Inspirasi

Adakah Nama Allah Hanya Ada 99 Sahaja

Oleh Natirah Azira  •  28 Jul 2020  •  2 min baca

Apa yang kita tahu, Allah mempunyai 99 nama, yang biasanya dikenali dengan panggilan Asma’ul Husna. Bermula dengan Al-Rahman yang bermaksud Maha Pemurah dan berakhir dengan As-Sobur yang bermaksud Maha Sabar dan tidak bersifat terburu-buru.

Diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

إن للهِ تسعةً وتسعين اسمًا ، مائةً إلا واحدًا ، مَن أحصاها دخلَ الجنةَ

Maksudnya: “Sesungguhnya bagi Allah SWT sembilan puluh sembilan nama, seratus kecuali satu, barangsiapa yang menghafalnya akan masuk syurga” – Hadis riwayat Imam al-Bukhari (6410) dalam Sahih al-Bukhari, dalam Kitab Doa-Doa, Bab Allah Mempunyai 100 Nama Kecuali 1

Walau bagaimanapun, hadis ini bukan bermaksud bahawa nama Allah hanya terhad kepada 99 sahaja. Imam An-Nawawi menjelaskan bahawa ulama bersepakat bahawa hadis ini tidak menunjukkan bahawa nama Allah itu terbatas.

Sebenarnya terdapat nama yang Allah rahsiakan yang hanya dalam pengetahuanNya sahaja. Ia dibuktikan dalam sebuah hadis berupa doa yang diajarkan oleh Rasullah SAW kepada Abdullah bin Mas’ud.

Daripada Abdullah bin Mas’ud R.A, Rasulullah SAW bersabda: “Tidaklah apa-apa masalah atau kesedihan menimpa seseorang, lalu orang itu membaca:

اللَّهُمَّ إِنِّي عَبْدُكَ ، وَابْنُ عَبْدِكَ ، وَابْنُ أَمَتِكَ ، نَاصِيَتِي بِيَدِكَ ، مَاضٍ فِيَّ حُكْمُكَ ، عَدْلٌ فِيَّ قَضَاؤُكَ ، أَسْأَلُكَ بِكُلِّ اسْمٍ هُوَ لَكَ سَمَّيْتَ بِهِ نَفْسَكَ ، أَوْ عَلَّمْتَهُ أَحَدًا مِنْ خَلْقِكَ ، أَوْ أَنْزَلْتَهُ فِي كِتَابِكَ ، أَوْ اسْتَأْثَرْتَ بِهِ فِي عِلْمِ الْغَيْبِ عِنْدَكَ ، أَنْ تَجْعَلَ الْقُرْآنَ رَبِيعَ قَلْبِي ، وَنُورَ صَدْرِي ، وَجِلَاءَ حُزْنِي ، وَذَهَابَ هَمِّي ،

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya aku hambaMu, anak kepada hambaMu, anak kepada hamba perempuanMu, ubun-ubunku di tanganMu, telah berlalunya keputusanMu, Engkau telah berlaku adil ke atas ku dalam keputusanMu, aku memohon kepadaMu dengan setiap nama yang Engkau berikan pada diriMu, atau yang telah Engkau ajarkan kepada salah satu makhluk ciptaanMu, atau yang telah Engkau turunkan dalam kitabMu, atau yang telah Engkau rahsiakan dalam ilmu ghaibMu, (aku memohon kepadaMu) untuk menjadikan al-Quran sebagai penyejuk hati ku, cahaya di dada ku, penghilang kesedihan ku, penghapus kesusahan ku,”

(Apabila seseorang membaca seperti ini) pasti Allah akan menghapuskan kesusahan dan kesedihannya, dan menjadikan untuknya jalan keluar. Abdullah bin Mas’ud R.A bertanya: “Ya Rasulullah, perlukah aku mempelajari doa ini?” Baginda SAW menjawab: “Sudah pasti, sesiapa yang mendengarnya perlu mempelajarinya.” (Riwayat Ahmad, no.3583)

Justeru, dapatlah kita ketahui bahawa ada nama yang Allah zahirkan dan ada pula yang tidak dinyatakan dan dirahsiakan pada ilmu ghaibNya sehingga sekalian makhluk tidak mengetahui.

Berdoalah dengan mana-mana nama Allah SWT. Kesemuanya adalah nama yang sempurna yang tidak ada kekurangan mahupun cacat-cela.

Rujukan:
Mufti Wilayah Persekutuan


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Natirah Azira

Beliau merupakan graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Al-Quran dan Sunnah. Pernah mendalami bidang Psikologi selama dua tahun dan sekarang sedang menyambung pengajian peringkat Ijazah Sarjana dalam bidang Kaunseling di Universiti Sains Malaysia.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami