Gaya Hidup

Adakah Pasangan Dianggap Sebagai Trofi Kemenangan?

Oleh Baha'uddin Hamizan  •  6 Jan 2020  •  5 min baca

Ketika hari cuti kebiasaannya saya akan meluangkan masa pada waktu pagi dengan aktiviti riadah larian di taman rekreasi terdekat. Dalam masa riadah tersebut, saya gemar memasang ceramah Mufti Wilayah Persekutuan yang dimuat naik dalam Youtube sambil mendengarnya menggunakan bluetooth earphone ketika berlari.

Bercakap tentang ceramah, saya teringat pada wawancara di dalam saluran Astro Prima yang menjemput seorang yang mencipta kontroversi berkenaan hal perkahwinan beliau bersama isteri baru dan kisahnya yang menceraikan isteri melalui aplikasi Whatsapp.

Dalam temubual itu, beliau mengatakan bahawa lelaki yang berkahwin seorang sahaja isteri dianggap ‘low class’ oleh orang-orang di tanah Arab, begitulah dakwaan beliau. Sebaik sahaja mendengar kata-kata itu, saya sempat perhatikan pengacara wanita dalam rancangan tersebut tergelak. Mungkin terasa lucu dengan kenyataan itu, bahkan saya pun turut geli hati.

Trofi Individualistik

Seseorang pernah menceritakan kepada saya bahawa dia selalu dikenakan oleh orang-orang sekitarnya untuk dijodohkan dengan beberapa orang. Perkara ini mengingatkan saya kepada luahan juara acara tennis beregu kejohanan Wimbledon, Sania Mirza dalam wawancara World Economic Forum.

Beliau menceritakan bahawa di saat sidang media berkenaan kemenangan beliau itu berlangsung, ada seorang wartawan yang tiba-tiba bertanyakan soalan berkenaan keinginan menjadi ibu. Ini menunjukkan bahawa kebanyakan budaya di dunia seringkali melihat wanita sebagai ‘trofi’ yang perlu dimiliki.

Jika wanita itu belum berkahwin, soalan bila hendak kahwin akan datang bertalu-talu tanpa henti. Selesai berkahwin, soalan bila hendak ada anak pula datang menerjah, seterusnya sehinggalah wanita tersebut mengikut kehendak mereka.

Ada yang berkata mungkin soalan ini hanya ditanya sebagai pembuka bicara sahaja, seperti contoh saudara mara yang baru bertemu dengan kita. Itu tidaklah mengapa kerana kita jarang bertemu mereka dan mereka juga ingin tahu serba sedikit mengenai diri kita.

Tetapi yang menjadi tidak enak apabila soalan yang sama, diulang oleh orang yang sama atau pun di dalam situasi yang tidak kena dengan suasana, seperti contoh sidang media oleh juara tennis tersebut.

مَنْ آَانَ یُؤْمِنُ بِااللهِ وَاليَوْمِ الآخِرِ فَلْيَقُلْ خَيْرًا أَوْ لِيَصْمُت

“Barangsiapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat, maka hendaklah dia berkata baik atau dia diam.”(Riwayat Bukhari dan Muslim)

Heth Ledger, pelakon filem The Dark Knight, yang memegang watak Joker pernah berkata,

“Everyone you meet always asks if you have a career, are married, or own a house, as if life was some kind of grocery list. But no one ever asks you if you are happy.”

Budaya masyarakat kita sememangnya suka bertanyakan soalan demikian. Kurang yang pedulikan tentang perasaan dan emosi kita. Apabila kita lihat orang itu belum berkahwin, kita anggap dia masih belum lengkap sebagai seorang manusia. Seolah-olah apabila kita telah ‘settle down’ bersama seseorang, dikira kita mendapat ‘trofi’ dan boleh menjulangnya untuk diraikan.

Kahwin Sebagai Pelengkap Kehidupan

Apabila seseorang sering dimomokkan dengan idea bahawa dirinya itu tidak lengkap kerana masih belum berkahwin, maka akhirnya insan tersebut akan percaya secara tidak langsung (subconsciously).

Seterusnya, dia merasa kurang keyakinan diri, malu untuk berhadapan dengan masyarakat, ataupun menjadi mudah marah-marah (bitter). Jika kita pelajari sedikit mengenai sejarah para ilmuan Islam, terdapat ulama yang tidak berkahwin kerana tidak berkesempatan. Ini berlaku disebabkan dirinya yang sibuk dengan ilmu dan menulis.

Oleh itu, adalah tidak tepat jika kita mengatakan mereka yang belum berkahwin itu tidak lengkap kerana para ulama terdahulu itu banyak memberi sumbangan kepada kita yang menyebabkan mereka tidak sempat untuk mendirikan rumahtangga. Salah seorangnya ialah Imam Nawawi.

Saya ada terbaca kata-kata yang dimuat naik oleh rakan-rakan media sosial yang berbunyi begini,

You deserve to be with somebody who makes you happy. Somebody who doesn’t complicate your life. Somebody who won’t hurt you.

Kata-kata begini pada saya hanyalah khayalan kerana sifat manusia itu tidak sempurna. Idea ini turut disokong oleh Nate Bagley, yang menganggap ayat itu bersifat ‘platitude’ iaitu sensasi namun tiada hikmah disebaliknya.

Jika kita percayakan kata-kata itu, maka kita perlu pelajari sirah perkahwinan Rasulullah untuk mengetahui realiti yang sebenar supaya kita tidak disuapkan dengan fantasi mengarut. Sebagai rujukan, para pembaca boleh membaca tulisan Mufti Wilayah Persekutuan yang bertajuk Irsyad al-Hadith Siri ke-35: Kisah Mariah al-Qibtiyyah.

وَأْمُرْ أَهْلَكَ بِالصَّلَاةِ وَاصْطَبِرْ عَلَيْهَا ۖ

“Dan perintahkanlah keluargamu (serta umatmu) supaya berterusan mengerjakan sembahyang, dan hendaklah engkau tekun bersabar menunaikannya.” (Surah Taha 20:132)

Perkahwinan adalah untuk kebaikan semua orang. Allah menyuruh kita memerintahkan keluarga kita untuk mentaatiNya, bukan hanya diri kita sahaja yang melakukannya. Berkahwinlah untuk sama-sama menuju kebaikan dan kesejahteraan.

Namun, jika kita berkahwin hanya untuk mencari bahagia dan tidak mahu bersedih semata-mata, itu adalah kesilapan pada pendapat saya. Selagi mana kita hidup di atas muka bumi ini tetap akan ada ujian dan cabaran terhadap kita.

Justeru, tidak logik untuk menjangkakan (expect) sesuatu yang mustahil daripada seorang manusia, iaitu pasangan kita. Saya teringat pada satu kata-kata bahawa perkahwinan itu ibarat gelas yang kosong. Kitalah yang bertanggungjawab untuk mengisinya, bukan mengharapkan pasangan kita sahaja semata-mata.

Usah Terlalu Mengejar Bahagia

Dalam satu syarahan TED Talk, Emily Esfahani mengutarakan bahawa hidup bukanlah semata-mata untuk mengejar bahagia. Pada saya, itu ada benarnya.

Yang harus kita kejar adalah memenuhi keperluan insan (fulfilling needs). Apa gunanya bahagia jika perkara itu datang dan berlalu pergi begitu sahaja sedangkan jika kita memenuhi tuntutan insan seperti keimanan, emosi dan amal kebaikan itu lebih membawa makna kepada hidup kita yang sementara ini. Semoga tulisan ini memberikan manfaat kepada para pembaca sekalian.

Rujukan:
1. Mufti Wilayah Persekutuan
2. Medium.com
3. Gottman.com
4. www.ted.com


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Baha'uddin Hamizan

Graduan dari Universiti Teknologi MARA, Fakulti Sains Pentadbiran & Pengajian Polisi. Penulis bersama buku bertajuk Pematah Hati Yang Tak Dirindukan (Must Read) dan Cinta (Puteh Press). Vlogger kepada channel Youtube bernama Bahak Stories.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami