Remaja

9 Peranan Ibu Bapa Dalam Menangani Masalah Para Remaja

Oleh Rabiatul Adaweeyah  •  6 Feb 2017  •  1 min baca

Pembabitan golongan remaja Islam dalam pelbagai masalah dan jenayah semakin menjadi-jadi kebelakangan ini, sehingga meresahkan pelabagi pihak. Justeru, peranan ibu bapa adalah sangat penting dalam menangani permasalahan ini.

Berikut kami kongsikan beberapa peranan kita sebagai ibu bapa dalam menangani isu ini dari berlaku kepada anak-anak.

1# Memberi Pendidikan Agama Dan Nilai Murni

Pendidikan agama sangat penting dalam mengasuh anak-anak seawal umur mereka. Ini kerana pegangan agama yang kuat akan menjadi perisai seiring kedewasan mereka.

Kesan daripada didikan agama ini akan melahirkan golongan remaja yang takut berbuat dosa dan bimbang jika tidak menyesali kesalahan yang dilakukan. Jadi agama adalah penghadang dalam membendung perlakuan jenayah atau permasalah akhlak dalam kalangan remaja.

Selain itu, terapkan juga pelbagai nilai murni contohnya menghormati ibu bapa dan golongan tua serta pelbagai sikap baik yang lain.

2# Ibu Bapa Sebagai ‘Role Model’

Golongan ibu bapa adalah contoh yang sangat mudah diikuti oleh anak-anak. Dengan itu, jika ibu bapa tidak mahu anak mereka merokok, janganlah merokok di hadapan mereka dan melarang tegas perbuatan merokok di rumah.

Begitu juga jika pasangan ibu bapa mahukan anak-anak yang berdisiplin, mereka dahulu perlu menunjukkan contoh dispilin yang baik kerana anak-anak akan memerhati apa-apa saja perlakukan ibu bapa mereka, bukan sekadar mendengar sahaja.

3# Berkomunikasi Dan Berbincang Dengan Anak-anak

Ibu bapa juga perlu kerap berinteraksi dan berkomunikasi dengan anak-anak. Dengan ini hubungan kekeluargaan akan semakin erat dan anak-anak tidak akan berasa diabaikan.

Waktu ini juga akan digunakan oleh anak-anak untuk meluahkan perasaan dan masalah mereka. Ini kerana banyak kes remaja bermasalah berpunca daripada berasa tersisih dan tidak mendapat perhatian keluarga dan ibu bapa.

Ibu bapa seharusnya menganggap anak-anak remaja sebagai sahabat yang lebih bersikap terbuka dan jujur. Ketika usia ini remaja sangat memerlukan sokongan dan pemerhatian yang lebih agar tidak mudah terjerumus dalam hal-hal yang kurang disenangi.

Komunikasi yang kerap ini sepatutnya bermula sejak mereka kecil lagi dan berterusan hingga usia remaja dan dewasa.

4# Luangkan Masa bersama-sama

Luangkanlah masa dengan anak-anak dalam pelbagai aktiviti yang bersesuaian agar dapat membina hubungan yang lebih mesra.

Masa bersama-sama juga boleh digunakan dengan solat berjemaah, makan bersama, bersenam, menonton televisyen, berkebun, bahkan berbual-bual tantang perkara yang berlaku dalam seharian mereka. Tunjukkan kasih sayang bahawa mereka sangat dihargai dan sesekali tidak diabaikan.

5# Mengambil Berat Perlakuan Anak-anak

Ibu bapa seharusnya tahu setiap tindakan anak-anak mereka selain memahami sikap mereka. Wajib mengetahui bahan bacaan, apa-apa yang didengar dan ditonton oleh anak-anak.

Ini sangat penting untuk ibu bapa menapis bahan-bahan yang tidak berfaedah sampai kepada mereka kerana golongan ini sangat mudah terpengaruh dengan penyampaian media.

Jadi, tontonlah televisyen dan membaca bersama-sama mereka. Ini akan memudahkan ibu bapa mengajar dan membina karakter anak-anak.

6# Bantu Anak-anak Berkeyakinan Dan Bermatlamat

Ibu bapa juga berperanan dalam memberi keyakinan kepada anak-anak, iaitu dengan mengajarkan ilmu dan kemahiran-kemahiran tertentu. Memberi pujian dan galakkan atas kejayaan dan kemampuan mereka.

Jangan mudah mengkritik apatah lagi menghukum mereka, sebaiknya turut menghormati dan membabitkan mereka dalam membuat keputusan mengenai keluarga.

Berikan cadangan dan pendapat agar mereka berasa lebih dihargai dan diberi perhatian. Dengan ini anak-anak akan berasa bertanggungjawab untuk terus bersikap baik.

7# Tetapkan Peraturan Dan Kenali Rakan Anak-anak

Sebagai ibu bapa, tetapkan peraturan yang jelas bagi anak-anak tentang perkara yang dilarang. Terangkan sebab semua peraturan tersebut penting.

Dengan itu anak-anak akan lebih faham dan tidak hanya menurut peraturan itu kerana terpaksa, contohnya tentang bahaya rokok, dadah, alkohol, dan dosa perlakuan seks bebas.

Tetapkan masa yang seharusnya mereka berada di rumah dan waktu-waktu yang dilarang untuk mereka keluar. Ini untuk mengelakkan mereka daripada terlepas pandang dan terjebak dalam masalah sosial lain. Jadi ibu bapa mesti prihatin dengan mengetahui setiap minit keberadaan mereka.

Bahkan, kenali setiap rakan anak-anak supaya boleh memastikan semua kawan mereka adalah positif dan jauhkan mereka daripada rakan yang membawa pengaruh tidak sihat.

8# Galakkan Anak-anak Melibatkan Diri Dalam Masyarakat

Bantu dan pimpin anak-anak mengenal pasti kelebihan, bakat dan minat mereka, selain memandu mereka mencari peluang mengetengahkan kelebihan mereka itu.

Galakkan juga mereka untuk terlibat dalam aktiviti kemasyarakatan bagi menampakkan mereka sebagai remaja yang sihat dan aktif, selain menjauhkan jadual mereka daripada terisi dengan aktiviti tidak sihat lain.

9# Libatkan Diri dengan Pihak Sekolah

Ibu bapa juga mestilah berhubung rapat dengan pihak sekolah demi memudahkan pemantauan perkembangan anak-anak mereka di sekolah. Contohnya, menghadiri majlis-majlis di sekolah. Selain itu, beri perhatian kepada subjek yang diambil oleh anak-anak dan kerja rumah yang diberikan.

Berjumpalah dengan guru untuk bertanyakan perihal anak-anak mereka ketika berada di sekolah. Jika ada perubahan ketika di sekolah pasti ianya boleh dikesan dari awal. Bahkan anak-anak juga pasti bangga dan gembira jika mengetahui ibu bapanya memberi perhatian kepadanya.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Rabiatul Adaweeyah

Berkelulusan Ijazah Sarjana Muda dari Universiti Malaya dalam Pengkhususan Pengajian Media Dan Sejarah. Sekarang bertugas sebagai Editor di sebuah syarikat penerbitan buku.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami