Remaja

5 Remaja Muslim Yang Mendapat Liputan Dunia

Oleh Marina  •  4 Apr 2017  •  4 min baca

Selain tokoh remaja Muslim pada zaman Rasulullah SAW, para sahabat, tabi’ dan tabi’in, terdapat juga kalangan remaja Muslim pada zaman moden kini yang boleh kita teladani akhlak dan sikapnya. Bahkan, mereka juga turut mendapat liputan dunia kerana ada sumbangan dan perkara menarik mengenai mereka.

Siapakah mereka? Berikut dikongsikan bersama;

#1 – Ahmad Ammar

Kehidupannya sama seperti remaja Muslim yang lain, gemar bersukan, melakukan hobi yang disukai dan pelbagai aktiviti lain. Ahmad Ammar bin Ahmad Azzam, anak kelahiran bumi Malaysia ini telah mencetuskan fenomena dunia suatu ketika dahulu serta mendapat liputan yang cukup meluas.

Ini kerana, beliau adalah satu-satunya anak muda dari Malaysia yang dikebumikan di Perkuburan Eyyub Sultan di Turki pada 2 November 2013 bersamaan 1 Muharram 1435H.

Pemergiannya sungguh menghidupkan jiwa anak muda yang masih bernyawa untuk terus berbakti kepada ummah dengan sikap dan akhlak Muslim seperti yang diamalkannya sewaktu hidup dahulu.

#2 – Khairul Idham

Juara Moto3 Grand Prix Jerman, Khairul Idham merupakan anak kelahiran bumi Malaysia yang memenangi pertandingan lumba motor di Litar Sachsenring, Jerman pada 17 Julai 2016. April 2016, pemuda berusia 17 tahun itu berjaya melakar kemenangan dalam Grand Prix Argentina.

Selain menjadi juara dunia pada pertandingan tersebut, beliau turut mengharumkan nama Islam di mata dunia. Ini kerana setiap kali kemenangan, juara akan ‘dimandikan’ dengan air minuman keras di atas pentas.

Tetapi, dengan nilai dan akhlak Islam yang ada dalam jati diri Khairul, beliau segera mengelak daripada terkena semburan minuman keras tersebut.

“Saya memang mengelak dan menghindarkan diri dari semburan minuman keras itu dan ke mana saja saya pergi, jati diri sebagai umat Islam tetap berada di tempat teratas,”

kata Khairul Idham pada wartawan.

#3 – Halima Aden

Halima Aden berusia 19 tahun, ketika menjadi sebutan suatu masa dahulu kerana dia merupakan peserta pertama wanita yang mengenakan hijab dalam pertandingan ratu cantik Miss Minnesota Amerika Syarikat (AS).

Kemunculannya itu telah mendapat tepukan gemuruh penonton sebaik sahaja pengacara majlis mengumumkan, ‘dia mencipta sejarah malam ini’ kerana mengenakan pakaian mandi Muslimah ketika pusingan mandi dalam pertandingan tersebut.

Serta-merta namanya menjadi bualan di laman sosial Twitter dan Facebook. Beliau juga menerima pujian daripada netizen di seluruh dunia, terutama umat Islam.

Halima yang berjaya sampai ke peringkat separuh akhir pertandingan itu berkata, dia mahu menggunakan pertandingan tersebut sebagai peluang untuk memperbetulkan kesilapan pandangan atau persepsi orang bukan Islam terhadap Islam.

#4 – Harris J

Bagi mereka yang menggemari muzik berunsurkan Islam, sudah tentu pernah mendengar nama Maher Zain, Raef, Mesut Kurtis dan kini diikuti pula oleh Harris J.

Remaja berasal dari Chelsea, Inggeris ini memiliki bakat nyanyian sejak usianya 5 tahun. Beliau juga sering membuat persembahan dan pelbagai konsert amal di Inggeris.

Bahkan, beliau turut dicalonkan sebagai seniman muzik yang akan mengangkat muzik Islam di mata dunia kelak. Lagu nyanyiannya seperti Salam Alaikum, Promise, Rasulullah, You are my life, dan lain-lain, membuatkan kita dekat dengan Allah swt, Rasulullah saw dan kedua ibu bapa yang membesarkan kita jika dihayati seni lirik dan penyampaiannya.

Benarlah, dakwah itu bukan hanya disampaikan dari meja kuliah.

#5 – Fatih Seferagic

Fatih Seferagic, anak muda kelahiran Jerman yang dilahirkan pada 2 Mac 1995 ini bukanlah selebriti filem. Usianya baru 19 tahun, tetapi kepandaiannya mengaji dan melantunkan ayat-ayat suci al-Quran dikagumi rakan sebayanya.

Beliau berjaya menghabiskan hafazannya ketika berusia 12 tahun lagi. Lebih mengkagumkan adalah komuniti tempat tinggal yang beliau duduki terdiri daripada kalangan masyarakat beragama Kristian. Selain mendalami ilmu agama, beliau turut aktif berorganisasi dan menjadi Ketua Pemuda Masjid Shaykh Yasir Birjas Di Dallas, Texas.

Ini hanyalah 5 daripada beribu-ribu remaja zaman ini yang berjaya membentuk keperibadian dan jati diri mereka sebagai seorang Muslim.

Mereka bukan sahaja mengharumkan komuniti Muslim di negara masing-masing, bahkan mengharumkan nama ‘Islam’ di pentas dunia.

Uwais Al-Qarni, ya itulah nama yang menjadi sebutan di langit dunia kerana khidmat bakti usia mudanya kepada ibu tersayang. Moga kita juga dapat mencontohi remaja-remaja Muslim ini dalam mengemudi kehidupan hingga akhir hayat nanti. Wallahua’alam.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Marina

Marina

Merupakan graduan dari UNISZA, Terengganu dalam bidang Pengajian Islam dengan hasrat menggabungkan pelbagai pengetahuan dan kemahiran yang dimiliki untuk manfaat komuniti. Menulis adalah salah satu dari minatnya dan beliau turut menghasilkan sebuah karya pertamanya yang berjudul , '' Himpunan Kisah Kaum-Kaum Binasa''.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami