Ibadah

9 Amalan Rasulullah SAW Dan Para Sahabat Di Akhir Ramadan

Oleh Marina  •  4 Jun 2017  •  4 min baca

Syukur ke hadrat Ilahi kerana kita masih lagi diberi peluang untuk merasai dan melalui Ramadan bagi tahun ini. Saban tahun kita lalui Ramadan ini, pernahkah kita ajukan pertanyaan kepada diri, ‘Bagaimanakah Rasulullah SAW dan para sahabat Baginda menjalani ibadah puasa pada zaman dahulu, terutama pada 10 malam terakhir?’

Oleh itu, di sini dikongsikan serba sedikit, antaranya seperti berikut;

#1 – Mandi, Berpakaian Cantik Dan Berwangi-Wangian

Kebiasaannya, apabila ingin bertemu dengan orang tersayang, pasti kita akan bersiap dengan sekemas dan secantik yang boleh, bukan? Begitu juga apabila kita ingin menghadap Allah SWT; kekasih abadi yang Maha Pemurah dan Maha Penyayang.

Sesungguhnya, kebersihan itu juga separuh daripada iman. Berpakaian bersih, kemas dan wangi ketika beribadah bukan sahaja mengikut sunnah Rasulullah SAW tetapi ia turut membantu kita untuk mendapatkan khusyuk dalam solat.

#2 – Beriktikaf Di Masjid

Iktikaf adalah berdiam diri di masjid dengan niat untuk beribadah kepada Allah SWT. Abu Said Al-Khudri meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW pernah beriktikaf pada awal Ramadan, pertengahan Ramadan dan kerap beriktikaf pada 10 hari terakhir bulan Ramadan.

#3 – Mengejutkan Ahli Keluarga Untuk Bangun Beribadah

Menjelang 10 malam terakhir Ramadan, Rasulullah SAW bukan sahaja bangun untuk bersolat sendirian, akan tetapi dikejutkan juga ahli keluarga Baginda yang lain untuk sama-sama menghidupkan malam terakhir tersebut.
Aisyah r.anha berkata;

“Rasulullah SAW ketika memasuki sepuluh hari terakhir (Ramadhan) menghidupkan malam harinya, membangunkan keluarganya dan mengikat pinggangnya.”(Hadis Riwayat Muslim)

#4 – Beruzlah (Tidak Mendekati) Isteri

Kebiasaan bagi Baginda Nabi SAW dan para salafussoleh terdahulu adalah memperbanyakkan ibadah pada akhir Ramadan dan mengasingkan diri daripada mendekati isteri masing-masing. Dalam hadis Bukhari ada menyatakan;

“Apabila masuk sepuluh (hari terakhir bulan Ramadhan) Rasulullah SAW mengikat kainnya, menjauhkan diri dari menggauli isterinya, menghidupkan malamnya dan membangunkan keluarganya.”

#5 – Memperbanyakkan Amal Ibadah Dan Qiamulail Di Masjid Atau Surau

Rasulullah SAW sering mendirikan malam pada bulan Ramadan dengan ibadah qiamulail. Baginda Nabi SAW bersabda yang bermaksud;

“Sesiapa menghidupkan Ramadan dengan keimanan dan pengharapan pahala daripada Allah SWT, maka akan diampunkan segala dosanya yang terdahulu.”(Hadis Riwayat Bukhari)

#6 – Bersolat Tarawih Dan Solat Sunat Lain

Antara ibadah yang dilakukan oleh Rasulullah SAW dan para sahabat untuk menghidupkan 10 malam terakhir ialah dengan mendirikan solat sunat seperti Tarawih, witir, tahajjud, taubat dan solat hajat. Firman Allah SWT yang bermaksud;

“Dan, pada sebahagian malam, laksanakanlah solat Tahajjud (sebagai suatu ibadah) tambahan bagimu; semoga Tuhanmu mengangkat dan menempatkanmu pada hari akhirat di tempat yang terpuji.”(Al-Israk : 79)

#7 – Memperbanyakkan Zikir (Bertasbih, Tahmid, Takbir, Istighfar Dan Berselawat)

Selain mendirikan solat, pengakhiran Ramadan juga boleh diisi dengan amalan seperti berzikir (tasbih, tahmid, tahlil, istighfar ataupun selawat) seperti yang dilakukan oleh para salafussoleh terdahulu. Zikir adalah sebagai tanda kita mengingati Allah SWT.

#8 – Membaca Dan Bertadarus Al-Quran

Malaikat Jibril sentiasa bertadarus Al-Quran dengan Rasulullah SAW setiap hari sepanjang bulan Ramadan. Para salafussoleh terdahulu juga sering mendahulukan bacaan Al-Quran berbanding ibadah lain ketika dalam bulan Ramadan.

Bahkan, ada dalam kalangan mereka ini mengkhatam Al-Quran dalam masa tiga hari, sebahagiannya 7 hari atau 10 hari pada bulan Ramadan. Salah seorang sahabat Rasulullah SAW; Saidina Uthman bin Affan pula mengkhatam Al-Quran setiap hari dalam bulan Ramadan.

#9 – Memperbanyakkan Doa Kepada Allah SWT

Sepanjang bulan Ramadan, Rasulullah SAW sering berdoa;

“Wahai Tuhan kami! Anugerahkanlah kami kebajikan di dunia dan kebajikan di akhirat serta peliharakanlah kami daripada seksaan api neraka.”

Ma’la Bin Fadhal berkata; Dahulu, para sahabat Rasulullah SAW berdoa kepada Allah sejak enam bulan sebelum masuk Ramadan agar Allah SWT sampaikan umur mereka ke bulan yang penuh berkah itu. Kemudian, selama enam bulan sejak Ramadan berlalu, mereka berdoa agar Allah terima semua amal ibadah mereka di bulan itu. Di antara doa mereka ialah;

“Ya Allah, sampaikanlah aku ke bulan Ramadan dalam keadaan selamat. Ya Allah, selamatkanlah aku ketika Ramadan dan selamatkanlah amal ibadahku di dalamnya sehingga menjadi amal yang diterima.”(Hadis Riwayat at-Tabrani; 2/1226)


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Marina

Marina

Merupakan graduan dari UNISZA, Terengganu dalam bidang Pengajian Islam dengan hasrat menggabungkan pelbagai pengetahuan dan kemahiran yang dimiliki untuk manfaat komuniti. Menulis adalah salah satu dari minatnya dan beliau turut menghasilkan sebuah karya pertamanya yang berjudul , '' Himpunan Kisah Kaum-Kaum Binasa''.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami