sentiasa bergaul dan bersahabat dengan golongan soleh di dunia ini kerana merekalah yang akan membantu kita lebih dekat dengan Allah dan akan menarik kita di akhirat kelak.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Fizah Lee

Merupakan seorang graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Bahasa Melayu untuk Komunikasi Antarabangsa. Seorang yang suka membaca bahan bacaan dalam bidang sejarah dan motivasi

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami