Eksklusif, Kesihatan

#99 – 5 Pelaburan Untuk Kesihatan Yang Membawa Pulangan Lumayan

Oleh Fizah Lee  •  30 Dec 2020  •  4 min baca

Kita hanya akan betul-betul menghargai sesuatu apabila ia telah pergi dari hidup kita. Mungkin kata-kata ini sedikit mendalam bagi sesetengah orang kerana kebiasaannya, apabila terjadi sesuatu perkara atau kehilangan barang yang bernilai, waktu itulah manusia akan menyedari kepentingannya dan mula belajar bersyukur.

Namun, bak peribahasa Melayu, nasi sudah menjadi bubur. Tiada apa yang boleh diundur melainkan kita belajar sesuatu di sebalik perkara yang terjadi agar ia tidak akan berulang lagi.

Begitulah juga dengan nikmat kesihatan. Nikmat ini adalah nikmat yang paling besar dalam hidup manusia. Namun, berapa ramai dari kita yang benar-benar bersyukur dengannya dan menzahirkan rasa syukur tersebut kepada perkara yang bermanfaat?

Adakah anda mengucapkan syukur kepada Allah kerana masih lagi diberi nafas untuk menjalani kehidupan hari ini?

Atau adakah anda mengucapkan syukur kepada Allah sebelum tidur ke atas hari yang berjaya dilalui?

Jangan Berkira Dengan Kesihatan

Tanpa tubuh badan yang baik, semuanya tidak dapat dilakukan dengan baik. Masakan anda boleh menjahit baju jika jari jemari anda tidak dapat bekerja dengan baik. Atau masakan juga anda boleh mengeluarkan idea yang kreatif jika kepala anda terus-terusan sakit.

Disebabkan itu, jangan berkira untuk mengucapkan syukur kepada Allah di atas nikmat kesihatan yang anda kecapi. Dan, jangan berkira untuk melabur dalam kesihatan.

Jika anda boleh mengeluarkan wang yang banyak untuk perkara yang memberi keselasaan, maka anda juga pasti boleh melabur dalam perkara kesihatan.

Ini ialah beberapa perkara yang anda perlu titik beratkan dalam perkara kesihatan;

#1 – Laburkan wang kepada bantal anda

Bantal merupakan satu aset penting kerana pemilihan bantal yang betul boleh memberikan impak yang besar kepada kualiti tidur anda.

Persatuan Tidur Amerika (ASA) dan pakar-pakar kesihatan sangat menggalakkan manusia untuk melabur dalam bantal yang baik kerana ia boleh membantu mengurangkan berdengkur, meringankan leher dan sakit belakang serta meningkatkan kualiti keseluruhan tidur.

#2 – Laburkan kepada tilam yang selesa

Tempat tidur yang baik bukanlah satu kemewahan, namun ia adalah keperluan. Kajian juga telah membuktikan bahawa pemilihan tilam yang baik dapat meningkatkan bukan sahaja kualiti tidur tetapi juga kualiti hidup.

Jika tilam tidak mampu memberikan sokongan yang mencukupi untuk badan, seseorang itu terpaksa tidur dalam posisi yang salah dan ia boleh mengakibatkan pelbagai penyakit timbul seperti otot akan menjadi tegang dan tulang belakang tidak selesa.

#3 – Pastikan sekurang-kurangnya anda mempunyai sepasang kasut sukan

Walaupun anda bukanlah seorang yang gemar beriadah, namun sediakan sekurang-kurangnya sepasang kasut sukan.

Apabila anda mempunyai kasut sukan, ia bukan lagi alasan untuk anda tidak melakukan riadah walaupun sekadar senaman ringan yang mengambil masa satu ke dua kali seminggu.

Tidak perlu tunggu untuk melakukan senaman berat, malah dengan berjalan di taman juga boleh dikira sebagai senaman.

Disebabkan itu kasut merupakan peranan utama untuk menjadikan seseorang kekal semangat dan bermotivasi.

#4 – Sayangi kaki anda dengan kasut yang selesa

Kaki merupakan aset utama kepada tubuh badan anda. Kaki ialah anggota yang paling banyak bergerak dan mampu menampung badan anda dengan baik.

Justeru, jangan kedekut untuk melabur ke atas kasut yang benar-benar sesuai dan mampu memberi keselesaan kepada kaki anda.

Kasut yang baik dan selesa untuk dipakai akan memberi impak kepada postur badan yang lebih baik sekali gus menambah keyakinan anda.

#5 – Jaga pemakanan

Jangan gunakan alasan malas atau tidak mempunyai masa untuk makan makanan yang sihat sedangkan pemakanan merupakan sumber utama kepada kesihatan tubuh badan anda.

Apabila dilanda kesibukan yang melampau atau tidak mempunyai bahan untuk memasak, mulalah ada di antara kita yang akan makan makanan ringan atau makanan segera sedangkan ia bukanlah perkara yang baik.

Sebaliknya, peruntukan masa dan wang anda untuk membeli sayur-sayuran dan buah-buahan agar ia boleh membelkalkan kesihatan dan tenaga buat anda dengan baik.

Kesimpulan

Tubuh badan yang Allah kurniakan kepada manusia ini hendak dipakai lama. Bukan hanya sehingga umur 30 ke 40 tahun, namun lebih dari itu.

Disebabkan itu, tidak rugi untuk anda melaburkan wang dan masa kepada tubuh badan anda kerana ia adalah pelaburan yang paling selamat dan akan memberi pulangan yang lumayan kepada diri anda sendiri.

Jadi, sebelum menuju tahun baru ini, apa kata anda periksa kembali sikap anda kepada diri anda, adakah sudah cukup perhatian yang diberikan buat diri anda atau masih kurang?

Inilah masanya untuk kita memperbaikinya agar boleh menambah baik lagi dari sudut kesihatan.

#Menuju2021
#PE1H


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Fizah Lee

Merupakan seorang graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Bahasa Melayu untuk Komunikasi Antarabangsa. Seorang yang suka membaca bahan bacaan dalam bidang sejarah dan motivasi

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami