Hukum

Adakah Sah Wuduk Jika Rambut Hanya Diwarnakan Pada Bahagian Hujung

Oleh Fieyzah Lee  •  15 Oct 2019  •  4 min baca

Bolehkah mewarnakan rambut? Ia merupakan persoalan yang sering diajukan daripada segelintir manusia dengan harapan akan wujudnya jawapan-jawapan yang membolehkan atau menghalalkan perbuatan tersebut.

Hukum mewarnakan rambut adalah bergantung kepada niat dan bahan yang digunakan. Ia tidak boleh dilakukan sesuka hati atau dengan apa jua bahan yang diinginkan.

Malah, hukum asal mewarnakan rambut adalah sunnah, iaitu dengan menggunakan bahan yang halal seperti inai dan dengan tujuan perubatan.

Rasulullah SAW pernah beberapa kali mewarnakan rambut dengan menggunakan inai bagi menutup uban dan juga untuk mengelakkan rambut gugur dengan terlalu kerap.

إٍنَّ أَحْسَنَ مَاغَيَّرْتُمْ بِهِ الشَّيْبَ الحِنَّاءُ وَالكَتَمُ

Maksud: “Sebaik-baik bahan yang digunakan untuk mewarnakan rambut yang beruban ialah pokok inai dan katam.” (Hadis Riwayat At-Tabarani, 5/227)

Inai dan katam merupakan jenis tumbuhan yang mengeluarkan pewarna hitam kemerah-merahan. Pokok katam biasanya tumbuh di negeri Yaman manakala pokok inai biasa diperoleh di tempat kita sendiri.

Inai Untuk Perubatan

Inai atau nama saintifiknya Lawsonia Inermis berasal daripada perkataan Arab yang bermaksud ubat, iaitu al-hinna.

Ahli arkeologi mengatakan bahawa inai telah digunakan oleh penduduk Mesir dalam proses menghasilkan mumia, iaitu sebagai salah satu proses pengawetannya.

Daun inai dikatakan mempunyai kandungan bahan pewarna glukosid dan asid henotanik. Kandungan ini akan menyebabkan kulit yang disapu menjadi warna merah, sama ada pada kuku, sel kulit dan juga rambut.

Inai sinonim dengan amalan kaum Hindu yang sering menggunakannya untuk tujuan perubatan, namun sebenarnya ia telah digunakan sejak zaman Baginda SAW lagi

Kaum Hindu biasanya menggunakan daun inai untuk menyembuhkan luka, bisul, sakit kulit dan menyembuhkan sakit kepala serta rasa panas pada kaki.

Malah, hasil kajian inai pada rambut mengatakan bahawa ia boleh digunakan untuk mengurangkan keguguran rambut sekali gus mengelakkan rambut daripada menipis.

Malah, untuk mereka yang mempunyai uban dan ingin menutupnya, digalakkan untuk menggunakan inai pada rambut kerana ia menghasilkan warna.

قال رسول الله اذهَبُوا بِهِ إلى بَعْضِ نِسَائِهِ فَلْتَغَيِّرُه بشيء وَجَنِّبُوهُ السَّوادَ

Maksud: “Ubahlah oleh kamu ini dengan sesuatu dan jauhilah warna hitam.” (Hadis Riwayat Ibnu Majah, no. 2937)

Baginda SAW melarang seseorang itu daripada mewarnakan rambut dengan warna hitam kerana ia menyerupai satu bentuk penipuan.

Ini ada disebut melalui penceritaan Abu Quhafah yang pada ketika itu rambutnya dipenuhi uban. Baginda SAW memberi izin kepada beliau untuk mewarnakan rambut dengan inai dan melarangnya daripada menggunakan warna hitam.

Menurut perbahasan ulama’, ia adalah untuk mengelakkan terjadinya penipuan kerana pada ketika itu, Abu Quhafah sudah lanjut usianya.

Terdapat segelintir daripada ulama’ membahaskan bahawa, jika lelaki muda yang ingin mewarnakan rambut dengan warna hitam, maka ia adalah dibolehkan. Namun, adalah lebih baik dengan mengikut sunnah, iaitu mewarnakan rambut menggunakan warna inai.

Sahkah Wuduk Jika Rambut Diwarnakan Sedikit Sahaja

Pewarna rambut selain inai perlu disahkan terlebih dahulu status halalnya. Hal ini kerana, wujud bahan terlarang dan juga yang haram dalam sesetengah produk tersebut.

Ia sekali gus menyebabkan air wuduk tidak akan sampai kepada rambut dan menyebabkan wuduk tersebut tidak sah.

Jika ia terjadi, maka hukum mewarnakan rambut adalah haram. Disebabkan itu, sunnah menganjurkan kita untuk mewarnakan rambut dengan menggunakan tumbuhan inai dan juga katam sahaja memandangkan statusnya yang tidak disangkal lagi.

Tujuan mewarnakan rambut (bagi wanita) juga adalah bukan untuk didedahkan kepada umum dan bukan menyerupai sesuatu kaum (bagi lelaki dan wanita).

Haram hukumnya jika mewarnakan rambut untuk tujuan tabarruj (berhias secara berlebih-lebih) dan juga untuk mendedahkan aurat kerana akan timbul unsur maksiat di sini.

Namun, jika rambut tersebut diwarnakan atas suruhan suami dengan tujuan untuk berhias kepadanya, maka ia adalah dibolehkan dengan syarat bahan yang digunakan adalah halal.

Kesimpulan

Mewarnakan rambut adalah bergantung bahan bahan yang digunakan dan juga niat sendiri. Jika bahannya halal namun tujuannya membawa kepada maksiat, maka hukumnya boleh bertukar kepada haram.

#1 – Halal dan sah wuduk (atau mandi hadas besar) jika kandungan pewarna tersebut halal (sama ada diwarnakan sedikit di bahagian hujung rambut atau sepenuhnya).

#2 – Haram dan tidak sah wuduk (atau mandi hadas besar) jika kandungan pewarna yang digunakan haram.

#3 – Haram dan sah wuduk jika bahan yang digunakan halal tetapi dengan niat yang tidak baik seperti menunjuk atau wujud unsur penipuan.

Wallahu a’lam.

Rujukan:
Kajian Manfaat Inai
Mufti Perak


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Fieyzah Lee

Fieyzah Lee

Merupakan seorang pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Bahasa Melayu untuk Komunikasi Antarabangsa. Seorang yang suka membaca bahan bacaan dalam bidang sejarah dan motivasi

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami