Tokoh

8 Hujah Membersihkan Nama Nabi Dawud A.S

Oleh Abdullah Bukhari  •  17 Jul 2019  •  6 min baca

Isu utamanya adalah bagaimana al-Quran membersihkan nama nabi Dawud A.S dari tuduhan merampas isteri orang?

“Aku memang jahat atau banyak dosa, tapi jangan berani tuduh aku cuba merampas isteri orang!”

Itu pastinya jawapan yang keluar dari mulut seorang lelaki yang banyak membuat onar dalam masyarakat. Tuduhan merampas isteri orang ternyata sangat besar dan keji.

Manusia yang sanggup melakukan perkara itu tidak layak lagi digelar manusia mulia. Oleh itu, sangat tidak logik jika tuduhan atau cerita sebegini cuba disandarkan kepada seorang nabi mulia yang banyak dipuji Allah dalam al-Quran.

Bukan setakat itu, Rasulullah S.A.W juga mengajar kita agar sentiasa mencontohi nabi Dawud A.S dalam banyak sisi. Sabda Baginda:

أَحَبُّ الصِّيَامِ إِلَى اللَّهِ صِيَامُ دَاوُدَ كَانَ يَصُومُ يَوْمًا وَيُفْطِرُ يَوْمًا وَأَحَبُّ الصَّلَاةِ إِلَى اللَّهِ صَلَاةُ دَاوُدَ كَانَ يَنَامُ نِصْفَ اللَّيْلِ وَيَقُومُ ثُلُثَهُ وَيَنَامُ سُدُسَهُ
Ibadah puasa yang paling disukai Allah adalah puasa nabi Dawud, baginda berpuasa seharu dan berbuka sehari. Dan solat yang paling disukai Allah juga adalah solat nabi Dawud, baginda tidur ½ malam kemudian bangun bersolat pada 1/3 malam dan tidur kembali pada 1/6 yang berbakiSahih al-Bukhari & Muslim

Bukan setakat kualiti ibadat, kehebatan doa nabi Dawud A.S turut dipuji oleh Rasulullah S.A.W:

كَانَ مِنْ دُعَاءِ دَاوُدَ يَقُولُ اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ حُبَّكَ وَحُبَّ مَنْ يُحِبُّكَ وَالْعَمَلَ الَّذِي يُبَلِّغُنِي حُبَّكَ اللَّهُمَّ اجْعَلْ حُبَّكَ أَحَبَّ إِلَيَّ مِنْ نَفْسِي وَأَهْلِي وَمِنْ الْمَاءِ الْبَارِدِ قَالَ وَكَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا ذَكَرَ دَاوُدَ يُحَدِّثُ عَنْهُ قَالَ كَانَ أَعْبَدَ الْبَشَرِ
Antara doa nabi Dawud adalah: “Ya Allah! Aku mohon cintaMu, cinta orang yang mencintaiMu dan amalan yang boleh menyampaikan aku kepada cintaMu. Ya Allah! Jadikan cintaMu lebih aku cintai dari diriku, keluargaku dan dari “air yang sangat sejuk.” Abu Darda’ juga menyebut: “Setiap kali menyebut perihal nabi Dawud, Rasulullah S.A.W akan mengatakan bahawa baginda (nabi Dawud) adalah manusia yang paling kuat beribadat (pada zamannya) Sunan al-Tirmidhi

Mengapa artikel ini begitu tegas mempertahankan nabi Dawud A.S? Apa kisahnya? Isu ini meletus ketika berbincang tentang sebuah riwayat palsu yang cuba disandarkan kepada Tafsiran surah Sad ayat 21 -25.

Riwayat tersebut menceritakan pada suatu hari nabi Dawud A.S terpandang seorang wanita sedang mandi. Wanita itu adalah isteri Uria iaitu seorang panglima perang dalam tentera baginda.

Bagi merampas wanita itu, baginda menghantar Uria ke dalam beberapa buah perang dengan harapan Uria akan mati. Setelah Uria hilang dan dianggap mati, nabi Dawud berkahwin dengan isterinya bagi menggenapkan angka isteri baginda kepada 100 orang.

Akibat perbuatan ini, Allah menghantar 2 malaikat menyamar dalam rupa manusia dan bertanyakan perihal perebutan kambing yang menjadi sindiran kepada baginda tentang jenayah merampas isteri orang.

Setelah sedar dari kesalahannya, nabi Dawud A.S lantas sujud bertaubat kepada Allah. Kisah ini disebut dalam sesetengah kitab Tafsir al-Quran.

Akal yang sihat pasti dapat mencium betapa cerita jahat ini adalah palsu dan wajib dikuburkan tanpa nesan. Ketika mengulas kisah karut ini, Imam al-Razi memberikan hujah akli yang sangat tajam, iaitu:

#1- Jika kerakusan ini disandarkan kepada seorang manusia yang paling jahat sekalipun, dia akan bermatian menafikannya demi mempertahankan maruahnya. Oleh itu, sangat mustahil ia disandarkan kepada seorang nabi.

#2- Jika kisah ini diterima sekalipun, kesudahannya akan berakhir kepada 2 perkara yang sangat jahat iaitu (1) cubaan membunuh manusia yang tidak berdosa dan (2) cubaan merampas isteri orang. (Tafsir al-Razi).

Inilah bahana dan bahaya sesetengah riwayat Isra’iliyyat. Yang cantik jadi huduh, yang mulia dipamerkan hina, yang soleh ditonjolkan jahat. Bagi menghalalkan kisah karut sebegini.

Sesetengah riwayat Isra’iliyyat direncahkan dengan sedikit pengajaran serta keinsafan pada hujungnya. Ayat popular yang sering dijadikan “logo halal” untuk penyebaran kisah sebegini adalah “tidak mengapa! ini untuk pengajaran.”

Sebenarnya, ayat dari pangkal kisah baginda dalam surah ini sudah mempunyai hujah kukuh dari Allah untuk membersihkan nama baginda A.S. Ayuh mari kita terokai 9 kualiti istimewa baginda yang sudah dinyatakan Allah dalam ayat ini:

Bersabarlah (wahai Muhammad) terhadap apa sahaja yang mereka katakan, dan ingatlah akan (1) hamba Kami Nabi Daud (2- yang juga penyabar), (3) yang mempunyai kekuatan (dalam pegangan ugamanya); sesungguhnya dia (4) sentiasa rujuk kembali (kepada Kami dengan mematuhi perintah Kami). Sesungguhnya Kami telah mudahkan (5) gunung-ganang turut bertasbih memuji Kami bersamanya; pada waktu petang dan ketika terbit matahari. Dan (Kami mudahkan juga) (6) unggas turut berhimpun (untuk bertasbih memuji Kami bersamanya); setiap satunya mengulangi tasbih masing-masing menurutnya. Dan Kami (7) kuatkan kerajaannya, serta Kami kurniakan kepadanya (8) hikmah kebijaksanaan dan (9) kepetahan berbicara serta kemampuan memberi keputusan yang adil lagi tepat (dalam menjalankan hukum dan menjatuhkan hukuman) Surah Sad 38:17-20

8 Kualiti Nabi Dawud A.S

#1- Sangat Penyabar Melaksanakan Segala Arahan Dan Meninggalkan Segala Larangan Allah

Pangkal ayat di atas mengarahkan Rasulullah agar bersabar dalam dakwah seperti nabi Dawud. Mana mungkin Rasulullah S.A.W sebagai Rasul terbaik diarahkan Allah mencontohi sifat sabar Dawud jika nabi Dawud sendiri tidak mampu sabar menahan diri dari merampas isteri orang?

#2- Digelar Sebagai “Hamba Kami”

Perlu difahami, apabila Allah memanggil seseorang dalam al-Quran sebagai “Hamba” ia menunjukkan ketinggian darjat manusia tersebut yang sanggup mengabdikan diri sepenuhnya kepada Allah. Panggilan ini dimanjakan Allah kepada ramai manusia pilihan seperti;

– Rasulullah S.A.W (Surah al-Isra’[17:1])
– Khidir (Surah al-Kahfi [18:65])
– Nabi Isa A.S (Surah Maryam[19:30])
– Para malaikat (Surah al-Zukhruf [43:19])

Mana mungkin manusia yang mendapat gelaran paling mulia sebegini boleh terfikir melakukan sesuatu jenayah yang bakal menimbulkan kemurkaan Allah.

#3- Mempunyai Kekuatan Melaksanakan Segala Perintah Agama

Hanya manusia yang benar-benar soleh sanggup melaksanakan urusan dan arahan agama.

#4- Sentiasa Kembali Atau Merujuk Kepada Arahan Allah Dalam Segala Tindakan

Pastinya baginda sangat patuh kepada Allah yang melarang perbuatan zalim seperti cubaan merampas isteri orang.

#5- Dikurniakan Mukjizat

Mukjizat yang Allah kurniakan kepada nabi Dawud adalah kebersamaan gunung serta burung yang turut bertasbih bersama baginda.

Ini adalah suatu mukjizat yang sangat hebat dan bukan semua manusia mendapat kemuliaan mukjizat sebegini, lalu sangat mustahil kelebihan ini diberikan kepada seorang manusia jahat perampas isteri orang.

#6- Pengukuhan Kerajaan Baginda Sebagai Alat Bantu Menegakkan Syariat Allah

Mana mungkin seorang nabi yang dianugerahi kuasa menegakkan syariat Allah menjadi orang pertama merosakkan syariat tersebut.

#7- Kurniaan Hikmah

Perkataan hikmah mempunyai banyak maksud antaranya pangkat kenabian, pengetahuan mendalam tentang rahsia agama dan kebijaksaan dalam sebarang tindakan.

Hikmah tertinggi yang Allah anugerahkan kepada seorang manusia adalah pangkat kenabian. Pangkat ini pastinya dianugerahi kepada manusia yang paling soleh dan bukannya perampas isteri orang.

#8- Kepetahan Bicara Dan Mampu Memberikan Keputusan Yang Adil

Bagi berkemampuan memberi keputusan yang adil lagi tepat dalam sebarang kes yang dirujuk kepada baginda.

Sebagai hakim, baginda sangat adil dan jauh dari sifat zalim, lalu mana mungkin insan hebat lagi adil seperti baginda boleh berlaku zalim merancang plot membunuh seorang manusia tak bersalah demi merampas isterinya.

Pesan saya, jagalah lidah dan tanggapan kita terhadap para nabi dan Rasul. Mereka adalah manusia pilihan Allah. Usahlah sedap bercerita sehingga merosakkan nama serta kredibiliti para nabi. Semoga Allah memberi hidayah kepada kita semua.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Abdullah Bukhari

Abdullah Bukhari

Beliau merupakan seorang Sarjana Usuluddin (Tafsir Al-Quran) dan kini menjadi seorang pensyarah di Jabatan Tilawah Al-Quran, Pusat Bahasa, UIAM. Beliau juga merupakan pemikir dan penulis Nota Tafsir Wartawan al-Quran yang kerap dikongsikan bersama pembaca, lebih-lebih lagi pengguna Facebook. Selain daripada itu, penulisan beliau juga kerap tersiar di akhbar Utusan Malaysia dan Berita Harian.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami