Remaja

5 Tips Remaja Yang Ingin Melakukan Transformasi Diri

Oleh Marina  •  8 Apr 2017  •  4 min baca

Berubah menjadi diri yang lebih baik dari hari sebelumnya bukanlah suatu perkara yang mudah. Ia memerlukan satu proses yang cukup panjang, beristiqomah dan bersungguh-sungguh dalam melaksanakannya.

Tahukah anda, sesiapa yang diinginkan oleh Allah s.w.t berada dalam kebaikan, akan diberikan padanya kefahaman tentang agama. Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud;

“Barangsiapa yang Allah inginkan kebaikan padanya, Allah akan berikan kefahaman padanya tentang agama.”Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim

Berubah atau berhijrah ke arah kebaikan adalah suatu perkara yang sangat mulia. Ini menunjukkan bahawasanya Allah s.w.t menginginkan kita berada dalam kebaikan dan dekat dengan-Nya. Sesungguhnya, Dia sangat cinta pada hamba-Nya yang sentiasa membersihkan hati, bermuhasabah dan mengoreksi diri sendiri.

Justeru, bagaimanakah caranya untuk kita memulakan proses penghijrahan ini?

#1 – Niat Berhijrah Kerana Allah S.W.T

Apa jua perkara yang ingin kita lakukan, mulakanlah dengan niat kerana Allah s.w.t. Dengan berniat untuk berhijrah ke arah kebaikan saja sudah ‘dikira’ sebagai amal kebaikan di sisi Allah s.w.t sekalipun belum melakukannya.

Akan tetapi, jika kita berniat untuk melakukan keburukan tetapi tidak melakukannya lagi, ia tidak ‘dihisab’ sebagai amal keburukan. Maha baiknya Allah. Dari Amirul Mu’minin, Abi Hafs Umar bin Al-Khattab radhiallahuanhu berkata;

“Aku mendengar Rasulullah s.a.w bersabda; ‘Sesungguhnya, setiap perbuatan itu bergantung pada niatnya. Dan, sesungguhnya setiap orang (akan dibalas) berdasarkan apa yang dia niatkan. Siapa yang hijrahnya kerana (ingin mendapatkan keredhaan) Allah dan Rasul-Nya, maka hijrahnya kepada (keredaan) Allah dan Rasul-Nya. Dan, siapa yang hijrahnya kerana menginginkan kehidupan yang lebih baik di dunia atau kerana wanita yang ingin dinikahinya, maka hijrahnya (akan bernilai/mengikut sepertimana) yang dia niatkan.”Kitab Hadis 40 Imam Nawawi,no.1

#2 – Meletakkan Target Atau Sasaran

Dengan meletakkan target atau sasaran, ia akan memudahkan bagi kita untuk menuju ke arah matlamat yang ingin dicapai. Tanpa matlamat, mungkin niat untuk berhijrah diri ke arah jalan yang lurus dan lebih baik itu agak sukar untuk dilalui bahkan, boleh saja tersasar dari laluannya.

#3 – Mencari Suasana Dan Rakan Yang Baik

Tahukah anda, persekitaran sekeliling memainkan peranan yang cukup penting dalam pembentukan diri menjadi individu yang cemerlang atau sebaliknya. Tetapi dalam sesetengah kes, sekalipun tinggal dalam persekitaran yang baik belum tentu akhlaknya juga menjadi baik.

Begitu juga ada dalam kalangan mereka yang tinggal dalam persekitaran yang kurang baik, tetapi akhlaknya jauh lebih mulia dan baik. Kisah Nabi Ibrahim a.s boleh kita jadikan contoh. Walaupun Baginda tinggal dalam persekitaran yang buruk, kaumnya yang menyembah berhala tetapi Baginda tidak mengikut jejak langkah mereka sebaliknya, mencari Tuhan yang satu.

#4 – Bersabar Dengan Cemuhan

Sejarah telah mencatatkan bahawasanya dahulu, Nabi kita Muhammad s.a.w juga turut terkena cemuhan dari orang sekeliling yang tidak dapat menerima ajaran yang dibawa. Dibaling najis, diletakkan duri di jalanan dan pelbagai lagi penderitaan yang ditanggung Baginda.

Sungguhpun begitu, Baginda Nabi s.a.w langsung tidak membalas ejekan, cemuhan, kejian mahupun perbuatan buruk yang dilontarkan padanya. Bahkan, apa yang dilakukan oleh Baginda adalah tetap bersabar di samping menyebarkan kasih sayang dan kebaikan.

“Semua ucapan Rasulullah s.a.w adalah mutiara-mutiara indah. Jika berpegang teguh padanya, sungguh akan menjadi ubat dalam keadaan sedih.”Kalam Mutiara Al-Marhum Habib Munzir Bin Fuad Al-Musawa

#5 – Berdoa Kepada Allah S.W.T

Doa adalah senjata ampuh bagi setiap mukmin. Ini kerana, doa adalah perantaraan antara kita dengan Tuhan yang mencipta diri kita. Mengadulah apa jua pada-Nya jika berasa kecewa dengan orang sekeliling yang tidak selesa dengan penghijrahan anda, pasti Dia tidak akan mengecewakan.

Mintalah apa jua pertolongan pada-Nya sama ada ketika susah mahupun senang, pasti akan diberikannya. Mohonlah perlindungan dari-Nya agar ditetapkan iman untuk terus berada dalam kebaikan, pasti dikabulkannya. Ini kerana, Dia adalah Tuhan yang Maha mendengar, Maha Melihat, Maha Pengasih dan Maha Penyayang.

Semoga perkongsian ini dapat membantu para remaja yang sedang mencari cara untuk mengubah keadaan mahupun melakukan transformasi hijrah ke atas dirinya untuk menjadi hamba-Nya yang lebih baik dari semalam. Mudah-mudahan, jalan menuju kebaikan itu sentiasa dipermudahkan dan beroleh keredhaan Allah s.w.t.

Renungi dan hayatilah firman Allah s.w.t ini yang bermaksud;

“Sungguh, Allah swt tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum itu, melainkan kaum itu sendiri yang mengubah apa yang ada pada diri mereka.”Surah ar-Ra’d: 11

Wallahua’lam.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Marina

Marina

Merupakan graduan dari UNISZA, Terengganu dalam bidang Pengajian Islam dengan hasrat menggabungkan pelbagai pengetahuan dan kemahiran yang dimiliki untuk manfaat komuniti. Menulis adalah salah satu dari minatnya dan beliau turut menghasilkan sebuah karya pertamanya yang berjudul , '' Himpunan Kisah Kaum-Kaum Binasa''.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami