Remaja

5 Tips Belajar Kerana Allah

Oleh Rasyidah Rahmat  •  4 Mar 2019  •  4 min baca

“Zaman belajar sudah berakhir sekarang kita menginjak ke zaman pekerjaan.”

Saya tidak bersetuju kerana hakikatnya kita belajar setiap hari! Benar bukan? Sabda Nabi S.A.W yang bermaksud;

“Ya Allah, aku memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”Riwayat Ibnu Majah

Hadis di atas adalah salah satu doa yang sangat baik untuk kita amalkan pada setiap hari. Doa ini mempunyai maksud yang amat baik.

Kita memohon kepada Allah agar setiap hari kita diberikan ilmu yang bermanfaat buat diri dan rezeki yang baik sumbernya serta amalan yang kita lakukan selama ini diterima. Insya-Allah.

Baiklah, dalam artikel ini dikongsikan tips untuk belajar kerana Allah, khususnya bagi adik-adik yang akan menjalani peperiksaan besar seperti UPSR, PT3, SPM, STPM dan peperiksaan di peringkat yang lebih tinggi. Jom kita baca satu-persatu!

Apa Kata Mufti?

Sahibus Samahah Dato’ Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri menyimpulkan bahawa cara untuk belajar kerana Allah ialah;

#1- Memperbetulkan Niat Belajar

Adik-adik penuntut ilmu dinasihatkan agar sentiasalah memperbaiki niat belajar kita agar ikhlas kerana Allah meskipun pada ketika itu bukan dalam musim peperiksaan.

Apatah lagi dalam musim peperiksaan kita mestilah sentiasa berdoa agar apa yang kita pelajari selama ini bukan semata-mata ingin cemerlang dalam peperiksaan malah ia sebagai satu bekalan dan pegangan hidup yang mencorakkan masa depan kita.

#2- Menjauhi Daripada Sifat Mencabar Atau Menunjuk-Nunjuk

Adik-adik penuntut ilmu yang dikasihi. Kita bukanlah ingin bertanding siapa lebih bijak. Tetapi jadilah seorang yang merendah diri dalam apa jua perkara.

Apatah lagi bila kita mendapat keputusan yang cemerlang atau kita sangat hebat dalam sesuatu bidang maka janganlah bertujuan untuk menunjuk-nunjuk kepada orang lain.

Malah, jangan pula berniat untuk menguji para murobbi kita yang telah bertungkus-lumus mendidik kita sehingga berjaya. Ingatlah, ilmu yang baik akan membentuk keperibadian jiwa dan jasad yang baik.

#3- Sanggup Berpenat Lelah Dalam Usaha Menuntut Ilmu

Belajar sememangnya memerlukan usaha yang sangat gigih untuk memperoleh hasil yang baik. Namun, tidak semua orang yang belajar sanggup memikul bebanan lelah menuntut ilmu itu.

Malah, ada sahaja yang berhenti di tengah jalan kerana berputus asa dengan ujian sepanjang menuntut ilmu. Setiap orang tidak sama ujian yang diberi namun saya percaya Allah beri kita pilihan yang terbaik sebelum melakukan keputusan.

Kita sememangnya perlu bertawakal dengan aturan Allah namun kita juga mesti ingat bahawa Allah dalam sangkaan hamba-Nya.

Sentiasalah bersikap optimis dalam mencapai kejayaan. Moga penat lelah dalam menuntut ilmu menjadi sebab kita dimasukkan ke dalam syurga kelak. Amin.

#4- Banyakkan Membaca Buku

Dalam menuntut ilmu, perkara yang kita tidak boleh lari adalah dengan membaca buku. Buku adalah kawan terbaik di saat apa jua emosi kita.

Contohilah sikap buku yang diam-diam tetapi berisi. Penuh dengan pelbagai ilmu yang boleh digarap ketika membacanya. Segala bentuk idea dan kefahaman kita adalah bermula daripada membaca buku.

“Jagalah tubuh kamu agar tetap sihat dan bugar dengan cara berolahraga. Dan jagalah otak kamu agar tetap sihat dan cerdas dengan cara membaca buku.”

#5- Contohi Tokoh Ulama Dalam Menuntut Ilmu

Setiap orang mempunyai idola dalam hidup mereka. Maka, adik-adik penuntut ilmu lebih wajib lagi sentiasa menjadikan tokoh ilmuan dan para ulama sebagai idola dan inspirasi dalam menuntut ilmu.

Sebagai contoh, Imam Ahmad Ibn Hajar Al-Asqalani, Imam An-Nawawi, Imam Al-Qurtubi, Imam Ibn Hajar Al-Haitami, Imam Al-Hujjah Zakariyya Al-Ansari, Imam Abu Bakar Baqilani, Imam Nasafi, Imam Syarbini, Abu Hayyan al-Nahwi dan Imam Syafie.

Masya-Allah! Ramainya tokoh ilmuan Islam yang kita belum kenali dengan lebih mendalam. Malah ada ramai lagi yang saya tidak tulis nama tokoh ilmuan yang begitu banyak memberi sumbangan buat Islam.

Kesimpulan

Mari kita memperbaharui niat kita bersama agar setiap apa yang kita lakukan mendapat tempat di sisi-Nya.

“Katakanlah (wahai Muhammad): “Mahukah Kami khabarkan kepada kamu akan orang-orang yang paling rugi amal-amal perbuatannya? (Iaitu) orang-orang yang telah sia-sia amal usahanya dalam kehidupan dunia ini, sedang mereka menyangka bahawa mereka sentiasa betul dan baik pada apa sahaja yang mereka lakukan.” Surah Al-Kahfi : 103 -104

Wallahua’lam


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Rasyidah Rahmat

Rasyidah Rahmat

Suka mencuba perkara baru dan sangat meminati bidang penulisan dan membaca buku dalam semua genre. Karya pertama yang diterbitkan iaitu dalam siri antologi cerpen Negeri Terengganu. Merupakan mahasiswa tahun akhir sarjana muda syariah di UIN STS Jambi, Indonesia.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami