Gaya Hidup

5 Tips Naikkan ‘Mood’ Rajin Membaca

Oleh Asyiqin Rosmahadir  •  12 Feb 2021  •  4 min baca

Ada orang yang suka membaca tetapi ada juga orang yang tidak gemar membaca. Pembacaan merupakan sesuatu kemahiran yang paling dekat dengan diri kita sejak kecil. Maka, sepatutnya sikap membaca itu sudah sebati dalam diri kita. 

Namun, sesetengah orang terasa malas sekali untuk membaca. Lebih-lebih lagi jika ayat-ayat di dalam bahan bacaan itu panjang berjela-jela. Tahukah anda kebanyakan orang yang berjaya ialah mereka mempunyai tabiat iaitu rajin membaca? 

Bahan bacaan yang dipilih oleh orang yang berjaya tidak berunsurkan perkara yang menghiburkan semata-mata. Mereka lebih cenderung untuk membaca buku berkaitan dengan cara untuk menambahkan ilmu dalam sesuatu hal. 

Malahan, terdapat banyak manfaat yang akan anda perolehi melalui pembacaan. Anda bukan hanya menambahkan pengetahuan tetapi juga melatih otak untuk berfikir secara kreatif. Keyakinan juga akan bertambah apabila anda percaya dengan ilmu-ilmu yang telah dibaca. 

Jadi, anda mesti rebut peluang ini supaya boleh berdiri setanding dengan orang yang berjaya dalam hidup. Berikut merupakan tips yang boleh digunakan bagi menaikkan semangat untuk membaca.

#1- Ambil Bahan Bacaan Dan Tetapkan Waktu Untuk Menyelesaikan Pembacaan

Bahan bacaan merupakan perkara utama yang diperlukan. Anda boleh mendapatkan bahan bacaan daripada pelbagai sumber. Pada zaman ini, bahan bacaan yang dicetak mudah didapati dengan harga yang berpatutan.

Anda juga boleh mendapatkan bahan bacaan secara maya contohnya adalah seperti Tzkrh.com. Pelbagai laman web yang boleh dibaca untuk meningkatkan ilmu pada zaman ini. Segalanya kini berada di hujung jari. 

Pemilihan bahan bacaan juga amat penting untuk mewujudkan mood membaca. Bahan bacaan haruslah seiring dengan minat anda. Hal ini adalah untuk menggalakkan semangat membaca dengan berkesan. Di sinilah anda perlu peka dengan bahan bacaan yang anda pilih. Apa-apa yang anda baca juga akan membentuk diri anda.

Setelah anda mendapatkan bahan bacaan, buat sasaran waktu untuk menyelesaikan pembacaan. Anda boleh menetapkan hari untuk menghabiskan sesuatu bacaan itu. Dengan cara tersebut, anda pasti dapat mencapai matlamat untuk membaca sehingga tamat.

#2- Cari Tempat Yang Selesa Untuk Membangkitkan Semangat Membaca 

Membaca merupakan sesuatu aktiviti yang menenangkan. Anda boleh memilih untuk membaca di ruang yang sesuai sama ada di dalam rumah ataupun di luar rumah mengikut keselesaan. Jika anda sudah berada di tempat yang selesa, bacaan anda akan lebih efektif. 

Tempat selesa yang dimaksudkan termasuklah tempat duduk yang selesa seperti sofa yang empuk, perpustakaan, kafe yang menenangkan ataupun di atas tilam. Anda juga boleh menyesuaikan diri di tempat yang berbeza-beza bagi meningkatkan semangat untuk membaca. 

Sekiranya anda tidak mempunyai sebarang lokasi yang mampu mewujudkan suasana selesa untuk membaca di dalam rumah, anda boleh lakukannya sendiri. Tempat bacaan boleh diatur dengan meletakkan tempat duduk, pencahayaan yang baik serta meletakkan aksesori yang menambahkan seri tempat tersebut. Contohnya, pokok, bantal dan sebagainya. 

#3- Cuba Untuk Membaca Setiap Hari Walaupun Sekejap 

Masa yang diperuntukkan untuk manusia adalah cukup dalam sehari. Waktu bagi aktiviti membaca boleh diatur mengikut kesesuaian anda. Tidak kira setengah jam, satu jam ataupun lebih daripada itu. 

Sebelum itu, anda harus mengenal pasti waktu yang terbaik buat anda melakukan pembacaan. Setiap orang mempunyai pilihan waktu yang berlainan untuk membaca. Sebagai contoh, membaca pada awal pagi, tengah malam ataupun semasa keadaan anda sedang berehat. 

Tambah pula dengan teknologi sekarang, aktiviti membaca telah menjadi lebih mudah. Anda boleh membaca melalui aplikasi di gajet dan tidak perlu membawa buku fizikal. 

Apabila membaca sudah dipraktikkan dalam hidup anda setiap hari, anda telah berjaya meniru sifat orang yang berjaya. 

#4- Bawa Bahan Bacaan Yang Perlu Dibaca Bersama-sama 

Tabiat baharu yang perlu diamalkan ialah anda membawa bahan bacaan ke mana-mana sahaja. Tidak kira dalam bentuk digital ataupun cetak. Sekiranya mempunyai masa yang terluang, anda boleh menggunakan masa yang ada untuk membaca. 

Bayangkan anda tersekat dalam situasi yang membosankan di sesuatu tempat. Jadi, anda dapat membaca pada waktu itu. Anda boleh membawa bahan bacaan lalu diletakkan di dalam kereta ataupun beg. 

Budaya membaca sememangnya masih wujud dalam negara ini. Oleh itu, anda tidak perlu takut dan malu untuk membaca walaupun semasa berada di tempat umum. Anda boleh membaca semasa berada di dalam pengangkutan awam ataupun di mana-mana sahaja yang bersesuaian. 

#5- Melakukan Pembacaan Secara Pantas 

Bagi orang yang sibuk dalam urusan harian pula, anda masih boleh meluangkan masa untuk membaca. Teknik membaca secara pantas boleh dilakukan. Anda perlu baca di awal dan akhir bahan bacaan.

Anda cuma perlu fokuskan pada kandungan yang penting untuk anda. Seterusnya, tidak mengulangi apa-apa yang telah dibaca dalam masa yang sama. Cara membaca juga adalah dengan tidak menyebut patah perkataan. Anda perlu cuba untuk membaca dengan menggunakan mata. Bacaan anda akan jadi lebih pantas dengan berbuat begitu. 

Kesimpulannya, anda boleh menjadi seorang yang rajin membaca. Ayuh tingkatkan amalan membaca dan menggunakan tips yang disenaraikan. Sesungguhnya, membaca merupakan kunci kepada jendela dunia. Jika anda rajin membaca, anda akan mengenali dunia dan seluruhnya. 

.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Asyiqin Rosmahadir

Seorang pelakon di pentas dunia. Acap kali menyandang watak gadis yang berusaha untuk memperbaiki kehidupan sendiri. Kadangkala, lakonannya begitu indah di alam fantasi. Beliau gemar bersuara melalui tulisan dan sedang gigih berperang dalam dunia seni bina.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami