Keluarga

6 Tips Mudah Didik Anak Anda Solat Walau Tidak Ke Masjid Dalam Tempoh PKPB Ini

Oleh Fizah Lee  •  6 Jan 2021  •  3 min baca

Antara tips mengajak anak-anak solat yang sering kita dengar adalah dengan membawa mereka mendekati masjid. Dengan itu, hati mereka akan lebih dekat dengan solat dan secara perlahan-lahan boleh membuatkan mereka suka dengan solat.

Namun, situasi sekarang berubah di mana tidak semua masjid dan surau dibuka kepada orang awam terutamanya di kawasan yang masih lagi terjejas dengan COVID-19.

Bahkan, untuk lebih berhati-hati, kita dinasihat untuk duduk di rumah dan menunaikan solat di rumah sahaja.

Jadi, bagaimana untuk mendidik anak-anak supaya menunaikan solat dengan berkesan walaupun tanpa mengajak mereka ke masjid?

#1 – Kenalkan Mereka Dengan Azan

Jadikan azan sebagai salah satu alunan yang dirindui untuk didengar. Apabila ia berkumandang, anda boleh mengajar mereka untuk diam atau memahami makna di sebalik azan tersebut.

Jika kawasan rumah yang agak jauh dengan masjid atau bunyi azan, maka anda sendiri perlu mengambil inisiatif untuk mengumandangkan azan sama ada di televisyen atau penggera telefon anda.

#2 – Solat Di Hadapan Mereka

Salah satu cara pengajaran yang berkesan adalah melalui tauladan. Solat di hadapan mereka dan tunjukkan bahawa ia adalah amalan wajib yang perlu dilakukan lima kali sehari tanpa boleh ditinggalkan.

Mula-mula, mereka akan tertarik untuk melihat anda solat namun lama-kelamaan mereka mungkin akan tertarik pula untuk mengikuti anda solat.

Disebabkan itu, ia perlu dilakukan dengan tauladan yang baik oleh ibu bapa sendiri.

#3 – Sediakan Ruang Khusus Untuk Solat

Seseorang akan lebih bersemangat untuk melakukan sesuatu jika berada dalam aura yang betul. Sebagai contoh, anda sendiri jika disuruh bekerja dari rumah, pastinya anda menginginkan ruang kerja yang boleh membantu anda lebih produktif. Jadi, bilik tidur bukanlah tempat yang tepat untuk melakukan pekerjaan.

Begitu juga dengan ruang solat. Tidak masalah untuk menunaikan solat di ruangan masing-masing, namun untuk langkah permulaan, beri aura solat itu kepada anak-anak anda.

Jika tidak boleh membawa mereka ke masjid, maka bawalah aura masjid atau surau di rumah anda.

#4 – Berikan Kelengkapan Solat

Sudah menjadi fitrah anak-anak kecil pasti sukakan benda yang boleh menarik perhatian mereka. Jadi, tidak salah untuk memberi kelengkapan solat yang cantik dan sesuai dengan peringkat umur mereka.

Anda boleh berikan sejadah, tasbih, telekung atau kopiah kepada mereka agar ia boleh menambah lagi semangat buat anda.

#5 – Ajar, Bukan Suruh

Paling penting adalah ajar mereka untuk menunaikan solat dan bukan suruh. Pendidikan mengenai solat perlu dilakukan dengan langkah demi langkah.

Jangan menyuruh mereka menunaikan solat sedangkan pengetahuan mereka mengenainya juga masih di peringkat yang rendah. Ia boleh menyebabkan minat mereka terhadap solat berkurangan kerana mereka melakukan perkara yang tidak diketahui pengetahuannya dengan mendalam.

#6 – Berjemaah

Melakukan aktiviti secara beramai-ramai itu lebih meriah dan seronok dibandingkan jika ia dilakukan secara berseorangan.

Justeru, ajak mereka untuk menunaikan solat bersama-sama agar keseronokan itu boleh bertambah.

Kesimpulan

Perihal solat merupakan amalan wajib yang perlu dilakukan oleh umat Islam dan tidak boleh dilakukan secara semberono tanpa ilmu. Namun, perjalanannya boleh menjadi sesuatu yang menyeronokkan jika ia diberi pendidikan dan ilmu dengan baik sejak dari awal lagi.

Wallahu a’alam


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Fizah Lee

Merupakan seorang graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Bahasa Melayu untuk Komunikasi Antarabangsa. Seorang yang suka membaca bahan bacaan dalam bidang sejarah dan motivasi

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami