Hukum

5 Prinsip Maqasid Syariah Menyempurnakan Kehidupan

Oleh Natirah Azira  •  24 Mar 2020  •  3 min baca

Banyak definisi yang diberi kepada maqasid syariah antaranya yang disebut sebagai, tujuan yang dikehendaki oleh agama ketika mensyariatkan sesuatu hukum bagi menjamin kemaslahatan manusia.

Menurut Ahmad Al-Raisuni pula, maksud maqasid ialah “matlamat-matlamat yang ingin dicapai oleh syariat demi kepentingan umat manusia”

Antara hal yang sering disebut dalam maqasid syariah ini adalah pembahagian di bawah cabang daruriyat al-khamsah (Tujuan Asas Yang 5). Ia dipelopori oleh Imam al-Ghazali. Menurut beliau,

“Tujuan syariat itu ada lima iaitu untuk memelihara agama, nyawa, keturunan, harta dan akal”

Secara ringkasnya, lima perkara ini lah yang menjadi tujuan serta asas dalam apa jua perintah dan larangan dalam Islam.

#1- Memelihara Agama

Ia prinsip yang paling utama untuk dipelihara berbanding prinsip-prinsip yang lain. Contohnya adalah kewajipan keluar berperang bagi mempertahankan Islam (bagi mereka yang memenuhi syarat dan mendapat arahan daripada pemerintah).

Usaha sebegini banyak dilakukan ketika zaman Islam baru hendak berkembang dan ketika umat Islam ditindas dan negara Islam diserang oleh musuh.

#2- Memelihara Nyawa

Ia adalah prinsip kedua terpenting selepas menjaga agama. Ini kerana jika nyawa tidak terpelihara maka tidak ada lagi yang akan mengurus tadbir dan menjalankan pembangunan sosial, ekonomi dan negara.

Justeru, Islam sangat menitik beratkan soal penjagaan nyawa diri sendiri serta orang lain – tidak mencampakkan diri ke dalam kebinasaan. Disebabkan itu, Islam mewajibkan perbuataan menyelamatkan nyawa orang lain yang sedang dalam bahaya.

#3- Memelihara Akal

Akal adalah anugerah yang diberikan oleh Allah kepada manusia yang menjadikannya lebih mulia daripada makhluk-makhluk lain. Dengannya manusia mampu berfikir dan melakukan pertimbangan dalam mengurus diri dan kehidupan.

Hukum hakam yang telah ditetapkan oleh Allah juga bertujuan untuk menjaga akal supaya dapat berfungsi dengan baik.

Contohnya, Islam bukan hanya melarang minum arak yang jelas diketahui dapat merosakkan akal, malah Islam juga melarang sebarang perbuatan yang dapat memberikan kesan buruk kepada otak dan akal seperti tidak tidur dan tidak mendapat rehat yang cukup. Perkara ini jelas memberikan kesan kepada otak jika dilakukan dalam tempoh jangka masa panjang.

#4- Memelihara Keturunan

Selain itu, hukum hakam yang perlu diikuti oleh manusia juga bertujuan memelihara keturunan. Contohnya, Islam melarang perbuatan zina dan sumbang mahram. Kita tahu kesan buruk perbuatan tersebut yang dapat memporak perandakan institusi kekeluargaan dan masyarakat.

Selain itu, seiring perkembangan masa dan teknologi yang ada mewujudkan bank sperma, Islam juga mengharamkan daripada menggunakan benih daripada lelaki lain dan menjadi ibu tumpang.

#5- Memelihara Harta

Prinsip yang terakhir adalah memelihara harta. Bermakna hukum hakam yang ditetapkan dalam Islam juga bertujuan menjaga harta dan hak-hak manusia. Ia merangkumi bagaimana sesuatu harta itu diperoleh dan digunakan tidak kira dari segi duit atau barang.

Contohnya Islam melarang perbuatan mencuri, menipu hak orang lain, mengambil tanpa kebenaran dan sebagainya.

Walau bagaimanapun penting untuk difahami bahawa maqasid bukanlah sumber hukum utama. Maka tidak seharusnya seseorang terus melangkah kepada maqasid untuk dijadikan rujukan yang pertama.

Yang perlu dinilai mengikut turutan yang lebih utama pastilah apa yang termaktub dalam Al-Quran serta terakam dalam hadis-hadis. Maqasid hadir sebagai prinsip atau ‘guideline’ yang dapat menyempurnakan.

Rujukan:
Mufti Wilayah Persekutuan


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Natirah Azira

Beliau merupakan graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Al-Quran dan Sunnah. Pernah mendalami bidang Psikologi selama dua tahun dan sekarang sedang menyambung pengajian peringkat Ijazah Sarjana dalam bidang Kaunseling di Universiti Sains Malaysia.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami