Gaya Hidup

5 Tips Mengubat Kekosongan Hati Anda

Oleh Siti Asmaq Muhammad  •  15 Mar 2019  •  4 min baca

Setiap hari kita akan bergelumang dengan pelbagi rasa. Ada waktu hati rasa sedih, ada waktu hati akan rasa gembira, ada waktu hati rasa gundah dan ada waktu hati rasa kosong bagaikan tiada apa yang berlaku.

Setiap rasa itu dihadiahkan oleh Allah untuk kita mengingatiNYA. Setiap rasa itu hanya boleh diubati dengan hanya bersama Allah dan mengingati Allah. Maha Baik Allah ialah tatkala masalah diturunkan ada jalan penyelesaian yang diberi.

Antara program yang telah disusun oleh Allah untuk mengisi ruangan hati kosong di hati kita ialah :

#1- Setiap Saat (Berzikir)

Allah memberikan ruang untuk kita berzikir setiap saat. Allah tidak mengkhususkan zikir untuk selepas solat sahaja.

Allah memberikan ruang berzikir supaya sentiasa mengingati Allah sepanjang perjalan menuju akhirat. Di setiap tempat kita boleh berzikir.

Banyak zikir yang boleh diamalkan dalam kehidupan seharian. Antaranya ialah zikir harian. Dalam berzikir ini paling penting ialah istiqamah.

Mari kita lakukan kerana zikir adalah makanan rohabi kepada hati dan jiwa. Andainya hati dipenuhi dengan kecintaan pada Allah, InsyaAllah tenang akan menyusuli kita.

#2- Setiap Hari (Solat 5 Waktu)

Daripada Abu Hurairah R.A katanya, aku mendengar Rasulullah S.A.W bersabda;

“Katanya, andai kata pada pintu seseorang di antara kamu ada sebuah sungai dan ia mandi disitu sebanyak lima kali dalam sehari, apakah masih ada kekotoran yang masih tertinggal dibadannya?” para sahabat menjawab, tidak ada kekotoran sedikit pun yang tertinggal dibadannya. Baginda bersabda, “Demikianlah bandingan sembahyang lima waktu, dengan mengerjakan semua itu Allah akan menghapuskan semua dosanya dan kesalahan”Hadith Riwayat al-Bukhari dan Muslim


 
Baiknya Allah, disusunnya solat untuk mengisi hari-hari kita di dunia ini. Solat itu tiang agama, andainya lemah tiang tersebut, goyahlah agama.

Aktiviti seharian bergantung kepada keadaan solat. Andainya baik solat pada hari tersebut, maka baiklah hari tersebut. Solat mampu mencegah kemungkaran dan membawa ketenangan. Solat yang juga merupakan himpunan doa juga mampu mengisi kekosongan hati.

#3- Setiap Minggu (Solat Jumaat )

Daripada Abu Hurairah dan juga Ibn Umar R.A bahawa kedua-keduanya mendengar Rasulullah S.A.W bersabda ketika Baginda membaca khutbah jumaat di atas mimbar;

”Mudah-mudahan orang ramai tidak terus menerus suka meninggalkan solat Jumaat tanpa uzur nescaya Allah akan menutup ke atas hati-hati mereka daripada menerima kebenaran dan kebaikan yang di kehendaki oleh agama. Maka jadilah mereka golongan orang yang lalai.Hadith Riwayat Muslim

Setiap minggu, Allah aturkan kaum adam untuk ke masjid untuk sembahyang jumaat dan di dalamnya ada pengisian khutbah yang berperanan untuk mengingatkan semua tentang ilmu ilmu Allah.

Manakala untuk kaum hawa, sambil memasak makanan tengahari boleh mendengar juga khutbah di televisyen mahupun di corong radio.

Khutbah jumaat adalah berupa peringatan untuk mengajak kepada kebenaran dan mencegah kemungkaran. Isi khutbah ini akan memantapkan lagi hati untuk mengingati Allah.

#4- Setiap Tahun (Berpuasa Di Bulan Ramadan)

Sebelum memasuki madrasah Ramadan, banyak majlis ilmu di buat supaya bersedia untuk memasuki madrasah ini. Tatkala melalui bulan Ramadan, Allah mendidik hati dengan kesabaran, dengan ketaqwaan.

Melalui Ramadan ini, Allah mengatur kehidupan dengan penuh berdisiplin. Melalui Ramadan ini, Allah mengatur supaya bangun bersahur waktu pagi, berbuka di waktu maghrib.

Selain itu, malam pula dikhaskan untuk beribadat. Dengan beribadah itu ianya akan mengisi kekosongan dengan sentiasa mengingati Allah.

#5- Sekali Seumur Hidup (Menunaikan Haji)

“Orang yang mengerjakan haji dan orang yang mengerjakan umrah adalah tetamu Allah Azza wa jalla dan para pengunjungNya. Jika mereka meminta kepada-Nya nescaya diberiNya. Jika mereka meminta ampun nescaya diterimaNya doa mereka. Dan jika mereka meminta syafaat nescaya mereka diberi syafaat.”Ibnu Majah

Menunaikan haji termasuk dalam rukun Islam yang kelima. Dalam hati setiap mukmin, Allah tiupkan satu kerinduan terhadap rumah Allah ini. Semua diprogramkan oleh Allah untuk cinta kepada bumi berkat ini.

Melalui perjalanan ke rumah Allah ini banyak pengajaran yang boleh diambil untuk mengisi kekosongan hati kita. Tatkala bersedih ambilah pengajaran daripada kisah Ibrahim dan Ismail. Ambillah ibrah daripada Rasulullah dan sahabatnya.

Kesimpulannya, Allah mengatur yang terbaik untuk setiap hambaNya. Jangan termenung tatkala hati terasa kosong. Ambil masa dan ikutlah program yang disediakan oleh Allah ini untuk kita semua.

Semoga ianya bermanfaat untuk kita. Semoga selepas ini, kita sentiasa berada di landasan yang betul dalam mengisi ruang yang kekosongan ini.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Siti Asmaq Muhammad

Siti Asmaq Muhammad

Anak kelahiran Kelantan. Seorang guru di Pulau Pinang, yang mengharapkan anak didiknya menjadi insan yang berjaya dan mengimpikan setiap dari anak didiknya menjadi ejen kebaikan untuk semua orang.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami