Remaja

5 Tips Untuk Mahasiswa Menghadapi Tahun Pertama Alam Universiti

Oleh Azian Mohamed Isa  •  4 Aug 2018  •  5 min baca

Seperti remaja-remaja lain yang telah tamat Tingkatan 5 dan selesai mengambil peperiksaan SPM, Athirah, 18 tahun, bercita-cita untuk menyambung pengajian ke peringkat yang lebih tinggi.

Di Malaysia, salah satu laluan yang biasa diambil oleh para pelajar lepasan SPM ialah melanjutkan pelajaran ke peringkat Asasi, Matrikulasi dan Diploma. Bidang pengajian pula dipilih mengikut minat dan keputusan yang telah diterima.

Namun, dalam keterujaan menerima tawaran ke kolej atau universiti pilihan, Athirah juga berdepan dengan seribu satu kebimbangan dan keraguan.

Sebagai seorang pelajar di sebuah sekolah harian, meninggalkan rumah untuk kali pertama dan berjauhan dengan keluarga pasti melahirkan perasaan rindu dan sebak.

Tambahan pula, kehidupan di universiti dengan alam persekolahan amat berbeza. Di sekolah, pengajaran dan pembelajaran menumpukan perkara-perkara asas manakala silibus di universiti menjurus kepada disiplin bidang yang lebih mendalam dan terperinci.

Ini pastinya menambahkan lagi beban emosi yang dihadapi oleh Athirah. Untuk mahasiswa baharu seperti Athirah, tahun pertama di universiti merupakan waktu yang paling kritikal dalam menentukan halatuju kecemerlangan.

Dalam proses transisi dari alam persekolahan ke universiti, Athirah harus menyesuaikan diri dengan suasana dan kehidupan yang serba baharu. Namun, bagaimana caranya?

Di sini disenaraikan 5 perkara yang sepatutnya ada pada setiap pelajar yang bergelar mahasiswa di tahun pertama pengajian di kolej atau universiti.

#1- Belajar Secara Kendiri/ Independent Learners

Di universiti, setiap mahasiswa dikehendaki untuk menghadiri kuliah dan tutorial. Mahasiswa yang diasah untuk mencari sumber-sumber dan bahan-bahan untuk proses pembelajarannya secara kendiri.

Ini termasuklah dengan melakukan perbincangan dengan pensyarah dan rakan mahasiswa yang lain, membuat kajian di perpustakaan, melakukan carian buku-buku dan jurnal akademik di perpustakaan atau carian dalam talian untuk mencapai matlamat pembelajaran.

Semua ini dilakukan dengan penuh disiplin dan fokus. Setiap saat digunakan dengan penuh tanggungjawab. Oprah Winfrey ada menyebut;

“How you spend your time defines who you are”

#2- Bijak Mengimbangi Masa

Mahasiswa yang produktif, bijak membahagikan masa dengan berkesan dalam 3 aspek kehidupan dalam universiti, iaitu dalam pelajaran, aktiviti ko-kurikulum dan kehidupan sosial.

Jadikan kehidupan di universiti sebagai padang latihan untuk mengenali potensi yang ada dalam diri. Dengan menceburi aktiviti ko-kurikulum, kemahiran insaniah seperti komunikasi, kepimpinan dan kerjasama dapat disemai.

Perhubungan yang baik dengan rakan mahasiswa yang lain, yang luar dari bidang juga membolehkan seseorang itu meluaskan pergaulan dan dapat memahami corak pemikiran dan budaya yang ada.

Hasilnya, mahasiswa ini bukan sahaja cemerlang dalam akademik malah dapat menyesuaikan diri dengan baik sepanjang tempoh pengajian.

#3- Mencari Masa Untuk Kesejahteraan Penjagaan Kendiri

Tidak dinafikan, kehidupan di universiti amat mencabar. Ia menuntut seseorang untuk sentiasa berfikir dan bergerak dengan pantas supaya lebih kehadapan. Pada satu-satu masa, ini agak memenatkan dan boleh memberikan tekanan.

Oleh itu, seorang mahasiswa yang berjaya perlu mencari masa untuk memelihara hubungannya dengan keluarga dan juga hubungannya dengan diri sendiri/self care. Ini termasuklah memberi perhatian yang menyeluruh dalam kesejahteraan fizikal, spiritual dan psikologi.

Bagi menjamin kesejahteraan fizikal, mahasiswa perlulah mendapatkan tidur dan rehat yang secukupnya, bersenam dan makan makanan yang bernutrisi dan seimbang.

Kesejahteraan spiritual dan psikologi pula dapat dicapai melalui solat.

Bagi mahasiswa yang beragama Islam, selain daripada solat, bacaan zikir harian seperti al-Mathurat dapat meningkatkan ketahanan diri. Dalam satu hadis Qudsi Allah S.W.T. berfirman maksudnya;

“Wahai anak-anak Adam, (sebutkan) zikirkanlah Aku selepas solat subuh barang sekejap dan selepas solat asar barang sekejap maka Aku memadai kepada engkau apa yang ada diantara dua waktu tersebut maka apabila naik matahari solatlah dhuha sebanyak 8 rakaat.”Riwayat Saidina Hassan

#4- Bijak Menggunakan Teknologi

Dalam era kepesatan teknologi kini, mahasiswa yang berjaya perlu melengkapkan diri dengan kemahiran teknologi. Penggunaan telefon pintar yang dilengkapkan dengan aplikasi Whatsapp amat perlu untuk berhubung dengan pensyarah dan rakan sekuliah.

Kebanyakan universiti menggunakan Sistem Pengurusan Pembelajaran (Learning Management System) secara dalam talian untuk menyampaikan bahan-bahan bacaan dan video yang berkaitan, perbincangan kelas dan tugasan-tugasan yang perlu diserahkan.

Secara amnya, setiap tugasan perlu dihantar dalam format Word. Sekiranya tugasan berbentuk pembentangan secara berkumpulan, kemahiran menggunakan PowerPoint merupakan suatu kelebihan.

Justeru, penggunaan komputer, terutama sekali komputer riba menjadi salah satu keperluan untuk mahasiswa.

Tidak rugi jika mahasiswa membuat pelaburan untuk membeli sebuah komputer riba yang tahan lasak dan pada masa yang sama ia ringan dan mudah dibawa ke kelas.

#5- Mentor Sebagai Rujukan

Sebagai mahasiswa baharu yang masih dikelilingi oleh suasana dan cara hidup yang mungkin asing bagi dirinya, panduan dan sokongan oleh orang yang dihormati dan disegani amat diperlukan.

Kehadiran seorang mentor yang biasanya dalam kalangan pelajar ‘senior’ akan memudahkan urusan harian sama ada dalam urusan akademik mahupun bukan akademik.

Oleh itu, mahasiswa baharu harus mempunyai sikap ingin tahu dan tidak segan untuk bertanya soalan dan mendapatkan nasihat yang terbaik daripada pelajar ‘senior’. Ingat, malu bertanya, sesat jalan.

Kesimpulannya, tahun pertama universiti tidak harus dianggap sebagai tahun ‘kebebasan’; bebas dari deringan loceng sekolah yang membingitkan, bebas dari pakaian seragam sekolah yang membosankan, yang menyebabkan segelintir mahasiswa baharu terleka dan tidak serius dengan pelajaran.

Tahun pertama universiti ialah tahun yang paling kritikal yang menuntut seseorang mahasiswa bersikap lebih matang dan bertanggunjawab.

Sekiranya tahun pertama pengajian dilalui dengan penuh iltizam dan semangat yang kental, InsyaAllah, laluan untuk tahun pengajian berikutnya akan jadi lebih mudah.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Azian Mohamed Isa

Pemegang Sarjana dalam bidang Sains Biologi, pernah menyandang jawatan pensyarah. Kini seorang penulis sepenuh masa. Seorang pemikir dan pengembara. Kisah kembaranya di Xi’an, China dan Pulau Mauritius boleh diikuti di dalam majalah E&T yang diterbitkan oleh MySet, myset.org.my. Juga seorang penulis yang telah menerbitkan lima buah buku di bawah Galeri Ilmu

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami