Eksklusif, Tokoh

#6 – Nick Vujicic – Pakar Motivasi Kelainan Upaya

Oleh Fizah Lee  •  28 Sep 2020  •  4 min baca

Pelan Efisien 100 Hari

Nick Vujicic, nama yang tidak asing lagi dalam kalangan kita terutamanya buat mereka yang sentiasa tertarik dengan tokoh-tokoh motivasi bagi sentiasa menginspirasikan diri sendiri.

Beliau merupakan salah seorang pakar motivasi ulung yang telah menginspirasikan ramai orang walaupun kurang anggota badan, iaitu tangan dan kaki.

Pernahkah anda mendengar penyakit Sindrom Tetra-Amelia? Ia merupakan salah satu sindrom gangguan kelahiran di mana anak yang dilahirkan itu tanpa tangan dan kaki.

Sindrom inilah yang dialami oleh Nick Vujicic apabila tangannya tidak tumbuh dan kakinya pula hanya tumbuh sedikit dan tidak sempurna. Bentuk kakinya pula sangat kecil dan dengan jari yang tumbuh di kakinya itulah yang membantu melaksanakan aktiviti hariannya.

Namun, di sebalik kekurangannya ini, ramai insan yang telah termotivasi dengannya. Kekurangan inilah yang menjadikannya sebuah kelebihan.

Jadi, Siapa Nick Vujicic?

Nama penuh beliau adalah Nicholas James Vujicic yang berasal dari Australia. Beliau telah dilahirkan pada 4 Disember 1982 di Melbourne.

Tiada manusia yang dilahirkan sempurna, namun berbeza dengan Nick yang tidak sempurna anggota fizikal apabila beliau lahir tanpa tangan dan kaki. Ketinggiannya hanya mencapai 0,99 meter sahaja.

Sebelum beliau menjadi pakar motivasi, banyak kecaman dan ujian yang telah dialami. Pertama, ibu bapa Nick pada awalnya tidak dapat menerima hakikat bahawa anak mereka dilahirkan dengan kekurangan itu.

Namun, setelah beberapa lama kelahirannya, mereka mula menyedari bahawa Nick itu tetap anaknya dan perlahan-lahan mereka memberi sepenuh kasih sayang serta didikan kepadanya.

Ibu bapa Nick mengajarkan beliau cara untuk hidup berdikari dan lebih kuat dalam menempuh kehidupan.

Pada usia 18 bulan, Nick telah diajar berenang dan sukan itu telah menjadi hobi beliau sehingga kini. Sukan ini juga merupakan salah satu sebab ramai yang percaya bahawa tiada yang mustahil dalam hidup ini.

Ketika alam persekolahan pula, ibu bapanya ingin mengajar Nick untuk hidup lebih kuat dengan menjalani kehidupan seperti anak-anak yang lain. Jadi, mereka telah menghantar beliau ke sekolah harian biasa seperti anak-anak normal yang lain.

Namun, di sekolah, beliau sering dibuli dan diejek dek kekurangan yang ada sehinggakan beliau tidak mempunyai ramai kawan.

Beliau juga pernah berniat untuk membunuh diri kerana tidak tahan dengan kecaman tersebut, namun apa yang membatalkan perbuatannya ialah apabila beliau memikirkan kedua orang tuanya.

Baginya, ibu bapanya telah belajar menerima kekurangan itu dari beliau bayi lagi. Ditambah dengan kasih sayang dan didikan yang diberikan sepatutnya menjadikan beliau lebih bersemangat untuk membalas kasih sayang mereka.

Ibunya juga pernah berkata;

“Engkau memang mempunyai sedikit kekurangan di sana sini, tetapi engkau juga punya banyak keistimewaan.”

Dan inilah yang menyebabkan beliau tidak pernah berputus asa serta tidak malu dengan fizikalnya.

Beliau telah berjaya meraih impiannya dengan mempunyai Ijazah dalam bidang Ekonomi, iaitu Akaun serta Perancangan Kewangan ketika usia 21 tahun.

Beliau telah memulakan kariernya sebagai pakar motivasi ketika berusia 23 tahun dengan mendirikan sebuah organisasi yang bernama ‘Life Without Limbs.’

Organisasi ini bukan hanya memberi bantuan dari sudut moral dan motivasi, tetapi juga sudut kewangan dan material buat mereka yang mempunyai kekurangan fizikal.

Bermula waktu inilah beliau telah mendapat banyak undangan dan tawaran untuk bercakap di khalayak tentang kehidupan dan motivasi dalam masa yang sama untuk memberi harapan kepada semua orang.

Bukan itu sahaja, beliau juga telah banyak tampil di beberapa filem pendek dan dokumentari bagi memberi motivasi kepada penonton.

Selain daripada kegiatannya di atas pentas, beliau juga memotivasikan orang melalui penulisannya.

Antara buku yang sentiasa menjadi pilihan pembaca adalah Life Without Limits yang telah diterbitkan pada 2016 dan Stand Strong pada 2015.

Bukan Senang Nak Senang

Kini, Nick dilihat bukan sahaja seorang yang berjaya dalam kerjayanya tetapi juga dalam kehidupannya apabila beliau telah mempunyai empat orang cahaya mata hasil perkahwinannya dengan seorang perempuan yang bernama Kanae Miyahara.

Beliau masih lagi aktif memberikan ceramah motivasi, menulis buku dan juga berusaha menyeimbangkan kehidupannya dengan ahli keluarganya.

Kisah Nick Vujicic menunjukkan bahawa tiada kejayaan yang datang dari hasil yang mudah, perjalanan yang manis dan pendek.

Setiap kejayaan itu datangnya dari pelbagai bentuk cabaran dan ujian yang sesuai pada kemampuan diri kita.

Walaupun kadang-kadang anda rasa tidak mampu dan ingin berputus asa, namun sentiasa yakin dengan kemampuan diri anda.

Lihat sejenak ke belakang, berapa banyak langkah yang telah anda ambil untuk sampai ke tahap ini.

Kerana setiap manusia istimewa dengan kelebihan dan kekurangannya sendiri.

Rujukan:
Life Without Limits oleh Nick Vujicic

#PelanEfisien100Hari
#PE1H


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Fizah Lee

Merupakan seorang graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Bahasa Melayu untuk Komunikasi Antarabangsa. Seorang yang suka membaca bahan bacaan dalam bidang sejarah dan motivasi

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami