Gaya Hidup

Adab Menziarahi Pesakit Dari Pandangan Seorang Doktor

Oleh Natirah Azira  •  25 Nov 2019  •  5 min baca

Dengar sahaja ada saudara mara terdekat atau rakan-rakan rapat yang sakit, pasti kita ada menyimpat hasrat untuk ingin menziarahi dan melihat keadaan mereka. Lebih-lebih lagi jika sakit yang dialami adalah sakit yang berat. Pelbagai kemungkinan yang terlintas dalam benak kita, takut-takut kita tidak sempat untuk berjumpa mereka lagi selepas itu.

Sebelum ini Tzkrh sudah ada berkongsi tentang persoalan berkaitan amalan menziarahi orang sakit seperti doa yang boleh dibaca apabila menziarahi mereka.

Kali ini, Tzkrh ingin berkongsi pula tentang adab menziarahi pesakit daripada pandangan pegawai perubatan yang bertugas di hospital. Perkongsian ini telah diambil dan diolah daripada bebenang Twitter yang dibuat oleh seorang doktor bernama @ZyMasri (Dr Zahidah Masri). Mari ikuti perkongsian beliau:

#1- Minta Dahulu Kebenaran

Pertama sekali, minta dahulu kebenaran pesakit, ahli keluarga atau saudara mara mereka adakah keadaan sesuai untuk melawat, atau jika mereka lebih selesa dilawati pada waktu lain, jika keadaan diri sudah lebih stabil dan sihat.

#2- Dapatkan Maklumat Ringkas Berkenaan Keadaan Mereka

Dapatkan maklumat tentang keadaan pesakit daripada doktor atau ahli keluarga terlebih dahulu. Hal ini dapat mengelak daripada membebankan pesakit kerana mereka tidak perlu bercerita berkali-kali setiap kali ada yang datang melawat.

#3- Jangan Datang ‘Sekampung’!

Jangan datang terlalu ramai sehingga memenuhi ruang wad dan menjadikan pesakit-pesakit dan pengunjung lain tidak selesa. Seeloknya hadkan bilangan, dan sekiranya kenalan rapat agak ramai, berbincang dan bahagikan kepada beberapa waktu yang berbeza.

#4- Pakai Pakaian Yang Bersesuaian

Pakailah pakaian yang sesuai apabila mengunjungi orang sakit – bersederhana dan tidak perlu berhias berlebihan. Anda juga tidak semestinya perlu membawa buah tangan dalam bungkusan ‘mewah’ dan besar kerana ia memakan ruang di dalam bilik sakit yang sempit. Kehadiran anda sendiri adalah suatu ‘pemberian’ sebenar buat mereka.

#5- Prihatin Pada Pemberian Yang Kecil

Keadaan di hospital biasanya tidak selesa seperti di rumah. Letakkan diri anda di tempat pesakit dan ahli keluarga yang perlu berada di situ. Mungkin anda boleh mengutamakan pemberian yang kecil tetapi istimewa seperti tisu lembap, lampin pakai buang, losyen, bantal alas yang lembut atau selimut yang lebih selesa untuk kegunaan mereka. Ia pasti pemberian yang sangat berguna!

#6- Prihatin Dengan Keadaan Di Ruangan Bilik

Apabila anda memasuki bilik sakit atau ruangan katil pesakit, prihatin dengan keadaan di situ. Adakah suhu bilik terlalu sejuk atau cahaya terlalu cerah. Tawarkan diri untuk membantu membetulkan langsir, melaraskan suhu pendingin hawa atau tawarkan untuk membawa selimut lebih untuk kegunaan mereka.

#7- Bersikap Lemah Lembut Terhadap Pesakit

Elakkan daripada bertanya soalan-soalan yang tidak perlu di hadapan pesakit yang boleh mengundang ketidakselesaan mereka. Tidak semua soalan perlu ditanya pada waktu itu. Anda sudah mempunyai niat yang baik untuk datang melawat mereka, jangan cemarkan niat dan usaha baik itu dengan tindakan yang kurang bijak.

#8- Usah Gunakan Kesempatan Untuk Mempromosikan Produk Kesihatan

Usah mengambil kesempatan dengan mempromosikan produk kesihatan ketika anda melawat pesakit – seperti minyak pati ikan, vitamin tambahan, akar kayu dan apa jua produk kesihatan yang difikir baik untuk pesakit atau dikatakan ‘terbukti’ dapat membantu. Ia barangkali tidak sesuai dengan saranan yang telah diberi oleh doktor atau keadaan pesakit sendiri.

#9- Tidak Mengambil Gambar Atau Video Untuk Dimuatnaik Ke Media Sosial

Wad dan bilik sakit adalah tempat yang khusus buat pesakit. Jangan ambil gambar atau video sesuka hati dan tidak menghormati privasi pesakit dan orang di sekitar. Ia berkemungkinan dapat menimbulkan salah faham dan mendatangkan masalah pada masa akan datang.

#10- Elakkan Daripada Banyak Bercerita Tentang Diri Sendiri

Jadikan pertemuan anda dengan pesakit adalah pertemuan yang istimewa. Justeru fokus perlu diverikan kepada mereka. Elakkan terlalu banyak bercerita tentang diri anda, perkara baik buruk yang dialami, orang yang anda jumpa baru-baru ini atau lebih teruk lagi usah pula bergosip tentang perihal hidup orang lain.

#11- Hormati Pesakit Yang Lain

Hormati juga pesakit lain yang ada sebilik dengan rakan anda (atau katil mereka berdekatan dengan katil rakan anda yang sakit). Berpada-pada ketika menyatakan kesedihan. Rakan anda mungkin menghidap demam denggi sahaja, tetapi mak cik di sebelah pula mungkin sedang bersedih kerana baru sahaja kehilangan anak yang dikasihi.

#12- Singkatkan Pertemuan

Elakkan daripada terlalu berlama-lama apabila bertemu mereka. Orang sakit biasanya akan cepat penat. Jangan jadikan mereka orang yang bertugas pula untuk melayan kehadiran anda. Kata orang, make it short and sweet. Cukup dengan kehadiran anda + eye contact (pandangan mata), silence (diam untuk menghormati suasana) + hand squeeze (pegangan erat tangan untuk menyatakan sokongan) dan akhirnya berdoalah buat mereka.

#13- Hormati Petugas Yang Ada

Sila susun kembali kerusi yang telah digunakan. Tutup pintu dengan perlahan, ucapkan terima kasih kepada jururawat dan juga doktor yang telah memberikan khidmat mereka menjaga pesakit-pesakit di hospital. Jika ada masa, anda juga boleh membelanja petugas-petugas di situ dengan pizza atau kopi panas!

#14- Ambil Hikmah Dengan Apa Yang Dilihat Ketika Menziarahi Orang Sakit

Menziarahi orang sakit akan mengingatkan kita kepada nikmat kesihatan yang telah diterima selama ini. Ambil hikmah dengan apa yang telah dilihat dan pohonlah kesihatan buat mereka dalam doa-doa anda selepas itu.

Kesimpulan

Banyak sebenarnya adab-adab yang boleh dipraktikkan apabila menziarahi orang sakit sama ada di rumah atau di hospital. Kita hanya perlu lebih prihatin dengan keadaan dan juga keperluan orang-orang di sekeliling. Semoga dengan kehadiran kita di sisi mereka serta adab-adab yang dijaga, ia sedikit sebanyak dapat menjadikan hari mereka lebih bermakna.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Natirah Azira

Natirah Azira

Beliau merupakan graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Al-Quran dan Sunnah. Sekarang sedang menyambung pengajian peringkat Ijazah Sarjana dalam bidang Psikologi di universiti yang sama. Seorang yang suka membaca pelbagai genre bahan bacaan terutama sejarah, sastera, motivasi dan psikologi.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami