Gaya Hidup

Air Makhluk Yang Sangat Ajaib

Oleh Abdullah Bukhari  •  16 Jun 2019  •  3 min baca

“Ustaz! Jika Arasyh adalah makhluk terawal dan terbesar, kemudian ayat 7 surah Hud pula menyebut ia berada di atas air, maka bayangkan berapa banyak kuantiti air di seluruh alam semesta.!”

Agak tergamam saya mendengar kenyataan murid saya itu. Ia timbul berikutan perbincangan panjang lebar tentang ayat 7 surah Hud.

Lagi tersembunyi lagi ia mendesak rasa ingin tahu. Itulah tabiat manusia yang menjadikan mereka aktif berfikir dan bertanya. Antara persoalan yang selalu bermain di benak manusia adalah;

“Apakah makhluk terawal dicipta Allah?”

Jika ditelusuri Nass dan dalil banyak makhluk yang disebut antara terawal dicipta Allah di alam semesta. Antaranya adalah Qalam, Arasyh dan Air. Kali ini akan berbicara tentang air sahaja semoga ia menjadikan kita lebih menghargainya:

وَهُوَ الَّذِي خَلَقَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضَ فِي سِتَّةِ أَيَّامٍ وَكَانَ عَرْشُهُ عَلَى الْمَاءِ لِيَبْلُوَكُمْ أَيُّكُمْ أَحْسَنُ عَمَلًا ۗ وَلَئِنْ قُلْتَ إِنَّكُمْ مَبْعُوثُونَ مِنْ بَعْدِ الْمَوْتِ لَيَقُولَنَّ الَّذِينَ كَفَرُوا إِنْ هَٰذَا إِلَّا سِحْرٌ مُبِينٌ
Dia lah yang menjadikan langit dan bumi dalam enam masa, “Sedang Arasynya, berada di atas air” (Ia menjadikan semuanya itu untuk menguji kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya. Dan demi sesungguhnya! Jika engkau (wahai Muhammad) berkata: “Bahawa kamu akan dibangkitkan hidup kembali sesudah mati” tentulah orang-orang yang ingkar akan berkata: “Ini tidak lain, hanyalah seperti sihir yang nyata (tipuannya)” Surah Hud 11:7

Arasyh berada di atas air? Arasyh adalah makhluk Allah yang terbesar. Ia di luar jangkauan pemikiran manusia. Orang beriman wajib beriman penuh tentang kewujudannya tanpa perlu berfikir atau mengkhayalkan rupa bentuknya.

Namun apa yang menariknya air disebut bersama arasyh sebelum Allah mencipta alam semesta. Dalam ayat lain Allah menyebut awalnya air seiring wujudnya alam semesta selepas berlaku letupan pertama dalam bahasa penciptaan alam:

أَوَلَمْ يَرَ الَّذِينَ كَفَرُوا أَنَّ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضَ كَانَتَا رَتْقًا فَفَتَقْنَاهُمَا ۖ وَجَعَلْنَا مِنَ الْمَاءِ كُلَّ شَيْءٍ حَيٍّ ۖ أَفَلَا يُؤْمِنُونَ
Tidakkah orang kafir itu memikirkan dan mempercayai bahawa “Sesungguhnya langit dan bumi itu pada asal mulanya bercantum (sebagai benda yang satu), lalu kami pisahkan antara keduanya? Dan kami jadikan dari air, setiap benda yang hidup” Maka mengapa mereka tidak mahu beriman? Surah Al-Anbiya’ 21:30

Subhanallah! Air disebut muncul seawal berlakunya letupan super pertama yang mewujudkan segala jisim dan makhluk di alam semesta. Ayat ini sebenarnya berbicara tentang teori “Big Bang” yang mengandaikan alam semesta ini dahulunya satu, kemudiannya meletus mewujudkan berbagai entiti lain.

Sangat benar jika dikata air logik untuk muncul sebelum yang lain kerana Allah “meminjamkan” air kuasa kehidupan. Di mana sahaja ada air akan wujud kehidupan. Bahkan para saintis yang mengkaji sumber kehidupan di planet lain pun akan mengesan kewujudan air terlebih dahulu.

Air juga membuka laluan untuk tamadun Islam berkembang. Contohnya, desakan berwudhuk sebelum solat menjadikan umat Islam silam aktif mengembangkan “teknologi air.”

Bahkan salah satu cara Rasulullah S.A.W memecahkan monopoli perniagaan air dari tangan Yahudi Madinah adalah dengan program “Waqaf Perigi Rumah – رومة ” oleh Sayyidina ‘Uthman ibn ‘Affan (Sunan al-Tirmidhi).

Selepas ini jika mahu menggunakan air untuk keperluan kebersihan atau penghilang dahaga harian, hargailah kewujudannya. Insya Allah kita akan lebih bersyukur kepada Allah dan tidak akan membazirkan sewenangnya makhluk Allah yang sangat senior dan berjasa ini.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Abdullah Bukhari

Abdullah Bukhari

Beliau merupakan seorang Sarjana Usuluddin (Tafsir Al-Quran) dan kini menjadi seorang pensyarah di Jabatan Tilawah Al-Quran, Pusat Bahasa, UIAM. Beliau juga merupakan pemikir dan penulis Nota Tafsir Wartawan al-Quran yang kerap dikongsikan bersama pembaca, lebih-lebih lagi pengguna Facebook. Selain daripada itu, penulisan beliau juga kerap tersiar di akhbar Utusan Malaysia dan Berita Harian.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami