Gaya Hidup

7 Tips Melebur Takbur (Siri 2)

Oleh Fazli Abdullah  •  19 Nov 2019  •  4 min baca

Kita bersambung semula daripada artikel pertama 7 tips melebur takbur. Terdapat lagi tiga tips untuk merawat takbur. Jom sama-sama kita lanjutkan pembacaan. Semoga bermanfaat dan memberi faedah kepada kita semua.

#5- Pelajari Dari Kisah Umat Terdahulu Yang Dibinasakan

Firman Allah SWT yang bermaksud:

“Maka tidakkah mereka telah mengembara di muka bumi, serta mereka memerhatikan bagaimana akibat orang-orang kafir yang terdahulu dari mereka? Allah SWT telah menghancurkan orang-orang itu; dan orang-orang kafir (yang menurut jejak mereka) akan beroleh akibat-akibat buruk yang seperti itu.”Surah Muhammad 47:10

Kenanglah kembali kisah umat-umat terdahulu yang dibinasakan Allah SWT kerana sifat sombong mereka untuk menerima ajaran yang dibawa para nabi dan rasul.

Mereka malah mencabar para nabi dan rasul untuk diturunkan azab. Akhirnya, mereka dibinasakan oleh Allah S.W.T. Firman Allah S.W.T di dalam al-Quran yang bermaksud:

“Dan Kami telah hancurkan apa yang telah dibuat oleh Firaun dan kaumnya dan apa yang mereka telah dirikan (dari bangunan-bangunan yang tinggi).”
Surah al-A’raf 7:137

Untuk pengetahuan, umat-umat terdahulu lebih hebat dan mempunyai banyak kelebihan yang telah Allah kurniakan kepada mereka.

Mereka mempunyai umur yang panjang, badan yang sasa dan kuat, harta yang banyak, hasil tanaman yang subur, kemahiran yang hebat dan pelbagai lagi kelebihan yang Allah telah berikan kepada mereka tetapi semuanya tidak dapat menghalang azab Allah S.W.T untuk menimpa mereka.

Marilah kita mengambil pengajaran dari kisah umat Nabi Nuh, kaum Nabi Soleh dan kisah umat-umat yang terdahulu yang dibinasakan. Jika dibandingkan kita dengan mereka, kelebihan mereka lebih banyak dan besar.

Namun, mereka tidak mensyukuri segala pemberian Allah lalu mereka sombong dan tidak mahu mengikuti perintah Allah S.W.T. Janganlah kita mengikuti sifat mereka yang hanya merosakkan diri kita sahaja.

#6- Memperbanyakkan Berdoa

Firman Allah S.W.T yang bermaksud:

“Dan apabila para hamba-Ku bertanya kepadamu tentang-Ku, maka (jawablah) sesungguhnya Aku sangat dekat. Aku mengabulkan permohonan orang yang berdoa apabila ia memohon kepada-Ku.”Surah al-Baqarah 2:186

Pohonlah dan mintalah kepada Allah SWT agar dijauhi sifat-sifat mazmumah yang dapat menyebabkan kita jauh dari rahmat Allah S.W.T. Dengan berdoa, hati kita terdidik untuk tidak merasa besar diri tetapi merendah diri kepada Pencipta. Daripada Salman al-Farisi, Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud:

“Sesungguhnya Allah amat malu dan Maha Mulia. Adalah suatu yang memalukan bagi Allah, apabila seseorang insan mengangkat dua tangannya, lalu Allah menolaknya kosong dan rugi.”Hadis Riwayat Abu Daud dan al-Tirmizi

#7- Hampiri Dan Dekati Golongan Fakir dan Miskin

Daripada Abu Hurairah R.A., Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud:

“Lihatlah kepada orang yang lebih bawah daripada kamu dan janganlah kamu melihat orang yang lebih tinggi daripada kamu; ianya lebih wajar, agar kamu tidak memperkecilkan nikmat Allah SWT.”Hadis riwayat Muslim

Cubalah dekati golongan fakir dan miskin. Berbual dan bersembang dengan mereka. Dengarlah isi hati mereka. Ikuti alur kehidupan mereka. Jangan bersembang kehebatan diri kita tetapi dengarlah kisah kesusahan mereka.

Insha Allah, sedikit demi sedikit kita akan merasa bersyukur dengan kelebihan kita. Tanpa kita sedar, sifat takbur terkikis dengan sendirinya.

Bersyukur kerana Allah telah menurunkan dan memberi sedikit kekayaan dan kelebihan untuk kita. Gunakalah ia di jalan yang benar bukan berbangga dan memandang hina kepada orang lain. Segala yang diberiNya hanyalah pinjaman sementara.

Kesimpulan

Daripada Ibnu Mas’ud R.A., Rasulullah pernah bersabda yang bermaksud:

“Tidak akan masuk ke dalam syurga orang yang di dalam hatinya terdapat walau sebesar zarah sifat takbur.” Seorang lelaki berkata, “Sesungguhnya ada seseorang yang suka jika pakaian dan alas kakinya cantik (bagaimana keadaannya)?” Baginda bersabda, “Sesungguhnya Allah itu Maha Indah dan menyukai keindahan. Manakala takbur pula ialah menolak kebenaran dan merendahkan orang lain.”
Hadis Riwayat Muslim

Tidak ada ruginya kita bersifat merendah hati. Walau kita diberi banyak kelebihan dan kemewahan, kita perlulah mengawal diri agar tidak termasuk dalam sifat ahli neraka. Sifat ahli neraka itu antaranya adalah sombong dan takbur.

Orang yang takbur dan sombong hanya menyebabkan diri dalam masalah. Tidak boleh berada bersama orang biasa, katanya diri tidak setaraf mereka.

Tetapi, cuba fikir sejenak tatkala kita dalam kesakitan, kesusahan dan kematian kita nanti. Siapa yang akan membantu kita ketika itu? Harus menunggu orang hebat membawa kita? Renungkan. Waallahu a’lam.

Rujukan:
1.Ringkasan Riyahdus Solihin Imam An-Nawawi
2.Wahai Sekalian Manusia-Seruan Tuhan Untuk Semua Insan (Penulis: Abu Humayd Sufri Mahmud)
3.300 Hadis Bimbingan Ke Arah Mencari Reda Allah


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Fazli Abdullah

Dilahirkan di Kedah. Hobi membaca dalam genre agama dan motivasi. Mengemari lagu nasyid. Menjadikan penulisan sebagai medan penyebaran ilmu dan kebenaran. tzkrh.com adalah ruangan penulisan pertamanya menulis dengan serius.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami