Tokoh

Abu Bakar As-Siddiq: Insan Yang Sudah ‘Muslim’ Sebelum Pengislamannya

Oleh Rabiatul Adaweeyah  •  19 Jun 2017  •  3 min baca

Pada awal pernikahan Nabi Muhammad SAW bernikah dengan Khadijah binti Khuwailid, Baginda tinggal berjiran dan berdekatan dengan kediaman Abu Bakar. Sejak itulah mereka saling berkenalan dan bersahabat, tambahan lagi kedua-duanya hampir sebaya dan sama-sama sebagai pedagang.

Abu Bakar as-Siddiq juga memeluk agama Islam atas ajakan Rasulullah sendiri. Bahkan beliau adalah orang terawal yang memeluk Islam dalam golongan lelaki. Melalui beliau juga lebih ramai kaum Quraisy yang menerima Islam dan menjadi sahabat setia Baginda dalam membantu menyebarkan Islam.

Abu Bakar as-Siddiq sememangnya sudah memiliki sifat terpuji sebelum beliau memeluk agama Islam lagi. Disebabkan itulah, dikatakan beliau sebenarnya sudah ‘muslim’ sebelum pengislamannya lagi.

#1 – Adil Dan Jujur Dalam Perniagaan

Abu Bakar as-Siddiq merupakan usahawan yang berjaya. Beliau sangat adil dalam perniagaannya, selain jujur dan pintar dalam berdagang.

Beliau tidak mengamalkan perbuatan riba, mahupun menjual barang-barang yang dilarang oleh Islam, walaupun ketika itu beliau belum lagi mengenali Islam. Banyak orang lebih memilih untuk berurusan dengan beliau kerana sifat-sifat baik yang dimilik olehnya.

#2 – Menjaga Kehormatan Diri

Saidina Abu Bakar adalah seorang yang sangat menjaga kehormatan dan maruah dirinya. Beliau sangat tidak gemar meminum arak, bahkan sangat benci akan minuman keras.

Abu Bakar sendiri mengharamkan khamr (arak) ke atas dirinya. Beliau tidak pernah minum minuman haram tersebut setitispun sepanjang umurnya, walaupun ketika itu beliau masih belum mengenali Islam. Baginya, orang yang meminum arak adalah orang yang melalaikan kehormatan dirinya.

#3 – Tidak Pernah Menyembah Berhala

Walaupun ketika itu seluruh masyarakat jahiliyah menjadikan sembahan berhala sebagai cara menyembah tuhan mereka, tetapi Abu Bakar tidak pernah melakukannya seumur hidupnya, walaupun masih kanak-kanak.

Kemuliaan ini adalah sama seperti Rasullah SAW dan Ali bin Abi Talib yang tidak pernah menyembah berhala sepanjang hidup mereka. Hal ini sangat ketara, kerana kebanyakan sahabat Rasululalh SAW pernah menyembah berhala di masa jahiliyah mereka dahulu.

#4 – Tidak Pernah Melakukan Jenayah Dan Kejahatan

Bukan sahaja pintar dan berilmu pengetahuan tinggi dalam kalangan masyarakatnya, Abu Bakar as-Siddiq juga dikatakan tidak pernah melakukan perbuatan atau kesalahan tingkah laku. Ini kerana beliau sangat menjaga dirinya walaupun ketika itu beliau masih belum menjadi Muslim.

Sememangnya semasa jahiliyah lagi beliau sudah menjaga pekertinya, apatah lagi selepas memeluk Islam. Disebabkan itulah beliau sangat dicintai oleh Rasulullah SAW dan disenangi oleh para sahabat yang lain.

#5 – Keyakinan Terhadap Rasulullah Yang Tiada Tandingnya

Saidina Abu Bakar adalah antara orang pertama yang memeluk Islam, sudah tentu kepercayaan dan keyakinan beliau terhadap Rasulullah SAW sangat tinggi dan tidak mampu diganggu-gugat lagi.

Keyakinan itu adalah sewaktu beliau mula-mula memeluk Islam lagi, dan semakin kuat apabila sudah sah pengislamannya. Disebabkan itulah Rasulullah SAW sendiri mengurniakan gekaran ‘as-Siddiq’ kepadanya kerana kepercayaannya yang tinggi atas apa-apa jua yang disampaikan oleh Baginda, yang mungkin tiada pada orang lain.

Sewaktu awal-awal penyebaran ajaran Islam dengan pengikut yang masih sedikit dan kedudukan Islam yang masih lemah, Abu Bakar adalah orang pertama yang menyampaikan khutbah dakwah secara terbuka. Akibatnya kaum kafir Quraisy sangat marah dan memukul beliau sehingga pengsan dan luka teruk.

Sesungguhnya Abu Bakar as-Siddiq adalah insan terpilih sebagai sahabat Rasululah SAW. Beliau seorang yang ikhlas dalam mencintai dan mengasihi Baginda. Bahkan cinta dan kasihnya terhadap Nabi Muhammad SAW tidak mampu ditandingi oleh mana-manapun insan lain. Sehingga selepas kewafatan Rasulullah SAW, kesetiaan dan kecintaan Abu Bakar tidak pernah kurang sedikitpun bahkan semakin kuat dan teguh.

Rujukan:

1. Muhayudin Hj Yahya, Ace Ahead Teks STPM Sejarah Islam (Shah Alam: Oxford Fajar)
2. Dr. Ali Muhammad Shalaby (2003), Sîrah Abi Bakr Al-Shiddiq, Daru’l Fajr li al-Trurats: Kairo


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Rabiatul Adaweeyah

Rabiatul Adaweeyah

Berkelulusan Ijazah Sarjana Muda dari Universiti Malaya dalam Pengkhususan Pengajian Media Dan Sejarah. Sekarang bertugas sebagai Editor di sebuah syarikat penerbitan buku.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami