Remaja

5 Tips Remaja Musleh

Oleh Rasyidah Rahmat  •  26 Oct 2018  •  4 min baca

Apa khabar remajaku? Masih bertenaga untuk menjadi muslim power? Alhamdulillah Allah masih memberikan kekuatan untuk saya menulis dalam entri kali ini dengan penuh semangat dan rasa bekobar-kobar untuk berkongsi sesuatu.

Baiklah saya inginkan sampaikan pada kali ini. Lihat saja pada tajuk. Oh semua yang membacanya pasti sudah mengangguk. Apakah yang dimaksudkan dengan menjadi remaja musleh?

Remaja musleh ini adalah seseorang yang ingin membaiki. Membaiki apa? Orang yang ingin membaiki diri dan menyeru orang lain dengan menyampaikan risalah Islam. Subhanallah! Hebat bukan?

Menjadi seorang yang baik itu belum cukup. Ya! Kita tak nak jadi baik sorang-sorang. Tapi kita nak semua orang menjadi baik.

#1- Lelaki-Lelaki Subuh

Suka saya mendengar gelaran ‘Lelaki Subuh’ ini kerana saya sangat mengagumi pemuda yang boleh bangun sebelum subuh dan bersiap ke masjid untuk menunaikan solat subuh berjemaah di surau atau masjid.

Masya-Allah! Inilah salah satu usaha untuk melatih diri kita untuk mujahadah melawan hawa nafsu. Mengapa waktu subuh?

Kerana pada waktu itulah kita sedang berperang dengan musuh batin kita iaitu syaitan dan hawa nafsu.

Saya tertarik dengan kata-kata Ustaz Pahrol Mohd Juoi dalam salah satu artikel mengenai Rahsia dan Keajaiban Solat Subuh dalam majalah solusi, katanya;

“Sekarang kita telah jelas bahawa, hanya orang yang mampu mengalahkan musuh batinnya sahaja (nafsu dan syaitan) mampu untuk mengalahkan musuh zahirnya (Yahudi, Nasrani dan orang munafik). Inilah kunci kejayaan Rasulullah S.A.W dan para sahabat R.A serta pejuang Islam terdahulu menewaskan musuh-musuh Islam.”

#2- Buku atau Gadget?

Sudah lama saya mengimpikan suasana para pemuda kita khususnya, menjadikan buku sebagai teman rapat berbanding sibuk bermain gadget. Remaja musleh itu perlu kaya dengan ilmu.

Tanpa ilmu hidup kita umpama gelap gelita. Minat membaca dan mencari ilmu ini perlu dihidupkan semula. Pada masa kini, kemodenan amat mendominasi kehidupan kita.

Hal ini menjadikan budaya membaca seakan hanyut dibawa arus kemodenan. Sibuk sekali dengan permainan video, hiburan dan sebagainya. Ayuh jadilah remaja iqra’!

#3- Akhlak Mantap!

Memelihara akhlak mahmudah itu bukan semudah yang disangka. Membentuk keperibadian diri untuk menjadi yang lebih baik setiap hari memerlukan kekuatan luar dan dalam.

Ibadah wajib jaga. Iman dan aqidah perlu diberi perhatian yang serius kerana semuanya akan membuahkan akhlak islam yang sebenar.

Qudwah (contoh tauladan) merupakan perkara yang paling sukar untuk ditunjukkan, kerana apa? Setiap hari kita sering terdedah dengan perkara dosa walau sekecil perkara.

Oleh sebab itu, menjadi musleh itu memerlukan kesabaran yang kuat untuk membentuk keperibadian diri sendiri. Jangan berputus asa dalam membina akhlak yang mantap!

Mungkin ramai yang lulus dalam subjek akhlak di medan peperiksaan. Namun, pada medan amal seringkali terkandas. Fikir-fikirkan.

#4- Demi Masa!

Allah S.W.T banyak bersumpah dengan masa. Hal ini menunjukkan bahawa masa itu sangat penting dalam kehidupan manusia.

Nilai masa itu jika tidak diisi dengan amal yang baik pastilah akan dipersoalkan di akhirat kelak. Saya petik kata-kata dari Imam al-Ghazali iaitu;

“Jika kamu hidup selama 60 tahun, dan kamu tidur 8 jam sehari, maka dalam tempoh itu, kamu sebenarnya telah tidur selama 20 tahun sepanjang hidup.”

Allahu akbar! Kita perlu banyak muhasabah diri. Menjadi pemuda musleh sangat penting untuk menjaga kualiti masa hidupnya.

Tiada istilah rehat dalam kamus hidupnya dek terlalu sibuk menyusun masa dengan tanggungjawab membina manusia dan menyampaikan kebenaran.

Allahu, semoga Allah memberi kekuatan kepada kita untuk melaksanakan tanggungjawab kita sebaiknya di muka bumi Allah ini selagi hayat dikandung badan. Ingatlah, waktu rehat kita cuma satu. Saat kembali kepada-Nya.

#5- Memelihara Hubungan

Menjaga hubungan kita dengan Allah amat penting kerana hidup kita di dunia ini hakikatnya hanyalah untuk beribadah kepada-Nya. Menghambakan diri kepada Allah adalah suatu tanda kecintaan kita terhadap pencipta kita.

Manakala, menjaga muamalah kita sesama manusia merupakan salah satu wasilah untuk menguatkan kecintaan kita kepada Allah S.W.T.

Mengapa saya kata begitu? Kerana kita semua mempunyai tujuan hidup yang sama. Menjadi hamba dan khalifah-Nya. Dalam pada itu, seiring dengan usaha kita dalam menyampaikan risalah Islam kepada umat sejagat.

Dua perkara ini sangat penting untuk melancarkan perjalanan kita sebagai da’i yang berjiwa musleh. Remaja musleh itu remaja yang mempunyai kesedaran berkaitan tanggungjawab hakikinya di muka bumi ini.

Dia tahu bahawa usia mudanya bukan ruang untuk bersuka-ria tetapi lebih kepada mempersiapkan diri menjadi seorang mujadid yang memulihkan permasalahan umat yang semakin parah ini.

Moga Allah S.W.T memberi kita kekuatan dan petunjuk agar kita tetap istiqomah untuk melatih diri menjadi remaja yang berjiwa musleh. Insya-Allah.

Rujukan;
1-Buku Aku Bukan Superman
2-10 Muwasofat Tarbiyah


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Rasyidah Rahmat

Rasyidah Rahmat

Suka mencuba perkara baru dan sangat meminati bidang penulisan dan membaca buku dalam semua genre. Karya pertama yang diterbitkan iaitu dalam siri antologi cerpen Negeri Terengganu. Merupakan mahasiswa tahun akhir sarjana muda syariah di UIN STS Jambi, Indonesia.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami