Wanita

7 Tips Menjadi Wanita Cantik

Oleh Wan Zuriati Wan Jusoh  •  3 Oct 2018  •  7 min baca

Kekuatan seorang wanita mampu untuk mengubah dunia. Wanita di dalam Islam amat tinggi darjatnya.

Jika dulu pada zaman jahiliah kelahiran anak perempuan merupakan suatu keaiban pada sesebuah keluarga. Malah perempuan direndah-rendahkan, sehingga perempuan hanya dijadikan pelepas seksual kaum lelaki.

Namun setelah Islam datang, Rasulullah S.A.W telah mengangkat martabat wanita sehingga kini wanita menjadi agen penting di dalam pembangunan dan kemajuan masyarakat.

Tetapi akhir-akhir ini, seolah-olah martabat wanita kembali dirobek dan dihina malah makin teruk daripada zaman jahiliah dulu. Hakikatnya ianya datang daripada sikap wanita itu sendiri yang merendahkan dirinya.

Namun begitu, masih belum terlambat lagi untuk kita sama-sama berubah dan mencuba untuk menjadi wanita yang cantik.

Di sini dikongsikan kepada anda 7 tips untuk menjadi wanita yang cantik di Akhir Zaman. Mari kita baca satu persatu.

#1 – Menutup Aurat Dengan Sempurna

Islam mengangkat darjat wanita dengan meminta kaum wanita untuk menutup auratnya. Satu analogi mudah;

Jika kita ada emas yang bernilai, harganya mahal, rupanya cantik dan berkilau, di mana kita akan letakkan emas tu? Mesti kita akan letak emas tersebut di dalam kotak yang elok, simpan emas itu rapi-rapikan?

Begitu jugalah halnya dengan kaum wanita. Kerana wanita ini dijadikan indah, maka Allah memerintahkan wanita untuk menutup auratnya. Supaya kecantikannya dilihat oleh yang berhak sahaja.

Perintah ini sebenarnya untuk menjaga dan untuk memuliakan kaum wanita, jauh sekali untuk mengongkongnya. Seharusnya kita berbangga atas pensyariatan ini kerana ini bukti Allah sayang pada kaum wanita.

Di dalam al Quran ada menyebut tentang pensyariatan menutup aurat kepada kaum wanita iaitu firman Allah S.W.T yang bermaksud;

“Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu dan perempuan-perempuan yang beriman, supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (semasa mereka keluar), cara yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenal (sebagai perempuan baik-baik) maka dengan itu mereka tidak diganggu. Dan (ingatlah) Allah maha pengampun lagi maha mengasihani” Surah Al Ahzab ayat 59

#2- Menerapkan Sifat-Sifat Terpuji

Tidak sempurna diri kita tanpa adanya sifat dan akhlak yang baik. Terapkan di dalam diri kita untuk sentiasa berakhlak dengan akhlak yang baik.

Pernah dengar tak kecantikan wanita terletak pada akhlak yang baik? Mesti pernah kan? Cuba bayangkan kita kenal seseorang wajahnya cantik, putih dan mulus tetapi percakapannya selalu kasar, mengumpat, merendahkan orang lain bahkan suka mencerca ?

Kita akan nampak dia cantik dan menarik atau tidak? Mesti anda akan berkata “tidak” kan? Ya, itulah kebenarannya. Seseorang yang walaupun memiliki fizikal yang cantik tetapi jika ianya tidak seiring dengan akhlak yang baik, dia juga tidak akan nampak cantik.

Oleh itu, semailah akhlak yang baik di dalam diri kita. Sentiasalah berkata dengan kata-kata yang baik, sentiasa senyum, sabar dalam menghadapi musibah dan ujian hidup, ikhlas dalam melakukan sesuatu dan berilah pertolongan kepada sesiapa yang memerlukan mengikut kadar kemampuan diri kita.

Orang yang berakhlak baik akan sentiasa disayangi oleh Allah dan juga disayangi oleh orang lain.

#3- Melindungi Diri Daripada Menjadi Sumber Fitnah

Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud;

“Aku tidak meninggalkan satu pun fitnah yang lebih membahayakan kepada kaum lelaki daripada fitnah kaum wanita”Hadis Riwayat Bukhari

Wanita dikatakan sebagai fitnah kerana wanita itu sendiri sebagai sebaik perhiasan yang menjadi rebutan untuk dilihat dan dipertontonkan.

Kini, kita sering melihat banyak di media massa sendiri apabila wanita dijadikan alat-alat untuk melariskan jualan, dipertontonkan kecantikannya dan dijadikan bahan lawak jenaka. Adakah itu yang Rasulullah inginkan ketika susah payah baginda mengangkat darjat wanita sehingga bermandi darah suatu ketika dulu?

Oleh yang demikian, lindungilah diri kita daripada menjadi sumber fitnah. Jangan dedahkan diri kita kepada keaiban.

Elakkan memakai wangian yang boleh menarik perhatian kaum lelaki. Bersederhanalah di dalam apa jua yang dilakukan. Firman Allah S.W.T yang bermaksud;

“Dihiaskan dan dijadikan indah kepada manusia kesukaan kepada benda-benda yang diingini nafsu,iaitu perempuan-perempuan dan anak-pinak….”Surah Ali Imran :14

Di dalam al quran sendiri menjelaskan bahawa wanita ini menjadi sumber fitnah dan jika tidak dididik dan dijaga dengan sebaiknya maka wanita ini akan menjadi sumber kerosakan.

#4- Teladani Tokoh Wanita Yang Masyhur

Sebenarnya ramai tokoh wanita Islam yang boleh dijadikan contoh dan teladan kepada kita kerana akhlak dan peribadi yang mempersonakan. Contohnya Sayyidatina Fatimah Az Zahra, Sayyidatina Khadijah, Maryam dan Sumayyah.

Setiap daripada mereka mempunyai kisah yang tersendiri yang mana kisah keperibadian dan kemuliaan amatlah agung di dalam lembaran sejarah. Bagaimana pengabdian kepada Allah, ketaatan, semangat memperjuangkan Islam bahkan mereka menjaga akhlak.

Semuanya amat memberi inspirasi kepada kita sebagai seorang wanita. Contoh yang boleh saya berikan ialah bagaimana Sumayyah mempertahankan keislamannya sedangkan dia diseksa dengan dahsyatnya.

Membayangkan sahaja sudah tidak mampu apatah lagi untuk mengalaminya. Oleh itu, marilah kita mengkaji dan meneladani kisah hidup mereka supaya dapat dijadikan ikutan dan pedoman kepada kita.

#5 – Sifat Malu Sebagai Benteng

Malu di dalam Islam ialah akhlak yang muncul di dalam diri untuk meninggalkan keburukan, mencegah diri daripada kelalaian dan penyimpangan terhadap hak orang lain.

Malah Rasulullah S.A.W menjadikan sifat malu itu sendiri sebagai sebahagian daripada iman. Orang yang meninggalkan sifat malu akan lebih terdedah untuk melakukan kemaksiatan dan keburukan.

Apa pula sifat malu yang seharusnya ada pada kaum wanita? Berkata Habib Umar bin al Hafidz;

“Sifat malu itu baik dan ianya lebih baik sekiranya ada pada seorang wanita”

Wanita dikenali sebagai insan yang ada kelembutan dan kecantikan. Malulah untuk bermaksiat kepada Allah, malulah untuk bersifat kasar, menceritakan keaiban orang lain, Lebih-lebihan di dalam mekap dan menonjolkan diri.

Tidak salah untuk kelihatan cantik namun jangan sampai berlebihan sehingga mengundang fitnah dan menaikkan syahwat para lelaki. Malulah untuk memakai pakaian yang bertujuan untuk menggoda, yang nipis dan jarang.

Moga dengan adanya penerapan sifat malu di dalam diri. Maka kita akan terlindung daripada perbuatan sedemikian.

#6- Menjaga Solat Lima Waktu

Solat itu tiang agama. Malah solatlah perkara pertama yang akan dihisab oleh Allah S.W.T nanti di akhirat. Mahu menjadi perempuan yang baik kenalah jaga solat.

Lazimkan diri kita untuk sentiasa solat di awal waktu jika berkemampuan dan tiada urusan yang penting. Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud;

“Sesungguhnya amal yang mula-mula sekali dihisab pada hari kiamat ialah sembahyang (solat) seseorang. Jika sembahyangnya diterima maka sesungguhnya beruntunglah dan berjayalah ia, dan jika sembahyangnya tidak diterima maka kecewa dan rugilah dia.”Hadis Riwayat At-Tirmidzi

Benarlah solat itu sangat penting. Jika pincang solatnya maka pincanglah hal-hal lainnya. Oleh itu, untuk menjadi wanita yang cantik di akhir zaman ini, haruslah kita untuk sentiasa menjaga solat lima waktu.

Lebih baik lagi jika diiringi dengan solat-solat sunat juga seperti solat sunat tahajjud, solat sunat taubat, hajat dan lain-lain. Wanita yang cantik adalah wanita yang menjaga solatnya.

#7- Melazimkan Diri Dengan Beristighfar

Firman Allah S.W.T yang bermaksud;

“Maka aku katakan kepada mereka: Mohonlah ampun kepada Tuhanmu, sesungguhnya Dia adalah maha pengampun, nescaya dia akan mengirimkan hujan kepadamu dengan lebat, dan memperbanyakkan harta dan anak-anakmu, dan memberikanmu kebun-kebun dan di dalamnya pula untukmu sungai-sungai. Surah Nuh :10-12

Ayat diatas menjelaskan kepada kita bahawa banyak kelebihan yang akan kita dapat sekiranya kita melazimi diri untuk beristighfar.

Istighfar akan membawa kita kepada keampunan Allah keatas dosa-dosa kita, Allah juga akan mengurniakan kecukupan di dalam rezeki dan lain-lain lagi. Maka beruntunglah orang-orang yang sentiasa beristighfar kepada Allah.

Kita boleh melakukan istighfar di mana-mana sahaja. Malah sangat mudah. Contohnya ketika basuh kain, ketika memasak, ketika mengemas rumah dan sebagainya. Mudahkan? Oleh itu, Jangan lupa untuk beristighfar ya!.

Sebagai penutupnya, semoga tips yang saya kongsikan ini mampu membantu kita untuk sama-sama menjadi insan yang lebih baik disisi Allah S.W.T.

Walaupun kita tidak mampu untuk mengubah diri kita secara drastik, apakata kita ambil langkah perlahan-lahan dan cuba untuk mengubah diri kita sedikit-demi.

Allah sangat sayang mereka yang ingin mengubah diri kearah yang lebih baik. Ketahuilah, Anda wanita yang sangat cantik.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Wan Zuriati Wan Jusoh

Wan Zuriati Wan Jusoh

Seorang yang minat dalam bidang penulisan. Bercita-cita untuk menjadi seorang penulis dan sekarang sedang melanjutkan pelajaran di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA, Terengganu dalam jurusan Ijazah Sarjana Muda Sains Sosial Antropologi Dan Dakwah.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami