Ibadah

Adakah Anda Muslim Yang Malas Bersolat?

Oleh Anas  •  3 Apr 2017  •  3 min baca

Adakah anda seseorang yang pernah berkata, “saya solat tapi kadang-kadang”, atau “saya orang Islam tapi saya tak solat”, “saya tak ada masa untuk solat”, “saya malas solat”, atau “tak ada sebab untuk solat, Hidup saya sama sahaja”?

#1 – Mengapa Anda Perlu Solat?

Fahami perkara asas iaitu mengapa anda perlu solat. Jika anda menyakini Allah dan Rasulnya, kitab, malaikat, qada’ dan qadar serta hari akhirat, maka anda wajib menunaikan solat.

Ini kerana enam perkara yang disebut tadi ialah rukun Iman manakala solat pula terkandung dalam rukun Islam yang menjadi pegangan umat Islam. Islam yang anda pegang tidak akan teguh tanpa asas ini.

Ini bermakna, dengan tidak bersolat, anda bukan sahaja menjauhkan diri anda dari Allah. Malah anda sedang meninggalkan Islam.

#2 – Kenal Pasti Punca

Kenal pasti punca anda tidak solat. Adakah kerana tugas anda menghalang anda untuk bersolat? Adakah gaya hidup anda menjauhkan anda dari menunaikan solat?

Solat adalah cinta kita kepada Allah. Sepertimana anda sanggup meluangkan masa dan wang ringgit untuk kekasih anda, Allah sebenarnya lebih berhak untuk dicintai.

Semasa anda melupakan Allah, Allah masih memberikan anda apa yang anda mahu di dunia ini dan menangguhkan segala balasan atas dosa yang anda lakukan. Malah taubat anda diterima olehNya selepas itu. Ini membuktikan yang Allah lebih mengasihi makhluknya melebihi cinta makhluk yang anda terima.

Hal ini mudah difahami kerana Allah lah pemilik kepada perasaan cinta maka konsep cinta Allah lebih hebat berbanding konsep cinta makhluk yang anda miliki dan fahami.

Bayangkan pula cinta yang Allah mampu berikan bila kita mematuhi perintahNya, keampunan yang diberikan olehNya, dan kasihNya semasa di akhirat kelak.

#3 – Segarkan Hati Dengan Zikir

Bersihkan dan segarkan hati dengan zikir. Pejamkan mata, tenangkan hati dan ucap “Astaghfirullah al azim”, “Subhanallah”, “Allahu akhbar”. Sebut ia sehingga hati kembali mengingati Allah SWT. Dekatkan semula diri dengan Al-Quran.

Sambil anda berzikir, sambil anda membaca Al-Quran, kenang semula mengapa anda berada di dunia ini. Apakah tujuan hidup anda? Adakah cukup semata-mata untuk dunia sedangkan usia anda mungkin sekadar 60 sehingga 100 tahun.

Tiada yang kekal di dunia. Semuanya berakhir dengan kematian dan semuanya akan ditinggalkan melainkan amalan anda yang diterima Allah.

#4 – Meyakini Doa Dan Ganjaran Allah

Kita selalu berharap untuk melihat sesuatu di genggaman kita selepas melakukan sesuatu. Sehingga kita menyangka dengan bersolat juga kita melihat kekayaan, kebahagiaan di depan mata. Jadi, kita terlupa bahawa kita tidak dapat melihat Allah tetapi tetap meyakini akan adanya Allah.

Penglihatan kita tidak nampak dosa dan pahala. Pembalasan boleh berlaku dengan begitu halus sehingga tidak sedar terjadi di depan mata. Kita melakukan tanpa ikhlas. Apa yang anda tidak dapat lihat sebenarnya adalah amat penting kepada Allah.

Solat mengingatkan tentang kedudukan kita sebagai hamba Allah, ia pintu kepada taubat, mengajar kita mengurus masa, melatih sifat kepimpinan, melahirkan rasa malu kepada Allah, menyihatkan tubuh, dan terpenting menjadi makanan kepada akidah.

#5 – Jangan Tunggu Sampai ‘Seru’

Usah menunggu ‘sampai seru’ untuk berubah. Perubahan dibina dengan niat, azam dan tekad. Menunggu ‘seru’ bermakna anda tahu anda perlu untuk berubah tetapi anda sengaja tidak mahu melakukannya atau memilih untuk berlengah.

Terus lakukan solat 5 waktu dan bukan secara berperingkat. Ini kerana solat teramat penting untuk dilaksanakan. Apabila anda tidak solat, anda sebenarnya sedang melakukan perkara yang anda tidak patut lakukan. Maka, anda perlu bertegas dengan diri anda.

Solat perlu ditunaikan sama ada anda rasa diri anda berdosa atau pun tidak. Dengan bersolat, iman anda diperbaiki dan bukan sebaliknya. Justeru, didiklah semula hati dan diri anda untuk bersolat.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Anas

Anas

Seorang penulis yang suka bereksperimentasi dengan pelbagai bidang dalam penulisan. Pernah menulis buku kanak-kanak dan juga majalah.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami