Keluarga

Adakah Amal Soleh Anak-Anak Juga Termasuk Dalam Amalan Yang Tidak Akan Terputus

Oleh Fizah Lee  •  12 Oct 2020  •  2 min baca

Setiap dari kita pasti menginginkan cahaya mata yang soleh dan solehah sebagai penyejuk mata.

Perkara itu bukan sahaja untuk perkara duniawi semata-mata, namun untuk kebahagiaan dan kesejahteraan akhirat juga.

Mengapa demikian? Hal ini kerana, Baginda SAW telah bersabda bahawa antara amalan yang tidak terputus walaupun manusia telah meninggal dunia adalah doa anak yang soleh yang sentiasa dikirimkan buatnya.

Maksud: “Apabila wafatnya anak Adam, terputuslah segala perkara kecuali tiga amalan yang akan sentiasa mengalir, iaitu sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan doa anak yang soleh kepada orang tuanya.” (Hadis Riwayat Muslim, no. 1631)

Mengapa disebutkan tentang doa dari anak yang soleh? Hal ini kerana, mereka adalah hasil daripada apa yang telah anda sendiri bentuk.

Mereka itu anak-anak kecil yang dilahirkan dalam keadaan tiada apa-apa dan diibaratkan seperti kain putih.

Ibu bapa sendiri yang bertanggungjawab mencorakkan anak-anak mereka dengan apa jua warna yang diingini.

Hasilnya adalah berdasarkan apa yang anda corakkan. Jadi, ia adalah salah satu hasil yang anda tinggalkan di muka bumi ini dan salah satu tugas mereka adalah sentiasa mengirimkan doa buat orang tua mereka yang telah meninggal dunia.

Namun, adakah doa sahaja yang akan dikirim kepada mereka? Menurut pendapat ulama, setiap amal ibadah yang dilakukan oleh anak-anak juga akan sampai pahalanya kepada orang tua yang telah meninggal dunia.

Anak adalah sebahagian daripada usaha yang dihasilkan dan dicorakkan.

Maksud: “Sebaik-baik rezeki adalah dari apa yang telah kamu makan dari usaha kalian sendiri. Dan sungguh anak-anak kalian itu termasuk dari usaha kalian.” (Hadis Riwayat Aisyah RA, no. 2199. Disahihkan oleh Imam Suyuthi)

Imam Suyuthi dalam kitab Syarah Ibnu Majah juga menyebut bahawa – “Ada pendapat ulama yang menyatakan bahawa setiap amal ibadat yang dilakukan anak, maka orang tua juga akan mendapatkan pahalanya. Meskipun si anak tidak mendoakan mereka (secara lisan). Sebagaimana jika seseorang meninggalkan sedekah jariah, maka ia akan mendapatkan pahalanya meski orang yang mendapatkan manfaat atau memanfaatkan sedekah itu, tidak mendoakan si pemberi.”

Disimpulkan di sini bahawa, ibu bapa perlu sentiasa berusaha mencorakkan zuriat mereka ke arah yang baik dan diredai Allah.

Biarpun kita tidak tahu bagaimana jalan yang dipilih oleh anak-anak anda suatu hari nanti, biarlah usaha itu menjadi salah satu perkara yang boleh mendatangkan kebaikan buat anda di akhirat kelak.

Dan semoga zuriat anda bakal menjadi seorang yang soleh dan solehah yang sentiasa boleh memberi manfaat buat anda.

Wallahu a’alam

Rujukan:
Konsultasi Syariah


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Fizah Lee

Merupakan seorang graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Bahasa Melayu untuk Komunikasi Antarabangsa. Seorang yang suka membaca bahan bacaan dalam bidang sejarah dan motivasi

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami