Hukum

Adakah Boleh Bermain Permainan Mesin Claw?

Oleh Natirah Azira  •  17 Apr 2019  •  3 min baca

Mesin ‘claw’ ialah satu permainan arked yang menggunakan cakar besi bagi mengambil barang yang berada dalam mesin tersebut. Kita biasanya melihat mesin-mesin ini sama ada di dalam pasaraya atau di galeri permainan arked.

Malah jika anda pernah melihat rancangan atau cerita berbahasa Korea, anda pasti tahu bagaimana mereka menggunakannya. Wang syiling atau token dimasukkan ke dalam satu lubang dan ‘cakar besi’ akan mula bergerak ke bawah untuk menangkap barang yang ada – jika tidak bernasib baik, pemain tidak akan mendapat apa-apa.

Ia digambarkan sebagai permainan yang menyeronokkan meskipun tidak mendapat apa-apa, dalam masa yang sama mempengaruhi penonton untuk mencubanya sendiri.

Namun, adakah permainan menggunakan mesin ‘claw’ ini dibolehkan sebenarnya dalam Islam? Bagi memahami isu ini dengan lebih lanjut, mari kita fahami dahulu apa yang dimaksudkan dengan judi dan pertaruhan.

Maksud Judi Dan Pertaruhan

“Wahai orang yang beriman! Sesungguhnya arak, judi, pemujaan berhala dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya” (Surah al-Ma`idah 5:90)

Judi dikenali dalam bahasa Arab dengan perkataan ‘qimar’ atau ‘al-maisir’ yang bermaksud pertaruhan menggunakan anak panah (aktiviti yang biasa dilakukan oleh orang Arab). Ia boleh juga berlaku dengan menggunakan anak batu, dadu dan seumpamanya.

Secara istilahnya, judi adalah apa jua aktiviti yang berkait dengan aktiviti pertaruhan. Seseorang akan membayar sejumlah wang atau barang berharga dan mempertaruhkannya untuk mendapat keuntungan yang lebih banyak. Hal ini terpakai juga dalam aktiviti peraduan yang memerlukan peserta membayar caj peraduan dan bergantung kepada nasib untuk mendapat habuan yang lumayan.

Apa Kata Ulama’ Tentang Judi Dan Pertaruhan

Al-Mawardi mengatakan judi ialah suatu pertandingan yang menjadikan pihak yang terlibat tidak terlepas sama ada menjadi pemenang (mengambil) atau tewas (menyerahkan) hadiah yang dipertaruhkan.

Bagi Ibn Taimiyyah, judi merupakan pengambilan sebahagian daripada harta seseorang, kemudian dipertaruhkan sama ada seorang itu mendapat hasil atau tidak mendapat apa-apa.

Hukum Permainan Mesin ‘Claw’

Maka dalam permainan mesin ‘claw’, kita dapat lihat terdapat unsur-unsur judi kerana ia menafikan hak pembeli yang sepatutnya dapat memilih dan mendapat barang yang diingini setimpal dengan apa yang dibayar. Situasi ini juga melanggar prinsip khiyar (pilihan) yang ada dalam urusan jual beli. Maka hukumnya adalah haram.

Di samping itu, ulama telah menggariskan beberapa syarat dalam menentukan suatu permainan itu judi atau tidak:

1. Ia disertai oleh dua orang atau lebih atau dua kumpulan manusia atau lebih.
2. Setiap pihak mempertaruhkan sesuatu harta atau manfaat.
3. Mana-mana pihak yang menang akan memperolehi harta atau manfaat dari pihak yang kalah di samping menyimpan harta dan mafaat yang ia pertaruhkan. (Lihat Halal Dan Haram Dalam Islam, hlm. 427)

Setiap permainan yang berdasarkan nasib dan yang membantutkan akal fikiran seperti permainan dadu, daun terup (yang mempunyai unsur pertaruhan) dan sebagainya adalah haram. Ini kerana permainan ini membiasakan diri untuk bergantung kepada nasib dalam setiap perkara yang dilakukan. Ini menjadikan mereka menyangka bahawa nasib adalah penentu segala-galanya dalam dunia ini (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 8/146).

Rujukan:
Hukum Bermain Permainan Mesin ‘Claw’


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Natirah Azira

Beliau merupakan graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Al-Quran dan Sunnah. Pernah mendalami bidang Psikologi selama dua tahun dan sekarang sedang menyambung pengajian peringkat Ijazah Sarjana dalam bidang Kaunseling di Universiti Sains Malaysia.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami