Hukum

Adakah Suami Juga Boleh Dikira Nusyuz?

Oleh Natirah Azira  •  17 Oct 2019  •  4 min baca

Sebut sahaja perkataan nusyuz, kita sering mengaitkan ia dengan perempuan yang tidak mentaati suami dalam hubungan perkahwinan. Namun sebenarnya, pengertian nusyuz lebih daripada itu.

Nusyuz berasal daripada perkataan nasyaza yang bermaksud tanah yang tinggi atau tempat yang tinggi. Ia juga membawa maksud bangkit dari tempatnya atau bangun.

Nusyuz dari segi istilahnya membawa maksud ‘membangkang’, ‘derhaka’ dan ‘tidak taat’.

Di dalam permasalahan Fiqh pula, Al-Baydhawi mentafsirkan nusyuz sebagai pengabaian tanggungjawab dan ketidaktaatan sebagai suami mahupun isteri dalam urusan rumah tangga.

Manakala Imam Muhammad Abduh pula berpendapat bahawa nusyuz merangkumi semua derhaka yang disebabkan sifat kesombongan dan pembangkangan. Manakala menurut Dr Hamka, nusyuz bermaksud tidak patuh dan tidak taat sama ada kepada Allah SWT ataupun kepada suami sebagai pemimpin.

Dalil Nusyuz Isteri Terhadap Suami

“…Dan perempuan-perempuan yang kamu bimbang melakukan perbuatan derhaka (nusyuz) hendaklah kamu menasihati mereka, dan (jika mereka berdegil) pulaukanlah mereka di tempat tidur, dan (kalau juga mereka masih degil) pukulah mereka (dengan pukulan ringan yang bertujuan mengajarnya). Kemudian jika mereka taat kepada kamu, maka janganlah kamu mencari-cari jalan untuk menyusahkan mereka. Sesungguhnya Allah Maha Tinggi, lagi Maha Besar” (Surah An-Nisa’ 4:34)

Dalil Nusyuz Suami Terhadap Isteri

“Dan jika seorang perempuan bimbang akan timbul dari suaminya “nusyuz” (kebencian), atau tidak melayaninya, maka tiadalah salah bagi mereka (suami isteri) membuat perdamaian di antara mereka berdua (secara yang sebaik-baiknya), kerana perdamaian itu lebih baik (bagi mereka daripada bercerai-berai)…” (Surah An-Nisa’ 4:128)

Jenis-Jenis Nusyuz

1. Nusyuz Di Pihak Isteri

Nusyuz di pihak isteri berlaku apabila isteri menderhakai, angkuh serta ingkar terhadap sesuatu yang diperintahkan oleh Allah SWT berkaitan tanggungjawab isteri kepada suami tanpa sebab yang kukuh yang dibenarkan dalam agama.

Wajib ke atas isteri untuk taat dengan mematuhi apa yang dikehendaki dan dilarang oleh suami berkenaan hal-hal yang bertepatan dengan syarak.

Antara contoh nusyuz seorang isteri ialah:

– Bercakap kasar dengan suami seperti menengking.
– Merendah-rendahkan serta memburuk-burukkan suami dan keluarganya.
– Tidak menunaikan ajakan suami untuk melakukan hubungan tanpa sebarang sebab yang munasabah.

2. Nusyuz Di Pihak Suami

Nusyuz di pihak suami pula berlaku apabila suami mengabaikan tanggungjawab yang perlu ditunaikan terhadap isteri dalam perkahwinan.

Antara contoh nusyuz seorang suami ialah:

-Tidak mengendahkan isteri tanpa alasan yang munasabah seperti tidak mahu bercakap dengan isteri atau bercakap kasar.
-Mengesyaki isteri tanpa sebab yang munasabah.
-Tidak menyediakan nafkah yang sepatutnya kepada isteri.
-Melakukan kekejaman serta kezaliman kepada isteri seperti memukul, mengabaikan keperluan emosi isteri, tidak memelihara kehormatan isteri dan sebagainya.

3. Nusyuz Kedua-dua Pihak Atau Dikenali Dengan Nama Syiqaq (Kedua-dua belah pihak mengabaikan tanggungjawab)

Syiqaq adalah satu pecahan daripada bahagian nusyuz. Syiqaq bermaksud perselisihan dan permusuhan yang berpanjangan yang berlaku melibatkan suami dan isteri sehingga menyebabkan kedua-dua pihak tidak dapat menunaikan tanggungjawab yang sepatutnya dalam rumah tangga.

Bagi mengatasi masalah dan kemelut dalam rumah tangga, Islam menyarankan agar diutuskan dua orang hakam (jurudamai) bagi membantu mereka. Tugas jurudamai adalah memeriksa dan menelusuri sebab-sebab terjadinya syiqaq dan berusaha mencari jalan damai.

Kesimpulan

Dari sini, kita memahami bahawa nusyuz bukan hanya berlaku di pihak isteri, malah berlaku juga di sebelah suami apabila timbulnya pengabaian dalam menunaikan tanggungjawab sebagai suami tanpa alasan yang munasabah yang bertepatan dengan syarak.

Dapat disimpulkan bahawa isteri yang nusyuz ialah isteri yang menderhakai suaminya dan suami yang nusyuz pula ialah suami yang menzalimi atau menganiayai isterinya.

Institusi perkahwinan adalah seperti rumah yang didiami. Ia sentiasa perlu dibersihkan, kadang kala ada bahagian rumah yang perlu dibaiki, bumbung bocor yang perlu ditampal dan bermacam lagi.

Begitulah juga sebuah rumah tangga, ia perlu dijaga dan dipelihara oleh kedua-dua suami dan isteri – perlunya sikap bertolak ansur, saling memaafi serta kerendahan hati dalam memperbaiki kelemahan masing-masing agar rumah tangga yang dibina dapat bertahan lama.

Perkongsian pada kali ini diakhiri dengan dua buah hadis tentang peranan suami dan isteri dalam institusi perkahwinan.

“Orang yang imannya paling sempurna diantara kaum mukminin adalah orang yang paling bagus akhlaknya di antara mereka, dan sebaik-baik kalian adalah yang terbaik akhlaknya terhadap isteri-isterinya.” (HR Tirmidzi, no. 1162, HR Abu Daud, no.4062 – Hadis Hasan Sahih)

“Mana-mana perempuan yang meninggal dunia dalam keadaan mendapat
keredhaan suaminya, maka dia pasti akan masuk syurga” (Hadis yang diriyawatkan oleh Al-Tirmizi dari Abi Hurairah)

Rujukan: Jurnal ‘Tinjauan Umum Tentang Syiqaq Dan Shulh Dalam Hukum Islam’
Jurnal ‘Nusyuz Menurut Syarak’


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Natirah Azira

Natirah Azira

Beliau merupakan graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Al-Quran dan Sunnah. Sekarang sedang menyambung pengajian peringkat Ijazah Sarjana dalam bidang Psikologi di universiti yang sama. Seorang yang suka membaca pelbagai genre bahan bacaan terutama sejarah, sastera, motivasi dan psikologi.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami