Inspirasi

8 Ayat Al-Quran Terapi Hati Yang Sedang Risau

Oleh Natirah Azira  •  15 Sep 2020  •  3 min baca

Sebagai seorang manusia biasa, rasa bimbang dan risau akan sesekali menjengah apabila kita berhadapan dengan cabaran hidup. Ia juga boleh datang apabila kita perlu membuat pilihan yang besar kerana kita masih tidak mengetahui apa yang berada di hadapan.

Hati barangkali masih berkira-kira, adakah pilihan itu betul atau akan membuahkan hasil yang kita mahukan. Hakikatnya, ia perkara yang tidak akan kita tahu selagi kita tidak memilih.

Yang diperlukan saat ini cuma keberanian untuk membuat pilihan. Mari teliti beberapa firman Allah ini untuk menenangkan hati dan menghilangkan rasa bimbang.

#1- Allah Akan Memberi Kemudahan Dalam Urusan

Peliharalah amalan seharian kerana Allah berjanji akan memelihara pula diri kita dalam setiap urusan.

وَمَنْ يَتَّقِ اللَّهَ يَجْعَلْ لَهُ مِنْ أَمْرِهِ يُسْراً

Barangsiapa yang bertakwa kepada Allah niscaya Dia akan menjadikan baginya kemudahan dalam (semua) urusannya” (Surah ath-Thalaaq 65:4).

#2- Allah Yang Akan Menjaga Dan Menyempurnakan Urusan

Allah Maha Berkuasa. Allah menguasai setiap makhluk yang ada dari Timur ke Barat, maka sudah pasti Allah juga mampu memudahkan urusan kita.

رَّبُّ الْمَشْرِقِ وَالْمَغْرِبِ لَا إِلَـٰهَ إِلَّا هُوَ فَاتَّخِذْهُ وَكِيلً

“Dia lah Tuhan yang menguasai timur dan barat, tiada Tuhan melainkan Dia, maka jadikanlah Dia Penjaga yang menyempurnakan urusanmu.” (Surah Al-Muzzammil 73:9)

#3- Allah Bersama Orang Yang Sabar

Kesusahan memerlukan sedikit kesabaran. Bersabarlah dalam meminta dan mengharapkan pertolongan Tuhan. Ia tidak akan sia-sia kerana semuanya akan dimasukkan dalam timbangan amal.

إِنَّ اللَّـهَ مَعَ الصَّابِرِينَ 

“sesungguhnya Allah menyertai (menolong) orang-orang yang sabar” (Surah Al-Baqarah 2:153)

#4- Allah Akan Mengadakan Jalan Keluar

وَمَن يَتَّقِ اللَّـهَ يَجْعَل لَّهُ مَخْرَجًا 

“…dan sesiapa yang bertaqwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya), nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkannya)…” (Surah At-Tholaq 65:2)

#5- Allah Menyembuhkan Hati

Hati perlukan ketenangan apabila terlalu resah. Dan penenang yang paling dekat dengan kita adalah Al-Quran. Penyakit-penyakit hati itu boleh jadi rasa syak wasangka, rasa bimbang, rasa sedih dan lain-lain.

“Dan, Al-Quran itu penyembuh bagi penyakit-penyakit yang berada dalam dada…” (Surah Yunus 10:57)

#6- Doa Agar Dilapangkan Dada Dan Dimudahkan Urusan

Kadang-kadang kelemahan hati akan memberi kesan kepada tindakan. Disebabkan itu kita perlu meminta supaya Allah melapangkan hati dan menenangkan fikiran terlebih dahulu, barulah boleh berfikir dengan lebih jelas apa tindakan yang perlu dilakukan.

قَالَ رَبِّ اشْرَحْ لِي صَدْرِي

وَيَسِّرْ لِي أَمْرِي

“Nabi Musa berdoa dengan berkata: “Wahai Tuhanku, lapangkanlah bagiku, dadaku; “Dan mudahkanlah bagiku, tugasku…” (Surah Taha 20:25-26)

#7- Allah Tahu Dan Tidak Pernah Lupa

لَّا يَضِلُّ رَبِّي وَلَا يَنسَى

“Tuhanku tidak pernah keliru dan Ia juga tidak pernah lupa”. (Surah Taha 20:52)

Walaupun sekian banyak umat manusia yang ada di muka bumi ini, percayalah Allah mendengar doa kita di antara jutaan doa-doa yang lain. Allah tidak pernah keliru atau lupa.

#8- Kuatkan Jiwa Dengan Solat Malam

Kekuatan jiwa perlu dibina. Salah satu caranya adalah dengan melakukan solat malam.

إِنَّ نَاشِئَةَ اللَّيْلِ هِيَ أَشَدُّ وَطْئًا

“Sebenarnya sembahyang dan ibadat malam lebih kuat kesannya (kepada jiwa)…” (Surah Al-Muzzammil 73:6)

Kesimpulan

Ujian dalam bentuk cabaran dan masalah akan sentiasa ada selagi kita hidup. Tetapi hati harus dikuatkan dan tidak dibiarkan terumbang ambing tanpa arah. Berbaik sangkalah pada Allah. Tarik nafas dengan tenang dan yakinlah bahawa segalanya akan baik-baik saja.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Natirah Azira

Beliau merupakan graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Al-Quran dan Sunnah. Pernah mendalami bidang Psikologi selama dua tahun dan sekarang sedang menyambung pengajian peringkat Ijazah Sarjana dalam bidang Kaunseling di Universiti Sains Malaysia.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami