Tokoh

Abdus Salam, Saintis Muslim Kedua Yang Menerima Anugerah Nobel

Oleh Natirah Azira  •  29 Apr 2019  •  2 min baca

Dunia kita mempunyai ramai saintis, sejak daripada zaman dahulu hinggalah sekarang. Salah seorang saintis Islam yang pernah mendapat pengiktirafan dan anugerah berprestij ialah Dr. Abdus Salam.

Sumber gambar daripada Toronto Star

Beliau dilahirkan di Jhang (Pakistan sekarang) pada tahun 1926. Sejak dari kecil, kecerdasannya dalam pelajaran telah terserlah. Pada umur 14 tahun sahaja, beliau telah memperoleh markah tertinggi dalam sejarah peperiksaan Matrikulasi di Universiti Punjab. Tidak lama kemudian, beliau akhirnya ditawarkan biasiswa oleh universiti tersebut untuk melanjutkan pelajaran.

Pada tahun 1950 pula, Abdus Salam telah memenangi Anugerah Smith daripada Universiti Cambridge atas sumbangan pra-kedoktorannya yang sangat menonjol dalam bidang Fizik. Tesisnya telah diterbitkan pada tahun 1951 dan membuatkan reputasi akademiknya semakin dikenali di peringkat antarabangsa.

Pada tahun yang sama, beliau telah kembali ke Pakistan dan menjadi guru Fizik di salah sebuah kolej kerajaan di Lahore. Setahun selepas itu, beliau dilantik menjadi Ketua Jabatan Fizik di Universiti Punjab, tempat beliau dahulu mula-mula menapak.

Namun pada tahun 1954, beliau sekali lagi memutuskan untuk meninggalkan Pakistan dan kembali ke Universiti Cambridge. Dalam masa yang sama beliau masih menjadi penasihat bagi Polisi Sains di Pakistan.

Sumbangannya dalam bidang Fizik telah memberi banyak manfaat kepada rakyat di sana. Beliau juga menjadi satu sosok yang dikenali. Selain pernah menjawat jawatan sebagai ahli jawatankuasa Suruhanjaya Saintifik Pakistan, beliau juga menjadi Ketua Penasihat Saintifik bagi presiden daripada tahun 1961 hingga tahun 1974.

Setelah melalui pelbagai pengalaman sepanjang perkhidmatannya, serta kekurangan yang dilihat pada Universiti Pakistan, beliau akhirnya menubuhkan Pusat Antarabangsa Untuk Teori Fizik (International Centre for Theoretical Physics) (ICTP) pada tahun 1964.

Usaha ini telah mendapat sokongan dan bantuan daripada Unesco. Objektif utama penubuhan pusat ini adalah untuk memberi sokongan yang lebih baik kepada saintis-saintis muda untuk membangunkan negara.

Kemuncak pencapaian Abdus Salam dapat dilihat apabila beliau menang Anugerah Nobel dalam bidang Fizik pada tahun 1979 bersama-sama dengan penerima anugerah yang lain seperti Sheldon Lee Glashow dan Steven Weinberg. Anugerah ini diberikan hasil sumbangan mereka dalam teori ‘unified weak‘ dan interaksi elektromagnet antara zarah-zarah asas. Beliau akhirnya meninggal dunia pada 21 November 1996 ketika berusia 70 tahun.

Sumber gambar daripada dawn.com

Kepintaran dan kelebihannya dalam bidang Fizik benar-benar telah disumbangkan kepada masyarakat sejagat. Tanpa meninggalkan kepercayaan kepada Tuhan, beliau berkata,

“Generasi kita dianugerahkan sekilas peluang untuk menyaksikan sebahagian kecil daripada ciptaanNya, ia suatu kurnia dan rahmat yang saya terima dengan rendah hati”

Sumber rujukan: Mvslim


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Natirah Azira

Natirah Azira

Beliau merupakan graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Al-Quran dan Sunnah. Sekarang sedang menyambung pengajian peringkat Ijazah Sarjana dalam bidang Psikologi di universiti yang sama. Seorang yang suka membaca pelbagai genre bahan bacaan terutama sejarah, sastera, motivasi dan psikologi.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami