Inspirasi

5 Tips Mengekalkan Momentum Anda Menulis Tesis!

Oleh Rasyidah Rahmat  •  21 Mar 2018  •  5 min baca

Menulis itu umpama sebuah pengembaraan bisu yang penuh dengan cabaran dan rintangan. Ibarat sebuah kapal yang berlayar di sebuah lautan yang penuh dengan ombak dan badai.

Begitulah imaginasi seorang penulis untuk menghasilkan sebuah penulisan. Menulis apa jua bahan bacaan seperti menulis buku, novel, karya ilmiah mahupun menulis cerpen atau puisi, tetap memerlukan kaedah agar sistematik dan berkualiti.

Bagaimana seorang penulis boleh menyusun waktu dengan teratur, menyiapkan tugasan tanpa memikirkan soal penat dan paling penting mampu menangkis rasa malas dan sikap negatif dalam diri?

Hasilnya anda berjaya menghasilkan sebuah penulisan yang hebat dan bermakna.

Nah! Di sini dikongsikan tips bagaimana untuk mengekalkan momentum sepanjang menyelesaikan penulisan tesis agar anda tetap berusaha keras dan bersemangat dari awal sehingga akhir penulisan.

#1 – Niat

Sebelum kita memulakan sesuatu, niat adalah perkara paling penting untuk kita selalu perbaharui.

Adakalanya seorang penulis itu tidak dapat menghasilkan kajiannya kerana niat yang pada awalnya betul apabila berada di pertengahan tidak sejalan dengan apa yang direncanakan.

Soal niat itu elemen penting untuk kita re-check kembali agar matlamat dalam kajian yang kita lakukan sampai pada objektifnya.

Ingat ya, niat yang tidak seiring dengan apa yang Allah reda boleh menjadi sebab sukarnya untuk menyiapkan sesuatu penulisan. Sama juga dalam menulis tesis.

Orang yang menuntut ilmu dan mengajak orang lain untuk membuat kebaikan adalah orang yang paling dekat dengan Allah.

Nilai seorang penuntut ilmu ini sangat tinggi sehingga di dalam Al-Quran Allah SWT menyebutkan tentang orang yang berilmu ini akan dinaikkan darjat anda dan Allah memudahkan bagi anda jalan untuk ke syurga. Maha Suci Allah!

“Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diminta kepada kamu memberi lapang dari tempat duduk kamu (untuk orang lain) maka lapangkanlah seboleh-bolehnya supaya Allah melapangkan (segala halnya) untuk kamu. Dan apabila diminta kamu bangun maka bangunlah, supaya Allah meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu, dan orang –orang yang diberi ilmu pengetahuan agama (dari kalangan kamu) beberapa darjat. Dan (ingatlah), Allah Maha Mendalam Pengetahuan-Nya tentang apa yang kamu lakukan. Surah Al-Mujadilah : 11

Jadi awal-awal lagi saya sudah berniat tujuan saya berkongsi penulisan ini agar semua orang boleh mendapat manfaat dan mula menulis dengan penuh tekun dengan niat yang betul. Insya-Allah hasilnya kelak mendapat manfaat dan berkat.

#2 – Disiplin

Seorang mahasiswa sewajarnya mempunyai jadual harian bagi menyusun urusan anda setiap hari.

Hal ini menjadikan seorang mahasiswa itu lebih sistematik dan tidak membuang masa dengan perkara yang sia-sia. Dalam hal penulisan juga begitu.

Apabila menulis kajian atau membuat penyelidikan perlu mempunyai jadual dan target harian supaya dapat menjaga disiplin diri agar menyelesaikan tugasan mengikut waktu yang ditetapkan.

Hal ini sememangnya menjadi salah satu punca momentum si penulis turun naik akibat kurang menjaga disiplin diri dan waktu yang telah ditetapkan.

Anda perlu merangka jadual dan tetapkan target anda sesuai dengan kemampuan anda agar setiap hari anda mempunyai sumbangan walaupun hanya sekadar membaca satu halaman kerana ia tetap memberi buah fikir buat anda ketika menyelesaikan tugasan.

#3 – Komitmen

Dalam konteks ini, elemen ini berkait rapat dengan sikap menjaga disiplin. Hal ini kerana orang yang menjaga disiplin pasti dapat memberi komitmen yang baik dalam penulisan anda.

Mari kita muhasabah diri. Allah SWT sangat menyayangi hamba-Nya yang mempunyai sifat itqan dalam diri iaitu sifat tekun dan istiqomah (berterusan) dalam melakukan sesuatu pekerjaan.

Penulisan tesis dan yang sewaktu dengannya amat memerlukan sikap tekun dan disini dapat kita lihat seseorang itu mampu memberi komitmen yang terbaik atau tidak terhadap peneyelidikannya sendiri.

Suka untuk saya ingatkan bahawa apabila kita menulis sebuah kajian bukanlah semata-mata untuk mendapatkan gred atau markah yang cemerlang sahaja.

Tetapi sejauh mana hasil penyelidikan kita yang akan dibukukan itu bermanfaat buat masyarakat seluruhnya. Bukan hanya menjadi hiasan di rak-rak perpustakaan sahaja.

Oleh itu, komitmen anda dalam menyiapkan tesis mestilah diberikan sepenuhnya. Hal ini menjadikan anda lebih optimis untuk menerima tugasan lain pada masa akan datang.

#4 – Push! Push Yourself!

Ahha! Dalam tips yang keempat ini saya ingin anda cuba belajar untuk mujahadah! Apa itu mujahadah? Ya betul! Bersungguh-sungguh melawan nafsu (diri).

Bila anda sudah ada niat yang betul, disiplin yang teratur dan komitmen yang terbaik. Maka sudah masanya untuk anda kekalkan momentum penulisan tesis anda agar sekurang-kurangnya anda dapat mencapai target ‘sehari sehalaman’.

Itu lebih baik daripada anda tidak melakukan apa-apa dengan alasan anda tiada idea, mood ke laut, malas, tengah bersedih sebab baru lepas break up dan sebagainya.

Tepuk dada tanya iman. Motivasikan diri anda dengan mendorong diri sendiri agar tetap bekerja keras meskipun apa jua alasan yang menjadi batu penghalang.

Ingat, nak berjaya bukan semudah makan kacang. Sedangkan makan kacang pun kena usaha membuang kulitnya.

Apatah lagi ingin menghasilkan sebuah penulisan yang hebat. Sudah pasti memerlukan pengorbanan yang besar juga.

#5 – Reward Yourself

Apakah perasaan anda ketika menerima hadiah daripada seseorang? Sudah pasti kita akan berasa gembira dan teruja.

Jadi, persoalan saya sejauh mana kita telah menghargai diri kita sendiri? Seberapa banyak kita telah memberi hadiah buat diri kita?

Perkara ini perlu dilakukan kerana tiada hadiah yang lebih baik selain hadiah untuk diri sendiri.

Setelah berhempas pulas menyiapkan sesuatu pekerjaan, apa lagi yang lebih membahagiakan diri apabila kita dapat meraikan usaha diri sendiri. Benar bukan?

Oleh itu, jika anda setiap hari mencapai target penulisan tesis anda tidak salah untuk anda meraikan diri sendiri supaya anda lebih termotivasi untuk menyiapkan penyelidikan anda sehingga ke garisan penamat.

Bersyukurlah, dengan pertolongan Allah untuk saya menyiapkan apa-apa tugasan sekalipun sama ada besar atau kecil serta meraikan diri sendiri walaupun dengan mengucapkan;

“Good Job! You’ve done!”

Kesimpulannya, adakah anda sudah bersedia untuk bangkit kembali daripada terus bermalas-malasan di atas katil?

Ayuh! Realitikan matlamat anda untuk menghasilkan sebuah tesis yang berkualiti meskipun anda tidak suka menulis.

Adakalanya perkara yang kita sukar untuk lakukan menjadi sesuatu yang dapat kita lakukan dengan bermula dengan sebuah galakan dan motivasi kepada diri sendiri. Jom mulakan 5 tips mudah ini!

Sumber:
Perkongsian daripada Mahasiswa PhD


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Rasyidah Rahmat

Suka mencuba perkara baru dan sangat meminati bidang penulisan dan membaca buku dalam semua genre. Karya pertama yang diterbitkan iaitu dalam siri antologi cerpen Negeri Terengganu. Merupakan mahasiswa tahun akhir sarjana muda syariah di UIN STS Jambi, Indonesia.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami