Keluarga

5 Tips Bagi Anda Membina ‘Rumahku, Syurgaku’

Oleh Anas  •  8 Jul 2017  •  4 min baca

Sebuah rumah diibaratkan seperti seorang manusia yang hidup bersama kita. Bersamanya kita mencipta memori suka dan duka.

Semasa dekat, kita mengecapi kebahagiaan, keselamatan dan keselesaan. Semasa jauh, kita merasa rindu dan mahu pulang kepadanya.

Berikut adalah 5 tips untuk menjadikan rumah kita sebuah syurga dunia;

#1 – Memilih Kediaman Yang Baik

Memilih sebuah “syurga” dilakukan sejak awal pemilihannya. Sekiranya boleh, cuba cari kediaman yang berhampiran dengan masjid atau pun surau.

Elakkan mencari rumah di kawasan berhampiran tempat-tempat maksiat atau berbahaya seperti kawasan berkadar jenayah yang tinggi.

Usahakan juga kediaman di dalam kejiranan yang baik. Mungkin agak sukar untuk mengetahui siapa jiran yang baik atau pun tidak.

Maka, cuba datang ke kawasan itu sekali-sekala untuk melihat dan bertemu bakal-bakal jiran. Saiz sesebuah rumah tidaklah penting. Namun, perlu ada bilik khas untuk ibu bapa, anak lelaki dan anak perempuan.

Kerjakanlah solat istikharah supaya Allah memimpin dan memberi petunjuk dalam memilih kediaman yang terbaik kita dan keluarga kita.

Dalam kekangan, mungkin menyebabkan kepentingan pemilihan rumah seperti yang dinyatakan tidak dapat diikuti. Maka, pilihlah mengikut keperluan, berdoa dan berserah kepada Allah yang Maha Kuasa.

#2 – Mencipta Suasana Iman Di Dalam Rumah

Jadikan rumah sebagai tempat untuk mengingati Allah. Pastikan rumah dalam keadaan bersih dan selesa untuk beribadat.

Lakukan solat berjemaah bersama ahli keluarga. Ia bukan sahaja memupuk sifat kasih-sayang dan bersatu antara ahli keluarga, malah pahalanya juga berganda.

Selain itu, banyakkan membaca Al-Quran di rumah selain berzikir. Anda juga boleh kerap memasang bacaan Al-Quran dan rancangan berkaitan agama.

Adakan juga perbincangan berkaitan agama atau perkongsian ilmu. Didiklah ahli keluarga menjadi orang yang beriman.

Anda boleh menyediakan ruang khas atau sekurang-kurangnya sebuah rak sebagai permulaan membina perpustakaan mini di dalam rumah. Jadikan rumah anda sebagai gedung ilmu.

Sekiranya berkesempatan atau berkemampuan, bolehlah menjemput ahli agama dan mereka yang berminat untuk belajar agama di rumah anda.

Selain mendapat ilmu, anda juga dapat membina tali silaturrahim atas rasa cinta kepada Allah. Pendek kata, isilah rumah dengan hal-hal yang mengingatkan diri kepada Allah.

#3 – Menjaga Akhlak

Setiap ahli di dalam keluarga bertanggungjawab sebagai khalifah Allah. Setiap orang perlu sama-sama menghormati satu dengan yang lain.

Mesti bersama-sama berganding bahu dalam menjaga setiap ahli keluarga. Bersifat lemah-lembutlah dan penuhi diri dengan kasih-sayang.

Sekiranya anda perlu menggunakan sesuatu, mintalah izin. Begitu juga semasa hendak masuk ke dalam bilik terutama bilik ibu bapa anda.

Dapatkan keizinan daripada mereka. Perlu bersama-sama menguruskan kebersihan dan kekemasan rumah. Hiaslah rumah mengikut kemampuan tanpa berlebih-lebihan.

Jika anda tidak boleh solat atau berpuasa, jangan pula mengganggu orang lain yang sedang bersolat atau berpuasa.

Hormati dan mudahkan urusan ibadat mereka. Sama-samalah membantu satu sama lain dalam memperolehi pahala dari Allah s.w.t.

Sekiranya ada salah faham, selesaikan ia dengan hikmah. Biasakan diri untuk meminta maaf dan memaafkan.

Masing-masing mesti saling ingat-mengingatkan dalam hal kebaikan. Bersatu teguh, bercerai roboh.

Jangan mudah mendengar khabar yang boleh mengundang kebencian dalam keluarga. Begitulah kuatnya sebuah keluarga di dalam rumah syurga.

#4 – Menghindari Kejahatan

Perkara atau perangai buruk hanya akan merosakkan sesebuah keluarga bahagia.

Jagalah hubungan seperti tidak membawa bukan muhrim di rumah tanpa kehadiran ibu bapa atau ahli keluarga lain atau tanpa kebenaran.

Hindarkan diri daripada perbuatan sia-sia dan berdosa seperti mengambil dadah, merokok atau menonton video lucah.

Usah mencemarkan identiti diri seorang Muslim dengan membawa unsur-unsur maksiat di dalam rumah.

Perbuatan tidak baik bukan sahaja merosakkan diri sendiri, jauh dari Allah, malah seluruh ahli keluarga juga akan menerima kesan daripada sikap anda. Adalah amat malang andai sebuah rumah hilang keberkatannya.

#5 – Mengikut Amalan Di Rumah Yang Dianjurkan Islam

Ada beberapa perkara yang boleh diamalkan seperti;
#1- Memberi salam ketika hendak masuk rumah walaupun tiada sesiapa di rumah,
#2- Membaca “bismillah” sebelum masuk ke dalam rumah,
#3- Membaca Surah Al-Baqarah

Rumah yang diimpikan sebagai syurga memerlukan usaha setiap ahli di dalamnya. Usaha yang dilakukan bersama-sama pasti akan menjadikan impian lebih mudah untuk dicapai.

Maka, tanamlah sifat rasa bertanggungjawab di antara satu dengan yang lain. Sekecil mana pun sumbangan kita, ia tetap besar dalam mengisi ruang yang melengkapkan sebuah impian.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Anas

Seorang penulis yang suka bereksperimentasi dengan pelbagai bidang dalam penulisan. Pernah menulis buku kanak-kanak dan juga majalah.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami