Gaya Hidup

Adakah Perjalanan Anda Masih Panjang?

Oleh Fazli Abdullah  •  30 May 2019  •  5 min baca

Berapa lamakah kita akan hidup di dunia ini? Selalunya umur manusia hanya sekitar 60-70 tahun sahaja. Yang melepasi umur itu ada tetapi tidaklah banyak.

Namun, bukan angka yang ingin dikupas tetapi bagaimana cara kehidupan kita? Adakah digunakan dengan melakukan perkara baik atau hanya digunakan untuk menghabiskan masa sahaja?

Hakikat kehidupan di dunia yang sementara ini hanyalah sebahagian perjalanan yang masih lagi panjang. Selepas kita meninggalkan dunia ada lagi perjalanan yang perlu diteruskan. Dan kematian bukan penamat tetapi ia permulaan kehidupan yang sebenar. Kehidupan yang akan membalas segala perbuatan yang telah kita lakukan di dunia.

Alam Barzakh

Para ahli tafsir daripada ulama salaf bersepakat mengatakan

“Barzakh adalah perantara antara dunia dan akhirat, atau perantara antara masa selepas mati dan hari kebangkitan.”

Alam barzakh turut disebut dan dikenali sebagai alam kubur. Hal ini kerana, umumnya manusia akan berada dalam kubur selepas meninggal dunia.

Namun tidak bermakna manusia yang tidak dikuburkan seperti meninggal dalam kebakaran, tenggelam dalam lautan atapun ditelan binatang buas tidak mengalami alam barzakh. Semuanya di atas kekuasaan Allah S.W.T. Allah mampu melakukan apa sahaja.

Di dalam barzakh, manusia akan mula menerima balasan apa yang telah dilakukannya di dunia. Jika baik, maka baiklah kehidupannya di alam barzakh.

Jika sebaliknya, maka akan sempit dan malanglah nasibnya di alam barzakh. Nauzubillah minzalik. Semoga kita terhindar dari seksaan di alam kubur. Amin.

Hari Kebangkitan

Pada tiupan sangkakala yang kedua, dihidupkan kembali makhluk yang telah mati.
Ibnu Abbas melaporkan, Rasulullah S.A.W pernah berpesan:

“Wahai sekalian manusia, sesungguhnya kamu semua akan dibawa menghadap Allah pada hari kiamat dalam keadaan tidak beralas kaki, telanjang dan tidak dikhatankan. Allah S.W.T berfirman, ‘Sebagaimana Kami sudah memulai penciptaan pertama, begitulah Kami akan mengulanginya lagi. Suatu janji yang pasti Kami tepati. Sungguh, Kami akan melaksanakannya.’(Surah Al-Anbiya’:108) Ketahuilah, makhluk pertama yang dikurniakan pakaian pada hari kiamat adalah Nabi Ibrahim.”Hadis Riwayat al-Bukhari dan Muslim

Tidak ada yang mustahil bagi Allah untuk menghidupkan manusia yang telah mati. Walau sudah hancur tulang manusia, atau sudah beribu-ribu tahun meninggal dunia. Seperti firman Allah S.W.T di dalam al-Quran yang bermaksud:

“(Bagi Allah Yang Maha Kuasa) soal menciptakan kamu semua (dari tiada kepada ada), dan soal membangkitkan kamu hidup semula sesudah mati, tidak ada apa-apa sukarnya, hanyalah seperti (mencipta dan menghidupkan semula) seorang manusia sahaja. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar, lagi Maha Melihat.”Surah Luqman 31:28

Padang Mahsyar

“(Dalam pada itu) mereka terburu-buru (menyahut panggilan ke padang Mahsyar) sambil mendongakkan kepala mereka dengan mata tidak berkelip, dan hati mereka tidak bersemangat (kerana bingung dan cemas).”Surah Ibrahim 14:43

Seluruh manusia akan dikumpulkan di padang mahsyar. Tidak ada yang terkecuali. Di sinilah manusia inginkan syafaat. Mendapat syafaat Rasulullah di saat itu sangatlah memberi makna.

Selain itu, berlakunya penyerahan kitab amalan kepada kita. Kiri atau kanan? Hanya amalan kita di dunia yang dapat menentukan. Jika baik maka kananlah ia diberi. Jika buruk, belah kiri yang diterimanya. Astaghfirullah.

Di sini juga berlakunya hisab yang akan disoal segala perbuatan kita di dunia. Betapa berdebarnya manusia ketika itu.

Berlakunya juga timbangan amalan (mizan) pada hari tersebut. Setiap amalan akan diberi keadilan. Walaupun sekecil-kecil amalan tetap akan dijalankan dan ditimbang.
Allah S.W.T menjelaskan di dalam al-Quran:

“Dan (ingatlah) Kami akan mengadakan neraca timbangan yang adil bagi (menimbang amal makhluk-makhluk) pada hari kiamat. Maka, tidak ada diri sesiapa akan teraniaya sedikit pun; dan jikalau (amalnya) itu seberat biji S.A.Wi (sekalipun), Kami pasti mendatangkannya (untuk ditimbang dan dihitung); dan cukuplah Kami sebagai penghitung.”Surah Al-Anbiya’ 21:47

Titian As-Sirat

Abu Said Al-Khudri melaporkan, Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud:

“Sudah disampaikan kepadaku bahawa titan sirat itu lebih halus daripada rambut dan lebih tajam daripada pedang.”Hadis Riwayat Muslim

Keadaan titian sirat sangatlah halus dan lebih tajam daripada pedang. Ada yang selamat melaluinya dan menuju ke syurga. Ada pula yang gagal serta tersungkur di dalam neraka. Nauzubillah minzalik.

Beruntunglah orang yang beriman dan mengikuti perintah Allah S.W.T di dunia. Allah S.W.T akan memudahkan mereka untuk menyeberangi titian sirat. Segalanya menjadi senang dan langkah menjadi cepat. Ada yang sepantas kilat. Ada yang berlari. Ada yang berjalan. Semuanya berdasarkan amalan dan rahmat Allah S.W.T.

Syurga Atau Neraka

Inilah destinasi kita yang terakhir. Syurga atau neraka inilah antara dua pilihan yang perlu dibuat. Kebanyakkan manusia inginkan syurga. Jarang sekali manusia yang mahu ke neraka. Namun, keinginan semata tanpa amalan dan usaha maka tidak berguna juga. Ia perlu seiring dan sejalan.

Syurga adalah tempat segala nikmat berada. Keindahannya tidak dapat dibayangkan. Kecantikannya memukau pandangan. Tiada perasaan bosan dan tidak ada kedukaan.

“Iaitu Syurga yang kekal yang mereka akan memasukinya bersama-sama orang-orang yang mengerjakan amal soleh dari ibu bapa mereka dan isteri-isteri mereka serta anak-anak mereka; sedang malaikat-malaikat pula akan masuk kepada mereka dari tiap-tiap pintu; (memberi hormat dengan berkata), ‘Selamat sejahteralah kamu berpanjangan, disebabkan kesabaran kamu. Maka amatlah baiknya balasan amal kamu di dunia dahulu.'”Surah Ar-Ra’d 13:23

Manakala neraka adalah tempat seksaan kepada hambaNya yang berdosa dan kafir. Disinilah tempat segala kesakitan. Kepedihan dan seksaan yang tidak pernah habis. Kesakitannya tidak pernah berkurangan. Semoga kita semua tidak akan ke sana.

Kesimpulan

Sesungguhnya kehidupan dunia adalah tempat ujian dan tempat untuk kita bercucuk tanam ‘amalan kebaikan’. Di sini sahajalah kita dapat beribadah. Buatlah ibadah sebaiknya.

Kesusahan dan ujian di dunia ini jika dibandingkan dengan seksaan neraka amatlah jauh sekali. Yakinlah dengan keadilan Allah.

Jika di dunia kita tidak mendapat keadilan seperti yang diharapkan, ingatlah ada keadilan di akhirat sana. Dunia hanya sebentar cuma. Keseronokannya pun hanya sebentar cuma. Hanya syurga yang kekal selamanya. Waallahua’lam.

Nota: Penulis hanya menceritakan sebahagian kecil dan secara ringkas keadaan dan suasana yang berlaku. Ia tidak dijelaskan secara lengkap. Untuk maklumat lebih lanjut boleh rujuk kepada kitab-kitab dan sumber yang berkenaan.

Rujukan:
1. Majalah Solusi Isu 38-Syurga Itu Benar
2. Ensiklopedia Kiamat-Saat Getir Kehancuran Dunia (Penulis: Tim Gema Insani)
3. Cara Terindah Untuk Mati-Wahai Tuhan, kami datang… (Penulis: Rachmat Ramadhana Al-Banjari)


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Fazli Abdullah

Fazli Abdullah

Dilahirkan di Kedah. Hobi membaca dalam genre agama dan motivasi. Mengemari lagu nasyid. Menjadikan penulisan sebagai medan penyebaran ilmu dan kebenaran. tzkrh.com adalah ruangan penulisan pertamanya menulis dengan serius.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami