Gaya Hidup

7 Tips Melebur Takbur (Siri 1)

Oleh Fazli Abdullah  •  18 Nov 2019  •  4 min baca

Firman Allah S.W.T yang bermaksud:

“Dan janganlah kamu memalingkan wajahmu daripada manusia (kerana sombong) dan janganlah kamu berjalan di muka bumi dalam keadaan angkuh. Sesungguhnya Allah tidak suka setiap orang yang sombong lagi membanggakan diri.”
Surah Luqman 31:18

Takbur boleh diertikan sebagai perasaan menggangap diri lebih mulia, lebih hebat daripada orang lain. Merasa diri mempunyai segala kehebatan dan kemuliaan yang menyebabkan dirinya memandang rendah dan hina kepada orang yang tidak setaraf dengannya.

Hakikatnya kita semuanya adalah sama sahaja. Kita semua hanyalah hamba Allah S.W.T. Tiada beza kecuali taqwa dan amalan kita. Sesiapa yang bertaqwa dan baik amalannya maka dialah yang lebih mulia dan lebih baik disisi Allah S.W.T.

Oleh itu, bagaimana cara untuk menangkis dan merawat sifat takbur dan sombong yang masih berada di dalam diri kita? Di sini disenaraikan beberapa tips yang boleh melebur takbur dalam diri. Insha Allah. Semoga kita terhindar dari sifat buruk ini.

#1- Kita Dilahirkan Tanpa Apa-Apa

Semua manusia dilahirkan dalam keadaan telanjang dan tidak berpakaian. Penuh dengan kekotoran dan darah yang berada di badan. Ketika itu kita tidak membawa harta. Ketika itu kita tidak mengenggam ijazah dan sijil.

Kita hadir dengan tangan kosong dan tiada ada apa yang mahu dibanggakan. Saat itu kaki kita pun masih lemah dan tidak mampu untuk bergerak dan berjalan dengan baik. Jika kita dibiarkan keseorangan, tiada apa yang mampu kita lakukan.

Semuanya atas kasih sayang Allah S.W.T maka diberinya seorang ibu dan seorang ayah yang sanggup menjaga kita pada waktu siang dan malam.

Mungkin dan pasti kita terlupa dengan peristiwa itu tetapi lihatlah keadaan bayi-bayi yang baru dilahirkan. Mereka dalam keadaan lemah dan hanya mampu menangis. Begitu juga dengan keadaan kita ketika dilahirkan. Jadi perlukah kita bersifat takbur? Sedangkan kita dilahirkan sama seperti insan lain.

#2- Sedarlah Ada Orang Yang Lebih Hebat Daripada Kita

Cuba bandingkan apa yang hebatnya kita berbanding dengan orang lain sehingga tercetusnya sifat takbur dan sombong? Sedarlah bahawa ada orang yang lebih hebat daripada kita.

Mungkin sekarang kita tidak bertemu di realiti sebenar tetapi cuba kaji dan semak di Internet kisah insan yang lebih hebat daripada kita.

Ada manusia yang termasuk di dalam 10 orang terkaya di dunia. Dimana kita pula? Ada yang mempunyai beratus kereta mewah. Kita pula ada berapa?

Sepatutnya kita tidak perlu takbur dengan kehebatan kita kerana ada yang lebih hebat daripada kita. Itulah dunia.

Setiap insan ada kekurangan dan kelebihan sendiri. Jadi tidak perlulah ada sifat sombong dan takbur di dalam hati. Daripada Abdullah bin Mas’ud R.A., Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud:

“Tidak masuk syurga orang yang terdapat di hatinya walau sebesar zarah perasaan takabbur.”Hadis Riwayat Muslim

#3- Mempelajari Kisah Dan Peribadi Rasulullah S.A.W

Marilah kita membuka buku dan membaca kembali kisah serta peribadi Rasulullah SAW. Baginda seorang yang bersifat tawaduk dan merendah diri. Walau bergelar sebagai utusan Allah namun itu bukan ‘lesen’ untuk baginda bersikap sombong dan takbur.

Rasulullah S.A.W tidak pernah memandang hina dengan orang miskin bahkan baginda memuliakan mereka dan duduk sekali dengan orang miskin tersebut.

Di situasi lain, Rasulullah S.A.W juga melayani kanak-kanak kecil dengan baik. Tidak sesekali baginda memperlekehkan mereka. Mari kita mencontohi akhlak mulia Rasulullah S.A.W. Daripada Anas R.A., beliau berkata;

“Jika seorang budak perempuan daripada kalangan budak-budak di Madinah memegang tangan Nabi SAW, maka dia akan berjalan bersama Baginda ke mana sahaja yang dia suka (sedangkan Baginda tidak melarangnya dan membiarkannya).”Riwayat al-Bukhari

#4- Sifat Takbur Hanya Mengundang Banyak Musuh

Dengan bersifat takbur dan sombong akan mengundang perasaan sakit hati dan kecil hati bagi kebanyakkan orang.

Contohnya seorang pekerja yang tidak suka dengan sifat sombong ketuanya lalu melakukan kerja dalam keadaan geram dan penuh perasaan sakit hati. Kerjanya dilakukan dalam emosi yang tidak stabil dan marah.

Lebih menakutkan adalah sifat takbur boleh menyebabkan bertambahnya musuh. Ada kes pembunuhan yang berlaku disebabkan tidak tahan dengan sifat seseorang yang sombong dan menyakitkan hati. Lalu mereka membuat keputusan untuk membunuh orang yang mereka benci itu. Nauzubillah minzalik.

Jadi orang yang bersifat sombong ini hanyalah membuatkan dirinya dalam bahaya. Tidak mengapa bersifat tegas tetapi bukan sombong dan angkuh memberi tugas dan kata.

Jagalah kata-kata jangan sampai menyakitkan hati dan perasaan orang lain. Mereka juga ada maruah dan harga diri maka janganlah dicarik dan menganggap mereka seperti ‘sampah’. Tiga tips seterusnya akan bersambung dalam artikel bahagian kedua.

Rujukan:

1.Ringkasan Riyahdus Solihin Imam An-Nawawi
2.300 Hadis Bimbingan Ke Arah Mencari Reda Allah


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Fazli Abdullah

Fazli Abdullah

Dilahirkan di Kedah. Hobi membaca dalam genre agama dan motivasi. Mengemari lagu nasyid. Menjadikan penulisan sebagai medan penyebaran ilmu dan kebenaran. tzkrh.com adalah ruangan penulisan pertamanya menulis dengan serius.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami