Keluarga

5 Tips Menjadikan Tarawih Berjemaah Sebagai Aktiviti Menarik Buat Anak-Anak Anda

Oleh Fizah Lee  •  13 May 2020  •  3 min baca

Kita sudah memasuki sepuluh malam terakhir Ramadan. Sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini, ramai di kalangan ketua keluarga yang mengambil kesempatan untuk menunaikan solat lima waktu secara berjemaah di rumah.

Apabila ditatal di laman-laman sosial, ramai yang menzahirkan rasa syukur dengan peluang berjemaah bersama ahli keluarga masing-masing.

Bukan mudah untuk berkumpul satu keluarga bagi mengamalkan sunnah dan ajaran Islam. Berjemaah bersama keluarga merupakan salah satu amalan yang dituntut dan diberi seribu satu kelebihan kepada ahli keluarga tersebut di samping dapat mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan itu.

Namun, tidak kurang juga masih terdapat di kalangan anak-anak yang tidak terbiasa dengan aktiviti berjemaah ini. Ditambah lagi dengan bulan Ramadan yang menjelma, pasti makin liat perangai anak-anak kecil itu.

Buat ibu bapa yang masih lagi berusaha membuat anak-anak jatuh cinta akan solat berjemaah terutamanya solat Tarawih, ini adalah antara tips yang boleh dicuba:

#1 – Ajak Anak Solat, Bukan Suruh

Sudah menjadi norma manusia, mereka pantang disuruh dan diarah. Itu akan membuatkan hati mereka mudah memberontak jika ia dilakukan tanpa kerelaan hati sendiri.

Adalah lebih baik untuk mengajak mereka solat bersama. Ibu dan bapa merupakan contoh teladan yang terbaik buat anak-anak. Apabila diajak dengan cara yang berhemah, maka hati mereka akan mudah tersentuh.

Jangan dimarah atau diajak secara kasar. Terlebih dahulu, gunakan bahasa yang lembut dan nada yang baik agar ia mudah meresap ke dalam hati mereka.

#2 – Minta Mereka Laungkan Iqamah

Anak-anak akan merasa lebih dihargai apabila diberikan tugasan yang hampir sama dengan imam. Sekali sekala, minta mereka laungkan azan dan bergilir-gilir untuk iqamah.

Ia bukan sahaja dapat menimbulkan rasa tanggungjawab dalam diri mereka, namun dalam masa yang sama boleh menambah keyakinan.

#3 – Salam Dan Peluk Anak-Anak

Usai solat, jangan terus melipat sejadah dan bermain telefon bimbit. Amalkan bersalaman dengan anak-anak dan peluklah mereka agar aura positif serta kasih sayang ibu bapa itu dapat dirasai oleh mereka.

Lambat-laun, mereka akan merasakan nikmat berjemaah yang bukan sekadar meraih pahala ibadah dari Allah namun lebih kepada mengeratkan hubungan ibu bapa dan anak-anak.

#4 – Betulkan Solat Anak Jika Salah

Sesetengah ibu bapa ‘takut’ untuk betulkan solat anak-anak mereka yang salah. Bimbang jika anak-anak akan kurang minat untuk solat.

Namun, itu persepsi yang salah. Apabila wujudnya kesalahan, ia perlu ditegur dengan cara yang baik dan berhemah. Ini menandakan anda seorang ibu bapa yang peka akan solat anak-anak anda. Dalam masa yang sama, mereka boleh belajar betulkan solat.

Bimbang jika ia tidak dibetulkan sekarang, kesalahan itu boleh berlarutan sehingga mereka meningkat dewasa.

#5 – Ganjari Mereka Dengan Benda Yang Menyeronokkan

Buat anak-anak yang sukar menunaikan solat berjemaah terutamanya solat Tarawih dengan bilangan rakaat yang banyak, pastinya memerlukan usaha yang tinggi.

Seperti mana anda memberi ganjaran kepada mereka jika mampu menghabiskan puasa penuh, anda juga boleh menjanjikan mereka sesuatu yang menarik jika mampu menunaikan solat jemaah.

Sekali-sekala, belanja mereka juadah berbuka puasa yang digemari seperi yong tau fu, roti john ataupun air tebu kegemaran mereka. Itu sudah cukup memberikan mereka semangat lagi untuk meneruskan ibadah itu.

Kesimpulan

Banyak lagi cara yang lebih kreatif yang boleh diamalkan oleh ibu bapa untuk menambahkan semangat anak-anak menunaikan solat berjemaah.

Pada awalnya, ia akan mengambil masa dan usaha yang tinggi ditambah dengan kesabaran yang jitu, namun percayalah berkat doa anda, suatu masa nanti mereka sendiri yang akan mengajak anda berjemaah kerana sudah terbiasa dengan aktiviti tersebut.

Wallahu a’alam.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Fizah Lee

Merupakan seorang graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Bahasa Melayu untuk Komunikasi Antarabangsa. Seorang yang suka membaca bahan bacaan dalam bidang sejarah dan motivasi

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami