Gaya Hidup

7 Talian Hayat Hati Mati

Oleh Azlina  •  3 Oct 2019  •  6 min baca

Sabda Nabi S.A.W, ada seketul daging dalam anggota badan setiap manusia, ia dipanggil hati. Jika baik hatinya maka baiklah seluruh anggota badan. Namun bagaimana jika hati kita “mati” sebelum ajal benar-benar menjemput kita. Nauzubillah himin zallik.

Penyakit zahir mudah didiagnos dengan pelbagai indikator perubatan moden mahupun perubatan alternatif. Bagaimana dengan tahap kesihatan hati kita? Sihat? Sakit sikit-sikit? atau sedang nazak, atau mungkin telah mati, astagfirullah hal a’zim.

Allah menilai apa yang di dalam hati kerana tiada siapa yang mengetahui isi hati kita kecuali yang Maha Mengetahui.

Sebagai hambaNya yang lemah, kita akui bahawa ada ketikanya hati kita dalam keadaan “nazak”, iaitu ketika kita rasa runsing tanpa sebab, merungut tidak bertempat, mengungkit penuh emosi dan pelbagai emosi negatif lagi.

Maka penulis ingin berkongsi “talian hayat” untuk mengelakkan hati kita “mati” sebelum ajal kita seperti berikut:-

#1- Menegur VS Ditegur

Talian hayat pertama adalah menerima teguran sebagai teguran daripada Allah S.W.T untuk mengembalikan kita ke landasan syariat yang sebenar.

Bilamana, kita ditegur daripada melakukan kemungkaran atau ajakan melalukan kebaikan, ia adalah indikator daripada Allah bahawa hati kita sedang sakit. Allah Maha Baik sedang memanggil kita kembali semula kepadaNya. Bahawa laluan hati kita telah tersasar.

Jika yang menegur atau mengajak kita itu masih belum melakukan benda yang ditegurnya umpama seorang bapa yang merokok melarang anak menghisap rokok, maka elakkan menunding jari kepada si penegur. Kerana ia melambangkan betapa tenatnya hati kita.

Tanggungjawab kita adalah mendengar apa yang ditegur dan kebaikan yang diajak, bukan siapa yang menegur atau yang mengajak ke arah kebaikan. Usaha sedaya upaya untuk mengambil manfaat atas teguran dan ajakan tersebut.

Begitu juga kita sewajarnya menegur sebarang kemungkaran dan mengajak seramai mungkin ke arah kebaikan. Meskipun kita sendiri masih bergelut untuk jadi baik. Berhati-hatilah dengan tipu daya syaitan yang berbisik;

“Macam bagus jer aku nak tegur-tegur orang, tunggu sampai aku dah betul-betul berubah baru aku tegurlah….”

Isunya, bilakah kita akan benar-benar jadi baik jika kita tidak mengajak orang lain berbuat baik? Percayalah di tahap ini hati kita menjadi semakin tenat dan tenat.

Bangkit segera dan sambut talian hayat pertama untuk menegur dan mengajak ke arah kebaikan seiring dengan kita sendiri membaiki diri detik demi detik.

#2- Zahir Tersenyum Dan Batin Meruntun

Penyakit PHD (Perasaan Hasad Dengki) merupakan penyakit hati yang kronik. Merasa gembira apabila orang yang kita dengki ditimpa musibah dan merasa dengki apabila orang yang dibenci mendapat nikmat. PHD ini jika terus dibaja maka akan mematikan hati.

Talian hayat kedua tentang zahirnya kita mungkin menunjukkan kegembiraan atas kebahagiaan orang yang kita benci namun Allah Maha Mengetahui apa yang sebenarnya tersirat di dalam hati. Quran menyebut bahawa pada hari Akhirat nanti, segala yang tersimpan dalam hati akan terungkap segalanya.

Talian hayat ini mengingatkan hati kita untuk menyakini salah satu rukun dalam agama iaitu “Ihsan”. Yakin kita menyembah Allah seolah-olah Allah sedang melihat diri kita malah tanpa keyakinan pun Allah tetap melihat kita termasuk apa yang tersirat dalam hati. Bak kata pepatah;

“Kita boleh menipu orang lain, namun kita tidak mampu menipu hati kita yang sememangnya asalnya bersifat fitrah”

#3- Airmata Pembasuh Dosa

Talian hayat ketiga ketika hati sedang tenat adalah airmata yang mengalir kerana takutkan Allah. Berusahalah untuk sentiasa mengingati Allah kerana ia umpama suis penyambung antara hati kita dengan Allah.

Sistem internet juga mempunyai suis penyambung. Inikan pula, hati kita yang merupakan sumber penilaian kita kelak di akhirat.

Namun terdapat banyak halangan yang menyebabkan hati terputus hubungan dengan Allah. Salah satu daripada 7 golongan yang dilindungi di hari akhirat adalah seseorang yang ketika mengingati Allah, airmatanya mengalir.

Jika tidak mampu menangis, paksalah untuk menangis tika mengenang setiap kesalahan kita kepadaNya kerana talian hayat ini amat mustajab menyembuhkan hati yang nazak.

#4- Kenapa Aku?

Ucapan spontan dan seolah menjadi “cliche” setiap kali ditimpa musibah terutama musibah yang bertimpa-timpa, lisan spontan mengungkapkan “kenapa aku? Kenapa aku?”.

Kita mempersoalkan tindakan Pencipta kita, sedangkan kita hanya hambaNya. Percayalah ia menyebabkan hati kita semakin tenat jika ia terus dilazimi setiap kali diuji.

Talian hayat seterusnya adalah menjaga lisan dan tidak mencabar aturan Allah. Fahamilah bahawa lisan itu ‘Imam’ kepada seluruh anggota. Nabi S.A.W menjawab soalan Saidina Muaz bin Jabal;

“Kamu tidak tahukah wahai Muaz, akan dicampakkann muka (dalam riwayat lain, kepala) ahli neraka itu ke dalam neraka oleh kerana mulut mereka”.

Jaminan Nabi S.A.W;

“Barangsiapa yang benar-benar menjaga anggota di antara dua bibirnya dan anggota di antara kedua-dua pahanya, maka aku jamin dia masuk ke dalam syurga”.

#5- Yang Ditakuti Syaitan

Yakinilah bahawa syaitan tidak pernah berniat baik terhadap anak-anak Adam. Itu janjinya kepada Allah. Syaitan berusaha sehabis baik untuk menghalang manusia melakukan walau sekecil-kecil kebaikan.

Syaitan berbisik ke dalam hati manusia untuk melakukan yang haram atau meninggalkan perkara wajib. Paling kurang disuruh melakukan yang makruh atau meninggalkan sunnah nabi S.A.W.

Maka hati kita semakin tenat jika terus terpengaruh dengan bisikan syaitan. Talian hayat kelima adalah tetap berusaha melakukan amal kebaikan sekalipun berhadapan 1001 satu halangan serta rintangan. Terus mujahadah dengan mengharap kekuatan dariNya “Lahawlawala quwata illa billah hi a’liyil a’zim”.

#6- Hati-Hati Menjaga Hati

Sebagaimana kita sedia maklum, seketul daging yang amat perlu kita jaga adalah hati. Jika kita sanggup berhabis duit untuk menjaga fizikal dan penampilan, maka menjaga hati memerlukan pelaburan yang lebih tinggi.

Teruslah berguru dan bersahabat baik dengan Al Quran hingga mencapai tingkat hati yang sejahtera/ “Qalbun Salim”.

Talian hayat keenam untuk hati mati adalah dengan merasakan bahawa kita belum benar-benar beriman. Kerana iman bukan sekadar di mulut. Iman akan diuji bagi menentukan sejauh mana tahap keimanan kita.

Maka amat wajar kita bersungguh-sungguh setiap masa untuk menjaga tahap kesihatan hati kita dan memohon kepadaNya agar dijauhkan daripada hati yang terkunci dan mati, nauzubillah himin zallik.

#7- Bekalan Simpanan Akhirat

Setiap jiwa pasti merasai maut, sesungguhnya talian hayat terakhir adalah sentiasa mengingati mati. Itulah orang yang bijak kerana menyedari bahawa dunia ini bukan tempat tinggal tapi tempat meninggal.

Maka dengan talian hayat ini, insya Allah hati kita sentiasa hidup dan menggerakkan setiap anggota tubuh kita bagi mengumpul sebanyak mungkin bekalan untuk di bawa ke alam selepas kematian. Hanya 3 perkara sahaja yang boleh kita jadikan bekalan ke akhirat iaitu :-

#1- Ilmu yang bermanfaat;
#2- Sedeqah Jariah; dan
#3- Doa anak yang soleh.

Ayuh terus menghidupkan hati kita dengan 7 talian hayat ini agar hati-hati kita semua tergolong dalam hati yang Allah rezekikan sebagai hati yang sejahtera hingga ke akhir hayat, insya Allah.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Azlina

Telah bersara pilihan sejak 2016. Kini Pengasas syarikat Minda Itqan. Fokus pada Pendidikan Awal Kanak-kanak, Pengurusan Sumber Manusia dan Konsultansi Pendidikan. Baru berjinak-jinak dengan penulisan kerana yakin setiap ilmu Allah perlu diikat dengan penulisan dan disebarkan

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami