Gaya Hidup

5 Tanda-tanda Hari Berakhirnya Dunia Ini Semakin Dekat

Oleh Fajrul Islam  •  8 Mar 2016  •  4 min baca


Setiap individu muslim yang berakal sejahtera diwajibkan percaya hari kiamat, iaitu hari pengakhiran dunia itu akan tiba.

Hari kiamat itu juga adalah hari kemusnahan dan kebangkitan seperti yang diceritakan dalam Al-Qur’an, iaitu surah Al-Qari’ah, Al, Zalzalah (Kegoncangan), Al-Qiyamah, Al-Insyiqaq (Terbelah), Al-Taghabun (Hari Dinampakkan Kesalahan), Haqqah, Al-Waqiah dan banyak lagi.

Namun, tidak seorang pun akan tahu bilakah sebenar-benarnya tarikh berlakunya hari kiamat itu. Kebaikannya, kita boleh sentiasa beringat untuk mentaati Allah dan menjauhi segala maksiat.

Sekiranya Allah memberitahu akan tarikh berlaku hari kiamat, kita mungkin bertangguh untuk meninggalkan perkara yang dilarang.

Firman Allah dalam surah Al-Ahzab, ayat 63:

“Manusia bertanya kepadamu (Muhammad) tentang hari kiamat. Katakanlah, “Ilmu tentang hari kiamat itu hanya di sisi Allah.” Dan tahukah engkau, mungkin sahaja hari kiamat itu sudah dekat waktunya.”

Sebelum datangnya hari kiamat, petanda-petanda kiamat itu terbahagi kepada dua; kiamat besar dan kiamat kecil. Antara petanda-petanda kiamat besar itu seperti peristiwa matahari terbit di barat, munculnya dajjal, turunnya Nabi Isa dan Imam Mahdi dan lain-lainnya.

Namun, kita akan bincangkan tanda-tanda kiamat kecil dahulu dalam artikel ini.

Dari Auf b. Malik r.a., katanya, “Rasulullah s. a. w. telah bersabda:

“Aku menghitung enam perkara menjelang hari kiamat.” Baginda menyebutkan salah satu di antaranya, iaitu penaklukan Baitulmuqaddis.” Sahih Bukhari

Selain daripada peristiwa penaklukan Baitulmuqadis, lain-lain tanda kiamat kecil adalah:

1. Ilmu Akan Terangkat

Ibnu Kathir dalam kitab karangannya “Huru Hara Hari Kiamat” ada menyebut tentang peristiwa tercabutnya ilmu dengan meninggalnya para Ulama. Diriwayatkan dalam sebuah hadith sahih riwayat Abdullah bin Amr, sabda Rasulullah S.A.W.

“Sesungguhnya Allah S.W.T takkan mencabut ilmu dari umat manusia begitu sahaja, tetapi Dia mencabutnya dengan matinya para Ulama, sehingga benar-benar sudah tidak ada lagi seorang pun yang berilmu, maka manusia mengangkat para pemimpin yang jahil.

Para pemimpin itu ditanya, mereka memberi fatwa tanpa ilmu. Dengan demikian mereka sesat dan menyesatkan.

Oleh itu, Allah mengangkat ilmu dengan mengambil nyawa-nyawa para ilmuan. Dan petanda ini jelas kelihatan telah berlaku pada zaman ini.

2. Arak Diminum Berleluasa

Arak atau khamar adalah minuman yang memabukkan atau menghilangkan kesedaran akal. Orang yang meminum arak akan dikenakan hukuman 40 sebatan sehingga 80 sebatan.


Sabda Nabi Muhammad SAW:

“Arak adalah ibu segala maksiat dan ianya adalah maksiat paling mengaibkan.”Kitab Sunan Ibnu Majah

Zaman ini, gejala minum arak dan sudah berleluasa dan meninggalkan impak yang negatif. Dunia sering dikejutkan dengan banyak kes kemalangan melibatkan pemandu mabuk, kes penderaan isteri dan anak serta banyak lagi.

Segalanya berpunca dari akibat meminum arak. Sebagai umat Islam, lebih baik kita menjauhi minuman keras yang selalu digelar sebagai air kencing iblis ini.

3. Zina Berleluasa

Zina pula adalah suatu perbuatan yang melanggar tata cara kehidupan yang ditentukan Allah. Perbuatan pelaku zina terbahagi kepada dua iaitu muhsan, iaitu mereka yang sudah berkahwin dan ghair muhsan iaitu mereka yang belum berkahwin.

Orang yang melakukan zina akan direjam manakala yang belum berkahwin pula akan disebat sebanyak 100 kali dan diasingkan selama satu tahun ke suatu tempat yang lebih daripada 90km.

Dari Abdullah bin Umar RA, beliau berkata bahwa Rasulullah SAW bersabda,

“Kiamat tidak akan terjadi sampai orang-orang bersetubuh di jalan-jalan seperti himar (keldai).”

Aku (Ibnu ‘Umar) berkata, “Apa betul ini akan terjadi?”

Beliau lantas menjawab, “Ya, ini sungguh akan terjadi.”

4. Fitnah Berleluasa

Fitnah adalah punca berlakunya perpecahan, kekerasan, penindasan dan malapelaka. Biasanya fitnah berlaku kerana ingin merebut pangkat, harta dan manusia.

Sabda Hadis Rasulullah SAW:

“Hari kiamat tidak akan terjadi kecuali setelah dua golongan besar saling berperang sehingga pecahlah peperangan hebat antara keduanya padahal dakwah mereka adalah satu.” Shahih Muslim

5. Pembunuhan Berleluasa

Akhir sekali, petanda yang sering hangat di dada akhbar dan kaca televisyen iaitu kes pembunuhan. Pembunuhan yang sengaja dengan bermaksud membunuh akan dikenakan qisas iaitu hukuman balas semula dengan hukuman mati.

Rasulullah SAW bersabda:

“Tidak akan terjadi hari kiamat kecuali setelah banyak peristiwa haraj.

Mereka bertanya: Wahai Rasulullah, apakah haraj itu?

Beliau menjawab: Pembunuhan, pembunuhan.” Sahih Muslim

Kelima-lima tanda hari berakhirnya dunia ini sudah mula kelihatan. Apakah yang kita dapat lakukan adalah segera persiapkan amal kebajikan dan berhenti melakukan dosa-dosa sebelum datangnya hari kiamat di mana waktu untuk kita diampunkan sudah tertutup rapat.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Fajrul Islam

Fajrul Islam Baharudin, seorang pelajar jurusan Usuluddin di Universiti Al-Azhar Mesir, seorang hamba Allah yang cinta akan ilmu dan seorang pengembara mencari hakikat.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami