Ibadah

6 Keistimewaan Bagi Mereka Yang Menunaikan Ibadah Haji

Oleh Anas  •  30 Sep 2016  •  4 min baca

Sabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud:

“Didirikan Islam itu di atas lima rukun, iaitu mengucap Kalimah Syahadat (Aku beri’ktikad, berikrar dan mengaku bahawa sesungguhnya tiada Tuhan yang berhak disembah dengan sebenarnya melainkan Allah jua, dan sesungguhnya Junjungan Nabi Muhammad itu Pesuruh Allah) , mendirikan sembahyang lima waktu dan mengeluarkan zakat serta mengerjakan Haji dengan mengunjungi Baitullahil Haram dan puasa di bulan Ramadhan”.

Riwayat oleh Imam Bukhari dan Muslim

Setiap tahun beribu-ribu umat Islam memenuhi kota Mekah dan Madinah bagi melaksanakan ibadah haji. Bagi yang berkemampuan, ini adalah satu peluang bagi melengkapkan rukun Islam yang kelima. Tambahan pula, kita sering mendengar cerita-cerita menarik semasa menunaikan haji atau umrah selain ganjaran hebat dari Allah. Saya kongsikan serba-sedikit di sini nikmat bagi mereka yang mengerjakan haji:

1. Antara Amalan Terbaik

Diriwayatkan oleh Abu Hurairah, bahawa Rasulullullah Sallallahu Alaihi wa Sallam pernah ditanya tentang amalan apa yang paling utama?

Beliau menjawab : ‘Iman kepada Allah dan Rasul-Nya.’ Kemudian beliau ditanya kembali, ‘Setelah itu apa lagi?’ Beliau menjawab, ‘Jihad fi Sabilillah.’ Kemudian ditanya lagi, ‘Lalu apa lagi? Beliau menjawab, ‘Haji mabrur.’

HR. Al-Bukhari 1519, Muslim 83

Berniatlah agar dapat melaksanakan antara amalan terbaik yang disarankan oleh Rasulullah S.A.W ini. Namun, ia perlulah dilaksanakan dengan sempurna agar kita pulang dengan haji mabrur.

2. Satu Bentuk Jihad

Ibadah haji adalah merupakan salah satu bentuk jihad bagi semua umat Islam. Ia tidak mengira usia atau keadaan fizikal seseorang. Maka lemah atau pengecut itu bukanlah satu kekangan. Ini sebagaimana riwayat dari Abu Hurairah bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:

“Haji adalah jihad kepada yang tua, yang lemah, dan para wanita.”

3. Menghapuskan Dosa-Dosa Silam

Siapa yang tidak mahu dosanya dihapuskan. Ia adalah tiket ke syurga memandangkan hidup ini penuh dengan dugaan yang memungkinkan kesilapan seringkali berlaku. Begitulah beruntungnya bagi mereka yang melaksanakan ibadah haji. Jika ibadah tersebut dilakukan dengan sempurna, maka dirinya akan sebersih kain putih yang belum penah tercemar.

Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a., ia berkata: Rasulullah Saw. pernah bersabda:

“Barangsiapa berhaji ke Baitullah tanpa berkata keji, tanpa bersetubuh dan tanpa berbuat kefasikan (selama ihram), maka dia pulang (tanpa dosa) bagaikan bayi yang baru lahir.”

Hadits ini juga diriwayatkan oleh Al-Bukhari, nombor hadits: 1819.
Mukhtashar Shahih Muslim, hal.399.

4. Menjadi Tetamu Allah

“Orang-orang yang mengerjakan ibadah haji dan ‘umrah adalah tamu-tamu Allah. Allah memberi kepada mereka apa yang mereka minta, dan Dia mengabulkan semua doa mereka; kemudian Dia akan mengganti semua harta yang mereka belanjakan untuknya, satu dirham menjadi sejuta dirham.”

HR. Baihaqi

Di dunia ini, hati akan berasa bangga dan seronok jika dijemput oleh orang-orang besar, pemimpin-pemimpin dan ketua-ketua yang hebat di mata masyarakat. Oleh itu, tentulah tiada perkataan yang dapat diungkapkan jika dijemput menjadi tetamu kepada pemilik seluruh alam. Bukan semua orang mendapat kesempatan ini walaupun ramai yang menginginkannya.

5. Dijanjikan Syurga

Jika tadi dikatakan dosa dapat dihapuskan dengan menunaikan ibadah haji , maka pastinya habuan dari itu adalah syurga Allah.

Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a., bahwa Rasulullah Saw. pernah bersabda:

“Umrah yang satu dengan Umrah berikutnya adalah penghapus dosa yang dilakukan antara masa keduanya, sedangkan haji mabrur balasannya tiada lain adalah surga.”

HR. Al-Bukhari, nombor hadits: 1773

Sebagai umat Islam, impian kita adalah syurga. Hidup di dunia ini hanyalah satu perjalanan menuju ke syurga yang kekal abadi.

6. Berbelanja Ke Jalan Allah

Perjalanan melaksanakan ibadah haji bukan sahaja menuntut pengorbanan masa dan tenaga, tapi ia turut memerlukan perbelanjaan yang tinggi. Mungkin kerana itulah Allah memberikan ganjaran yang hebat kepada mereka yang melakukan ibadah ini termasuk menyamakan perbelanjaan itu dengan perbelanjaan kerana Allah.

“Orang-orang yang mengerjakan ibadah haji dan ‘umrah adalah tamu-tamu Allah. Allah memberi kepada mereka apa yang mereka minta, dan Dia mengabulkan semua doa mereka; kemudian Dia akan mengganti semua harta yang mereka belanjakan untuknya, satu dirham menjadi sejuta dirham.”

HR. Baihaqi

Oleh itu, tanamkanlah niat untuk mengambil peluang menjana pahala ini. Berusahalah untuk menjadi tetamu Allah walaupun perjalanannya agak sukar dan perlahan. Tiada yang mustahil dari Dia. Bagi mereka yang berpeluang menunaikan ibadah haji, ini adalah masa terbaik untuk mengaut semua keuntungan yang dijanjikan oleh Allah S.W.T.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Anas

Seorang penulis yang suka bereksperimentasi dengan pelbagai bidang dalam penulisan. Pernah menulis buku kanak-kanak dan juga majalah.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami