Hukum

Jagalah Tali Silaturahim Agar Tidak Mudah Terputus

Oleh Fieyzah Lee  •  4 Oct 2019  •  3 min baca

Mungkin anda pernah bergaduh dengan rakan anda, sama ada ia adalah disebabkan oleh kesilapan masing-masing atau mungkin juga kerana wujudnya salah faham.

Kadang-kadang, apabila terjadinya hal yang begini dan ego mula menguasai diri, anda akan memilih untuk berdiam diri kerana menunggu orang yang di pihak sana untuk mengambil langkah meminta maaf terlebih dahulu.

Namun, jika masing-masing berada di puncak ego yang tinggi dan tiada sesiapa yang mengambil langkah untuk berdamai, akhirnya perkara tersebut dibiarkan berlanjutan ibarat memulakan perang dingin.

Sedangkan dalam Islam, kita mungkin terbiasa dengan anjuran untuk menyambungkan silaturahim dan dilarang untuk memutuskannya.

إِنَّمَا الْمُؤْمِنُونَ إِخْوَةٌ فَأَصْلِحُوا بَيْنَ أَخَوَيْكُمْ ۚ وَاتَّقُوا اللَّـهَ لَعَلَّكُمْ تُرْحَمُونَ

Mafhum: “Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu; dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat.” (Surah Al-Hujurat, 49:10)

Manusia Itu Bersaudara

Setiap manusia itu bersaudara, terutamanya yang muslim dan beriman. Malah, wajib ke atas seseorang untuk menjaga batas pergaulan dalam masa yang sama dengan menghubungkan silaturahim sama ada di antara sesama sendiri atau kepada orang lain.

Jika tidak bertegur sapa melebihi tiga hari, hukumnya adalah haram sekiranya tanpa sebab yang syar’ie.

لَا يَحِلُّ لِمُسْلِمٍ أَنْ يَهْجُرَ أَخَاهُ فَوْقَ ثَلَاثِ لَيَالٍ

Maksud: “Tidak halal bagi seorang muslim untuk tidak bertegur saudaranya melebihi tiga hari.” (Hadis Riwayat Muslim, no. 2560)

Malah, dalam riwayat Bukhari juga ada menyebut bahawa – “Tidak akan masuk syurga bagi mereka yang memutuskan silaturahim.”

Hal ini bermaksud bahawa silaturahim itu merupakan suatu yang sangat penting untuk menunaikan hak sebagai saudara sesama muslim.

Kita bukan sahaja bersaudara sebagai muslim, namun juga adalah sebagai saudara di bawah keturunan Nabi Adam A.S.

Oleh yang demikian, jaga hubungan itu bukan sahaja antara kita dengan Allah, namun juga perlu menjaga hubungan sesama manusia.

Hubungan Bagaimana Yang Boleh Diputuskan

Walau bagaimanapun, timbul persoalan mengenai bolehkah sesebuah hubungan itu diputuskan? Sama ada secara terus atau mungkin juga kerana kekok dengan si dia?

Sebagai contoh – Jika anda bercerai atau putus hubungan dengan pasangan anda, pasti wujudnya istilah kekok sesama sendiri.

Atau mungkin juga kerana wujudnya perasaan benci disebabkan oleh kesalahan yang dilakukannya sekali gus mengundang kepada perasaan sudah tidak mempercayai orang lain.

Jadi, apabila berada dalam keadaan ini, bagaimana untuk meneruskan hubungan tersebut sedangkan melihat mukanya sahaja boleh menyebabkan emosi anda tidak stabil apatah lagi untuk berhubung dengannya.

Sebenarnya, dalam situasi seperti ini, yang paling penting adalah cuba untuk kawal perasaan anda dan terima ia dengan hati yang terbuka.

Siapa yang salah itu bukan isu, namun yang paling penting ialah siapa yang sanggup untuk merendahkan ego dan meminta maaf terlebih dahulu. Cuba untuk bukan minda dan bersikap lebih matang dengan tidak terlalu mengikutkan perasaan amarah yang membuak dalam diri.

Dalam hal lain, jika seseorang itu tersasar dari landasan Islam, dan anda bimbang akan menggugat keimanan anda sendiri, maka mengikut perbahasan ulama’ adalah tidak mengapa.

Hal ini kerana, ia bimbang akan menjejaskan iman diri sendiri dan terjebak ke arah yang mungkar.

Wallahu a’lam.

Baca juga: Block Dan Unfriend Di Media Sosial, Adakah Memutuskan Silaturahim


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Fieyzah Lee

Fieyzah Lee

Merupakan seorang pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Bahasa Melayu untuk Komunikasi Antarabangsa. Seorang yang suka membaca bahan bacaan dalam bidang sejarah dan motivasi

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami