Keluarga

7 Perkembangan Anak Anda Yang Perlu Diketahui

Oleh Noor Afidah Abu Bakar  •  6 Oct 2019  •  4 min baca

Walaupun anak kecil anda dihantar ke pusat jagaan dan tadika untuk diuruskan, dijaga dan dididik oleh pengasuh dan pendidik, namun semua ibu bapa harus juga mempunyai pengetahuan tentang bagaimana anak berkembang dan belajar.

Semua ibu bapa dan pendidik perlu memahami apa yang berlaku pada 8 tahun pertama hidup seorang anak dan bagaimanakah cara yang terbaik untuk menyokong pertumbuhan, pembelajaran dan perkembangan anak.

Dalam pendidikan awal kanak-kanak, terdapat prinsip atau amalan yang dikenali sebagai ‘Developmentally Appropriate Practice’ (DAP) ataupun amalan pendidikan yang bersesuaian dengan perkembangan kanak-kanak.

DAP ini berfungsi sebagai panduan untuk pendidik dalam merangka aktiviti pembelajaran dan pendidikan yang sesuai untuk anak-anak usia awal.

Terdapat beberapa prinsip dasar perkembangan dan pembelajaran yang bukan sahaja perlu diketahui oleh pendidik malah perlu juga diketahui oleh ibu bapa bagi menyokong perkembangan dan pembelajaran anak usia awal anda.

Ingatlah ibu bapa adalah guru no.1. Di antara prinsip tersebut adalah:

#1- Semua Aspek Perkembangan Anak Adalah Sama Penting

Tidak ada satu aspek yang lebih penting dari aspek yang lain. Penekanan pada keupayaan akademik atau kognitif sahaja menjadikan perkembangan dan pembelajaran anak tidak seimbang.

Keutamaan yang sama juga perlu diberikan kepada perkembangan fizikal, emosi, sosial dan rohani kerana semuanya saling berkait antara satu sama lain.

Matlamat kita bukan sahaja untuk melahirkan anak yang pandai membaca, menulis dan mengira, atau anak yang menghafal Al Quran semata-mata malah juga melahirkan anak yang membesar menjadi insan yang seimbang dari segi sosial, rohani, emosi dan akhlaknya juga.

#2- Perkembangan Dan Pembelajaran Berlaku Dalam Turutan

Sekuens atau turutan ini perlu diikuti agar kita dapat meletakkan harapan yang realistik kepada kanak-kanak.

Kanak-kanak tidak boleh dipaksa dan ditekan untuk melakukan sesuatu yang diluar perkembangan dan kemampuan otak dan tubuh kecil mereka.

Mengharapkan agar anak boleh membaca seawal usia 3 tahun dengan memaksa anak dan memberi tekanan kepada anak adalah bertentangan dengan turutan yang sepatutnya.

#3- Perkembangan Dan Pembelajaran Berlaku Pada Kadar Yang Berbeza-Beza

Setiap kanak-kanak adalah unik. Setiap kanak-kanak tumbuh dan perkembang pada kadar yang berbeza, mempunyai pembawaan yang berbeza, pengalaman yang berbeza, kecenderungan yang berbeza dan latar belakang keluarga yang berbeza.

Semua perbezaan ini harus diberi perhatian dan kanak-kanak tidak boleh dibanding-bandingkan. Perbandingan hanya membantutkan perkembangan dan pembelajaran mereka dan tidak memotivasikan mereka.

#4- Pengalaman Awal Yang Dilalui Secara Berpanjangan

Sama ada positif atau negatif, akan memberi impak yang sangat besar kepada perkembangan dan pembelajaran kanak-kanak di kemudian hari.

Antara contoh yang sering saya berikan dalam penulisan saya, sekiranya emosi anak kecil diakui dan diberi perhatian, anak akan membesar sebagai seorang individu yang peduli dan mempunyai empati terhadap kepayahan yang dilalui oleh orang lain.

Sekiranya emosi mereka tidak dilayan dan diperkecil-kecilkan, mereka juga akan membesar sebagai individu yang tiada empati dan tidak peduli.

#5- Berkembang Dengan Baik Apabila Mereka Mempunyai Rasa Percaya

Rasa percaya terhadap individu yang mengajar mereka dan juga mempunyai perhubungan yang selamat, selesa dengan individu tersebut.

Kaedah menakut-nakutkan, mengugut, menghukum, menyindir, mencubit dan memukul, hanya mewujudkan rasa tidak percaya, tidak selamat dan tidak selesa yang akan membantutkan pembelajaran dan perkembangan yang sihat pada kanak-kanak.

#6- Belajar Menggunakan Metod Pembelajaran Yang Pelbagai

Mereka juga memiliki kecerdasan dan kekuatan yang berbeza-beza. Jangan menggunakan hanya satu kayu ukur untuk mengukur kemampuan dan ‘kepandaian’ kanak-kanak.

Kenalpasti kelebihan mereka dan bantulah mereka untuk mengembangkan kelebihan itu.

Ingatkah anda pada ‘9 jenis kecerdasan pelbagai’ yang pernah saya kongsikan sebelum ini?

#7- Bermain, Bermain Dan Bermain Adalah Kaedah Pembelajaran Yang Sangat Penting Dan Efektif

Bagi membina perkembangan fizikal, sosial, emosi dan kognitif kanak-kanak. Bermain memberi peluang untuk kanak-kanak memahami dunia di sekitar mereka.

Peluang untuk mereka berinteraksi dengan orang di sekeliling mereka, meluahkan dan membimbing emosi mereka dan juga peluang untuk meneroka dan merenung tentang alam, kejadiannya dan Penciptanya.

Bermain bukanlah aktiviti yang membuang masa dan sia-sia bagi kanak-kanak kerana mereka sedang belajar apabila mereka bermain.

Berhentilah memaksa kanak-kanak untuk melakukan sesuatu yang diluar kemampuan dan perkembangan mereka.

Berhentilah membanding-bandingkan mereka kerana setiap seorang daripada mereka adalah unik.

Kanak-kanak bukannya ‘mini adults’. Mereka mempunyai kebolehan dan keperluan mereka yang tersendiri yang perlu dihargai, dihormati dan dikembangkan.

Gambar adalah buku rujukan milik saya yang ‘lunyai’ kerana sering dirujuk ketika mempelajari ‘Early Childhood Education’ dulu.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Noor Afidah Abu Bakar

Beliau merupakan 'Certified Positive Parenting Educator (Parent Practice UK)'. Beliau boleh dihubungi melalui FB Parent Connect. Lulusan MA Early Childhood Education di University of Sheffield.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami