Hukum

Adakah Sama Berjudi Dan Bertaruh?

Oleh Fizah Lee  •  30 Apr 2019  •  5 min baca

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَأْكُلُوا أَمْوَالَكُم بَيْنَكُم بِالْبَاطِلِ إِلَّا أَن تَكُونَ تِجَارَةً عَن تَرَاضٍ مِّنكُمْ ۚ وَلَا تَقْتُلُوا أَنفُسَكُمْ ۚ إِنَّ اللَّـهَ كَانَ بِكُمْ رَحِيمًا

Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu makan (gunakan) harta-harta sesama kamu dengan jalan yang salah (tipu, judi dan sebagainya) kecuali dengan jalan perniagaan yang dilakukan secara suka sama suka di antara kamu, dan janganlah kamu berbunuh-bunuhan sesama sendiri. Sesungguhnya Allah sentiasa Mengasihani kamu.
(Surah An-Nisa, 4:29)

Judi atau dalam bahasa Arab bermaksud al-maisir, berasal daripada perkataan al-yusra yang bermaksud mudah atau al-yasar yang bermaksud kaya. Dari segi istilah, ia bermaksud memperoleh kekayaan dengan cara yang mudah.

Ia merupakan permainan yang melibatkan pertaruhan harta ataupun pertaruhan ‘nilai’. Dalam perjudian, pihak yang kalah dalam permainan harus membayar sejumlah nilai kepada pihak yang menang.

Jika zaman dahulu antara pertaruhan yang sering dilakukan ialah sabung ayam dan nombor ekor, kini bentuk pertaruhannya lebih pelbagai seperti casino, roullete, judi bola dan juga perlumbaan motorsikal.

Imam Malik berkata, “Maisir berupa perjudian adalah sesuatu yang manusia saling memasang taruhannya di dalamnya.” (Disebutkan dalam Tafsir al-Qurthubi)

لا يجوز لأنه في معنى القمار نحو أن يقول أحدهما لصاحبه : إن سبقتني فلك عليّ كذا , وإن سبقتك فلي عليه كذا فقبل الآخر

“Tidak harus (haram) kerana terdapat dalamnya erti atau unsur judi seumpama seorang berkata kepada rakannya: sekiranya engkau tewas, bagiku hadiah itu dariku, dan jika aku menewaskanmu, mestilah engkau memberinya kepadaku, lalu kedua-duanya bersetuju.”
(Badai As-Sonaie: Al-Kasani)

Maka, jelaslah di sini bahawa perjudian itu haram hukumnya kerana ia melibatkan harta seseorang sahaja dan ia juga boleh menimbulkan syubhah, iaitu perasaan tidak pasti dengan sesuatu.

Perjudian Di Zaman Jahiliah

Jahiliah bermaksud kebodohan. Ia berasal daripada perkataan Arab, iaitu jahala. Masyarakat zaman jahiliah tidak mempunyai ilmu dan hidup berdasarkan nafsu mereka. Zaman jahiliah adalah masa sebelum diutus Nabi SAW. Berdasarkan firman Allah yang bermaksud:

“Dan hendaklah kamu tetap diam di rumah kamu serta janganlah kamu mendedahkan diri seperti yang dilakukan oleh orang-orang jahiliah zaman dahulu.” (Surah Al-Ahzab, 33;33)

Al-maisir merupakan satu amalan yang telah dilakukan sejak zaman Jahiliah lagi. Antara bentuk perjudian yang telah dilakukan oleh mereka ialah dalam bentuk muamalat dan perjudian dalam pertandingan serta taruhan. Masyarakat Arab Jahiliah sangat gemar bermain judi. Pada masa itu, mereka tahu dua bentuk judi, iaitu al-mukhatarah dan al-tajzi’ah.

Menurut Ibn Abbas, al-mukhatarah merupakan permainan antara dua orang lebih yang mempertaruhkan isteri atau harta mereka. pihak yang menang boleh mengambil taruhan tersebut dan boleh berbuat sesuka hati dengannya, sama ada untuk mengahwininya atau menjadikannya sebagai hamba.

Al-Tajzi’ah pula ialah bermain kad daripada potongan kayu dan akan melibatkan pembayaran terhadap haiwan taruhan seperti unta oleh pihak yang kalah. sebagai contoh, terdapat 10 orang pemain dan akan ada 7 keping kad yang diberi angka 1-7 dan 3 keping kad yang diberi angka kosong.

Unta yang dipertaruhkan akan dipotong kepada beberapa bahagian dan orang yang mendapat kad dengan angka akan mengambil potongan unta tersebut manakala yang tiada angka akan membayar harga unta tersebut. Biasanya, perjudian ini akan berakhir dengan pergaduhan dan peperangan.

Para ulama’ bersepakat bahawa segala bentuk perjudian adalah haram atau berdosa berdasarkan kalam-kalam Allah dan hadis Nabi SAW.

كَانَ مِنْ مَيْسِرِ أَهْلِ الْجَاهِلِيَّةِ بَيْعُ الْحَيَوَانِ فِي اللَّحْمِ وَبِالشَّاةِ وَالشَّاتَيْنِ

Maksud: Di antara perjudian ahli jahiliah adalah menjual haiwan hidup dengan daging serta dengan satu dan dua kambing. (Diriwayatkan oleh Imam Malik dalam al-Muwatha’)

Hukum Bertaruh

Ada yang telah menimbulkan beberapa persoalan, adakah sama bertaruh dan berjudi sedangkan dengan bertaruh, kita meletakkan kepercayaan dan keyakinan kita terhadap sesuatu perkara. Ada juga yang menyifatkan bahawa bertaruh tidak sama dengan berjudi dan bagaimana pula dengan mereka yang bertaruh secara suka-suka?

Para ulama’ telah bersepakat mengenai perkara ini bahawa haram hukumnya bertaruh sesuatu dan dikira berdosa. Bertaruh merupakan sebuah permainan yang meletakkan sesuatu keuntungan terhadap seseorang sahaja. Sebagai contoh, jika salah seorang daripada mereka menang pertaruhan, maka pihak yang kalah perlu belanja atau memberi sesuatu.

Allah telah menyebut melalui firman-Nya yang berbunyi:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِنَّمَا الْخَمْرُ وَالْمَيْسِرُ وَالْأَنصَابُ وَالْأَزْلَامُ رِجْسٌ مِّنْ عَمَلِ الشَّيْطَانِ فَاجْتَنِبُوهُ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ

Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak dan judi dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.
(Surah Al-Ma’ida, 5:90)

Para ulama’ menyifatkan ia sama sahaja dengan perjudian dan hukumnya adalah sama. Namun, jika dilakukan secara suka-suka tanpa melibatkan apa-apa nilai atau harta, ia adalah halal dan tidak berdosa. Menurut mazhab Hanafi, mazhab Syafie dan Hanbali juga, jika salah seorang menjanjikan hadiah dan seorang lagi tidak, hukumnya juga sama, iaitu adalah harus dan halal.

Sebagai contoh, si A menjanjikan hadiah kepada si B jika berjaya memenangi permainan boling. Maka, ia adalah dibolehkan kerana ia bersifat sebagai hadiah dan boleh juga dijadikan sebagai pemangkin semangat kepada seseorang dari segi psikologinya.

“Sesiapa yang bermain permainan al-Nardu (perjudian), sesungguhnya ia telah melakukan maksiat kepada Allah dan rasul-Nya.” (Hadis Riwayat Abu Daud)

Kesimpulan

Setiap perkara yang boleh menimbulkan syubhah, iaitu was-was dari segi sumber seperti perjudian dan pertaruhan, maka haram hukumnya. Berdasarkan penjelasan di atas, jelaslah bahawa bertaruh itu termasuk di dalam perjudian, maka hukumnya adalah sama dan berdosa besar.

“Mereka bertanya kepadamu (Wahai Muhamamd) mengenai arak dan judi. Katakanlah: “Pada keduanya ada dosa besar dan ada pula beberapa manfaat bagi manusia tetapi dosa keduanya lebih besar daripada manfaatnya dan mereka bertanya pula kepadamu: Apakah yang mereka akan belanjakan (dermakan)? Katakanlah: “Dermakanlah – apa-apa) yang berlebih dari keperluan (kamu). Demikianlah Allah menerangkan kepada kamu ayat-ayatNya (keterangan0-keterangan hukumNya) supaya kamu berfikir.”
(Surah Al-Baqara, 2:219)

Rumaysho.Com


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Fizah Lee

Merupakan seorang graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Bahasa Melayu untuk Komunikasi Antarabangsa. Seorang yang suka membaca bahan bacaan dalam bidang sejarah dan motivasi

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami