Gaya Hidup

Adakah Kita Sudah Memberi Hak Kepada Diri Sendiri?

Oleh Natirah Azira  •  27 Apr 2019  •  5 min baca

Hujung minggu lalu saya hadir ke satu ceramah berkenaan Isu Kesihatan Mental, Integrasi Islam Dan Psikiatri. Seorang penceramah yang dijemput dalam sesi forum merupakan seorang ‘depression survivor‘.

Apabila ditanya bagaimana segalanya bermula – dia bercerita bahawa dia tidak sedar bahawa cara fikirnya tidak betul. Contohnya, risau secara melampau dengan semua benda, selalu cemas, mementingkan kesempurnaan dalam setiap apa yang dilakukan sehingga mengambil masa yang sangat lama untuk menyelesaikan tugasan.

Kesannya, dia tidak dapat tidur dalam jangka masa yang lama, tidak dapat fokus di tempat kerja dan tidak dapat bergaul dengan orang ramai kerana keadaan yang dialami. Akhirnya setelah melalui pemeriksaan, doktor mengesahkan dia mengalami Major Depressive Disorder (MDD) atau kita biasa memanggilnya depresi. Dia tidak tahu bahawa cara fikirnya selama ini bukan suatu yang normal.

Di hujung kata-katanya, dia mengajukan soalan kepada hadirin yang hadir ; “Adakah anda mengenal siapa diri anda?”

Dalam erti kata lain, adakah kita telah mengenali apakah kekuatan, kelemahan serta setakat mana kudrat dan kemampuan yang ada pada diri.

Dalam kisah yang lain, seseorang pernah berkongsi kepada saya tentang teman sekerjanya di tempat lama iaitu di sebuah bank. Dia seorang pekerja yang sangat berdedikasi, bekerja tanpa mengenal penat dan masa rehat. Pendek kata kerja tip-top!

Akhirnya dia mendapat serangan strok dan lumpuh separuh badan. Dalam keadaan begitu pun dia sering menyebut-nyebut bahawa dia akan sihat, dan dia masih boleh bekerja. Badan sudah tidak mampu, tetapi keinginan dan fikiran masih ada pada pekerjaan.

Seimbang Dalam Melakukan Apa Jua Perkara

Jika diteliti dua kisah yang dibawakan di atas, ada beberapa persoalan yang mampu kita ajukan pada diri sendiri.

Adakah hidup kita selama ini seimbang? Adakah kita sudah adil pada diri sendiri?

Rata-rata orang tidak dapat terus menjawab. Kita pasti akan berfikir sejenak – adakah hidup kita sudah seimbang, dan jika seimbang – apa yang sebenarnya seimbang? Sebelum saya berbicara dengan lebih lanjut, suka saya menceritakan semula kisah antara dua orang sahabat Rasulullah SAW.

Diceritakan bahawa Salman pernah mengunjungi Abu Darda’ dan mendapati Abu Darda’ dan isterinya dalam keadaan serba kekurangan. Abu Darda’ menyediakan Salman makanan namun beliau sendiri menolak untuk makan. Beliau juga bangun sangat awal untuk solat malam sehingga dua kali Salman menyuruhnya tidur semula. Di hujung malam, barulah Salman mengejutkannya. Setelah itu Salman menasihati Abu Darda’ dengan berkata;

“Sesungguhnya bagi Rabbmu ada hak, bagi dirimu ada hak, dan bagi keluargamu juga ada hak. Maka penuhilah masing-masing hak tersebut”

Selain daripada menunaikan hak kepada orang di bawah tanggungan kita, jangan dilupa bahawa diri kita sendiri juga perlu diberi hak. Hak untuk makan, hak untuk bekerja, hak untuk mendapatkan rehat, hak untuk menjaga kesihatan, hak berfikir dengan baik, hak untuk merasa gembira dan menghiburkan hati, hak untuk menjaga kebersihan diri, untuk kemas dan cantik dan banyak lagi.

Setiap hak ini perlu dipenuhi dalam kadar yang seimbang. Allah juga mengingatkan dalam firman di bawah bahawa kita juga perlu menegakkan keadilan terhadap diri sendiri.

“Wahai orang-orang yang beriman! Hendaklah kamu menjadi orang-orang yang sentiasa menegakkan keadilan, lagi menjadi saksi (yang menerangkan kebenaran) kerana Allah, sekalipun terhadap diri kamu sendiri, atau ibu bapa dan kaum kerabat kamu…” (Surah An-Nisa 4:135)

Bagaimana Untuk Mengenalpasti Bahawa Kita Sudah Memberi Hak Kepada Diri Sendiri?

Ramai orang tahu bahawa mereka perlu prihatin dengan keperluan diri sendiri, namun ramai juga yang keliru untuk mengenal pasti adakah hidupnya telah seimbang atau tidak. Adakah hak kepada diri sudah dipenuhi. Bagi menghuraikan kekeliruan ini, ada dua langkah yang mampu dilakukan iaitu:

1. Perhatikan Cara Fikir

Pertama, adakah cara fikir kita seimbang? Sebagai manusia biasa, memang ada masanya kita berfikir secara positif, dan ada kala negatif. Namun sejauh mana had yang boleh dianggap sebagai tidak normal atau tidak sihat? Dalam ilmu psikologi, ia boleh diketahui dengan menjawab persoalan ini: “Adakah cara fikir tersebut telah mengganggu rutin hidup atau hubungan dengan sesiapa”. Jika jawapannya ya, maka lebih perhatian perlu diberikan.

2. Lihat Keperluan Fizikal

Kedua, kita boleh melihat keperluan fizikal diri. Adakah kita sering sakit-sakit, tidak sihat, selalu demam, tidak dapat tidur atau mempunyai masalah-masalah fizikal yang lain. Masalah-masalah fizikal ini sebenarnya dapat memberi tanda bahawa ada sesuatu yang tidak seimbang sedang berlaku dalam diri dan memerlukan perhatian.

Pentingnya Proses Check and Ballance

Jika kita masih tidak sedar dan tidak dapat mengenal pasti keadaan diri sendiri – kekuatan, kelemahan, had dan limitasi diri, maka mungkin kita boleh mengambil pendapat orang lain yang dekat dengan diri kita. Besar kemungkinan mereka dapat melihat ‘pattern’ cara fikir, perbuatan dan rutin yang kita selalu lakukan sama ada seimbang atau tidak.

Kesimpulan

Cukup mudah untuk kita memberi nasihat apabila ada yang datang pada kita dan memberitahu masalah mereka. Kita berikan pandangan dan pendapat, dan sekian banyak cara untuk mereka keluar daripada masalah yang dihadapi. Tetapi apabila masalah yang sama berlaku kepada diri, kita cenderung untuk membiarkan, melengah-lengahkan sehingga keadaan menjadi lebih buruk.

Diri kita serta kehidupan yang diberikan oleh Tuhan ini merupakan salah satu antara nikmat dalam masa yang sama adalah tanggungjawab yang sangat besar untuk dipelihara. Di akhirat kelak, bukan hanya amal ibadah dan perbuatan kita kepada orang lain yang akan ditanya, malah keadilan kita kepada diri sendiri.

Semoga dengan penerangan dan tips yang telah diberikan di atas sedikit sebanyak mampu membantu kita untuk melalui gaya hidup yang lebih seimbang.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Natirah Azira

Beliau merupakan graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Al-Quran dan Sunnah. Pernah mendalami bidang Psikologi selama dua tahun dan sekarang sedang menyambung pengajian peringkat Ijazah Sarjana dalam bidang Kaunseling di Universiti Sains Malaysia.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami