Wanita

5 Perkara Yang Dianggap Remeh Oleh Wanita Dalam Berfesyen

Oleh Fathanah Shafee  •  23 Oct 2020  •  3 min baca

Kebanyakan wanita zaman moden suka memakai pakaian mengikut trend semasa sehingga tidak sedar bahawa sesetengah pakaian tersebut tidak menepati syariat Islam.

Tidak salah untuk mengikut trend atau mencuba sesuatu yang baru bagi menambah keyakinan kepada diri sendiri, namun ia perlu mematuhi syariah dan mengikut apa yang telah Islam ajarkan.

Bukankah sebaik-baik perhiasan di atas muka bumi ini adalah wanita solehah? Jadi, dalam masa anda berfesyen, cuba juga untuk mengekalkan identiti sebagai wanita muslim.

Dalam berfesyen, ini ialah perkara yang perlu dititikberatkan tetapi sering dipandang remeh oleh wanita;

#1 – Berpakaian Mengikut Bentuk Tubuh

Wanita tidak dibenarkan memakai pakaian ketat yang boleh menampakkan bentuk tubuh badan.

Jika diamati gaya sesetengah wanita hari ini, ada di antara mereka yang suka memakai pakaian yang menampakkan bentuk dan lekuk anggota badan.

Kadang-kadang, bukan salah baju itu sendiri kerana ada sahaja saiz yang lebih longgar dan bersesuaian dengan badan sendiri, namun bagi sesetengah mereka pakaian yang longgar dan labuh boleh membuatkan mereka kurang yakin atau akan kelihatan gemuk.

Sedangkan dengan memakai pakaian yang longgar, kita sebenarnya boleh melindungi diri sendiri daripada pandangan yang tidak elok.

Dalam sebuah hadis yang telah diriwayatkan oleh Baginda SAW ada menyebut mengenai perihal ini;

Maksud: “Dua golongan termasuk ahli neraka ialah wanita-wanita yang berpakaian separuh bogel (kerana memakai pakaian yang nipis atau yang menampakkan susuk badan).” (Hadis Riwayat Muslim, no. 2128)

#2 – Memakai Tudung Tetapi Menampakkan Leher

Leher juga termasuk dalam bahagian aurat yang wajib ditutup oleh wanita. Justeru, wajib ke atas kaum wanita untuk menutup bahagian tersebut dengan baik.

Trend sekarang adalah dengan mengenakan tudung yang pinless atau bersahaja tanpa menitikberatkan perihal leher.

Boleh sahaja untuk mengikut fesyen tersebut, namun bahagian itu juga perlu ditutup sama ada dengan anak tudung kecil (inner) untuk mengelakkan ia daripada terdedah.

#3 – Tudung Yang Tidak Menutup Bahagian Dada

Ramai yang menyangka auratnya telah sempurna apabila memakai tudung dan tidak menampakkan leher sedangkan tudung tersebut tidak dilabuhkan sedikit ke paras dada.

Dalam menutup aurat amatlah digalakkan melebihkan sedikit bagi kaum wanita. Bukankah dalam firman Allah ada disebut bahawa wanita perlu melabuhkan tudungnya sehingga ke paras dada.

Mafhum: “Wahai nabi, suruhlah isteri-isterimu dan anak-anak perempuanmu serta perempuan-perempuan yang beriman, supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (semasa mereka keluar).” (Surah Al-Ahzab, 33:59)

#4 – Menampakkan Pergelangan Tangan

Jangan dilupa akan pergelangan tangan kerana ia juga merupakan aurat untuk wanita. Dalam sebuah hadis yang telah diriwayatkan dari ‘Aisyah RA, beliau berkata;

Maksud: “Asma’ Binti Abu Bakar pernah menemui Rasulullah SAW dengan memakai pakaian yang nipis. Maka Rasulullah pun berpaling darinya seraya berkata: “Wahai Asma’, sesungguhnya seorang wanita itu apabila sudah haid (baligh), maka tidak boleh terlihat dari dirinya kecuali muka dan kedua telapak tangan.”  (Hadis Riwayat Abu Daud, no. 4104)

#5 – Sarung Kaki Tidak Dipakai

Pandangan ulama menyebut bahawa kaki adalah aurat bagi wanita. Kita dapat lihat ia apabila jika terdedah bahagian kaki, maka tidak sah solatnya.

Ada sebuah hadis yang telah diriwayatkan bahawa Ummu Salamah RA pernah bertanya kepada Rasulullah SAW;

Maksud: “Adakah boleh seseorang itu solat dengan memakai baju dan penutup kepala (tudung) sahaja tanpa memakai izar (kain yang dipakai di bawah badan)?

Rasulullah SAW menjawab: “Boleh. Jika baju itu labuh menutupi kedua-dua belah kaki.” (Hadis Riwayat Abu Daud, no. 640)

Kesimpulan

Oleh itu, bersopan santunlah dalam berpakaian. Teliti dahulu cara pemakaian kita sebelum keluar rumah.

Kebanyakan kaum wanita sudah mengetahui batas-batas aurat tersebut namun ia dianggap remeh dan sering diabaikan.

Ayuh para wanita sekalian, kita berfesyen dengan cara yang diredai Allah, iaitu patuh syariat agar sentiasa berada dalam lindunganNya.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Fathanah Shafee

Fathanah Shafee

Merupakan penulis buku Antologi Sajak Bicara Langit Dan Awan, Semangat Hijrah Jiwa Merdeka dan Novel Rajaqna terbitan BETA. Salah seorang ahli Booktuber Malaysia di bawah kelolaan Hafiz Latiff dan Aman Wan. Ingin menyebarkan dakwah melalui penulisan dan video. Jazakillahu khair

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami