Gaya Hidup

6 Kaedah Bagaimana Menjadi Pengamal Empati Yang Baik

Oleh Bahauddin Hamizan  •  2 Feb 2019  •  3 min baca

Dalam artikel Sikap Empati Yang Dipandang Enteng Dalam Perhubungan, penulis sudah bercerita dengan panjang lebar berkenaan apa yang dimaksudkan dengan empati. Di bawah pula, digariskan enam kaedah bagaimana untuk menjadi pengamal empati yang baik.

#1- Menanam Sikap Ambil Berat Tentang Orang Lain

Maksudnya disini kita gemar mengambil tahu perkara-perkara yang berkaitan tentang perasaan seseorang, watak peribadinya, batas-batasnya dan hal yang boleh membuatkan kita faham keadaan seseorang. Sikap mengambil berat seperti ini bukanlah seperti sibuk ambil tahu kisah silam dan aib dosa kerana ini dilarang oleh Islam.

#2- Cuba Memahami Tentang Hidup Orang Lain Tanpa Ada Prejudis dan Sinis

Sesetengah orang suka mengambil tahu tentang orang lain hanyalah kerana untuk mengambil peluang melontarkan kata-kata yang berbentuk prejudis dan sinis. Mereka bukan memahami untuk melegakan perasaan orang yang ingin didengari, sebaliknya hanya akan banyak menjadi asbab kecederaan emosi yang lebih parah.

#3- Meletakkan Diri Kita Dalam Kasut Orang Lain

Kita bukan hanya mendengar masalah orang dan mengangguk “Oh sedihnya kamu” tanpa ada reaksi yang wajar seperti cubaan memahami dengan cara melakukan komunikasi yang serius dan mendalam. Peluk, raikan dan kunci mulut dari melakukan sebarang kritikan.

#4- Menjadi Pendengar Setia Yang Baik

Menjadi pendengar setia yang baik amat sukar dilakukan kerana ramai yang gemar memasang telinga tetapi susah untuk diam. Maksudnya ramai mendengar bukan untuk benar-benar faham, sebaliknya berfikir untuk membalas luahan tersebut walhal si peluah tidak mahukan komen sebelum dirinya sendiri yang minta.

“Hak seorang Muslim atas Muslim yang lain enam; bila bertemu ucapkanlah salam; bila dia memanggilmu penuhilah; bila dia meminta nasihat maka hendaklah kamu beri nasihat; bila dia bersin dan mengucapkan alhamdulillah bacalah yarhamukallah (semoga Allah memberikan rahmat kepadamu); bila dia sakit jenguklah; dan bila dia meninggal dunia hantarkanlah (jenazahnya)”(Riwayat Muslim)

Selain menjadi pendengar setia yang baik, kita dituntut juga untuk mengamalkan sikap terbuka dengan keinginan seseorang untuk bertindak bagi dirinya. Contohnya, jika si peluah meluahkan bahawa dirinya mahu mengambil langkah dan keputusan tertentu (masih dalam kerangka yang baik) sebaiknya kita dengar dengan baik dan berikan sokongan padu, bukannya mencelah dan mendatangkan idea lain kerana ini akan membantutkan lagi komunikasi.

#5- Biarkan Si Dia Membina Keputusan Sendiri

Kita sebagai pengamal empati yang mendengar masalah seseorang sepatutnya mendorong si peluah untuk membina keputusan sendiri tanpa kita yang sibuk hendak menyuruh mereka melakukan sesuatu mengikut pendapat peribadi kita sendiri. Ini kerana setiap orang mempunyai kaedah menyelesaikan masalah yang berbeza bergantung kepada situasi unik yang dihadapi dalam hidup.

#6- Tidak Semata-Mata Berhujah Dengan Pendapat Sendiri

Walaupun pendapat kita mungkin bagus dan sesuai dengan apa yang kita yakini namun tidak bererti ia sesuai dengan keadaan orang lain yang sedang dalam masalah. Biarkan sahaja mereka membina keputusan sendiri asal boleh diterima akal selari dengan Islam.

Ramai orang yang ingin memasuki sesuatu perhubungan seperti percintaan, pertunangan dan perkahwinan tidak menyediakan mental yang kuat untuk menjadi pengamal empati (memahami orang lain).

Hal ini banyak sekali didengar penulis – orang yang berlatar belakangkan kerjaya yang bagus pun tidak faham mengenai komitmen menjadi pengamal empati. Bagi mereka komitmen dalam perhubungan hanyalah soal duit, beri duit dan bayarkan segala-galanya.

Ataupun cukup sekadar mengadakan hubungan intim (bagi yang berkahwin). Sedangkan pasangan mereka selalu berasa kosong kerana tidak difahami secara mendalam. Hal ini boleh membawa kepada banyaknya berlaku kes-kes kecurangan rentetan daripada perasaan yang tidak dipenuhi dan hubungan yang tidak memuaskan hati (fulfilling).

Sekali lagi penulis suka untuk mengingatkan agar tidak memandang remeh persoalan menjadi pengamal empati yang bagus kerana sikap ini dapat melegakan perasaan pasangan sekaligus mendatangkan ketenangan dalam perhubungan.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Bahauddin Hamizan

Bahauddin Hamizan

Graduan Fakulti Sains Pentadbiran & Pengajian Polisi, UiTM. Meminati aktiviti sukarelawan dan sukan . Penulis buku Pematah Hati Yang Dirindukan.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami