Berita, Sejarah

5 Perkara Menarik Yang Anda Perlu Tahu Mengenai Jawi

Oleh Fizah Lee  •  21 Feb 2020  •  4 min baca

Tulisan Jawi atau bahasa Jawi? Sering kita dengar ada yang menyebut jawi sebagai sebuah tulisan dan ada juga yang menggelarnya sebagai bahasa. Jadi, mana satu yang benarnya? Berikutan dengan sebuah program yang telah dianjurkan oleh Akademi Jawi Malaysia, iaitu ‘The Science of Bahasa Jawi – An Introduction’ telah mengulas berkenaan Jawi dan sejarahnya.

Penyampaian yang telah diberikan sendiri oleh Encik Muhammad Syukri Rosli selaku Pengerusi dan Pengasas Akademi Jawi Malaysia di Mukha Cafe, TTDI semalam menerangkan bahawa Jawi merupakan salah satu disiplin ilmu yang perlu difahami secara menyeluruh. Ia mempunyai sekurang-kurangnya 12 disiplin ilmu sendiri seperti sejarah, ketokohan, khat, morfologi, fonetik dan sebagainya.

Terdapat lima perkara menarik yang anda perlu tahu berkenaan Jawi, termasuklah sama ada ia merupakan bahasa ataupun sekadar tulisan;

#1 – Asal-Usul Nama Jawi Daripada Jawa

Nama Jawi merupakan kata adjektif perkataan ‘jawah’ yang berasal daripada Bahasa Arab. ia merupakan nama bagi sebuah daerah di Asia Tenggara pada zaman purba, iaitu Javadwipa.

Melalui catatan oleh Ibnu Battutah dalam bukunya al-Rihlah yang menggelar sebagai al-Jawah. Orang Arab hanya mengambil sebahagian kata Java yang digunakan bagi merujuk seluruh Asia Tenggara, manakala kata ‘dwipa’ ditinggalkan.

Disebabkan itu, kata Jawah atau Jawi bukan sahaja merujuk kepada orang Jawa tetapi kepada semua bangsa dan kaum peribumi Asia Tenggara termasuklah seluruh rumpun Bahasa Melayu, Aceh, Banjar, Bugis, Lombok, Minangkabau dan lain-lain.

Istilah ini telah digunakan secara meluas di Malaysia, Singapura, Selatan Thai dan Brunei sebagai ‘tulisan Jawi’ manakala di Indonesia ia dikenali sebagai ‘tulisan Melayu huruf Arab’.

Ia wujud pada 1300 Masihi di Kepulauan Melayu dan perkembangannya berhubung kait dengan ketibaan Islam. Tulisan Jawi juga bermula daripada kesusasteraan Arab yang diperkenalkan oleh orang Parsi kepada kerajaan Melayu dan bertutur dalam bahasa Melayu Klasik.

#2 – Pernah Digunakan Sebagai Lingua Franca

Tulisan jawi ini telah digunakan secara meluas oleh orang Melayu dalam pelbagai bidang penulisan serta kesenian. Pada zaman dahulu kala, surat raja-raja Melayu menggunakan bahasa Jawi dan dihantar kepada raja-raja bukan Melayu seperti Portugal dan Inggeris, surat perjanjian di Nusantara, piagam dan teks pemasyhuran serta banyak lagi penggunaannya.

Batu bersurat di Terengganu yang ditemui di Kuala Berang juga terukir tulisan Jawi yang menerangkan mengenai hukum-hakam serta perundangan.

Bahkan, sehingga kini anak-anak kita masih lagi diajar tulisan jawi agar kesenian dan keunikannya tidak hilang ditelan zaman.

#3 – Tambahan Huruf Melayu-Arab

Pengislaman alam Melayu telah bermula pada 600 Masihi dengan penurunan Al-Quran dan munculnya Bahasa Arab baru dan Pusat Keilmuwan Islam pula telah ditubuhkan di Melaka dan Aceh pada 1400 Masihi. Di situlah bermulanya perkembangan tulisan dan bahasa jawi.

Syed Muhammad Naquib Al-Attas melalui kajiannya telah membawa perubahan kepada bahasa Jawi dan Arab melalui proses islamisasi. Ia merupakan proses untuk memperkenalkan konsep islamisasi terhadap bahasa.

Beliau merupakan tokoh yang mengkaji asal-usul munculnya aksara dan huruf Melayu-Arab (Jawi Melayu) yang digunakan pada hari ini. Kita dapat lihat terdapat lima aksara tambahan yang telah dimasukkan untuk memelayukan perkataan Jawi itu dengan campuran huruf Arab sendiri, iaitu;

#1 – ﭺ = ﺝ + ﺕ
#2 – ﭪ = ﺏ + ﻑ
#3 – ڽ = ﻥ + ﻱ
#4 – ﺝ = ݢ + ک
#5 – ڠ = ﻍ + ݢ + ﻥ

#4 – Tiga Cara Untuk Membaca Jawi

Untuk anda mahir bahasa Jawi, terdapat tiga cara yang betul untuk belajar membacanya yang telah dipermudahkan untuk kegunaan hari ini, iaitu;

#a – Ejaaan pada huruf yang sama

Ia juga disebut sebagai ejaan sembunyi sebagai contoh, bagi perkataan papan. Ia tidak dieja dengan memasukkan dua huruf Alif (فافان), namun dieja dengan ڤاڤن iaitu huruf ﺍ yang kedua disembunyikan kerana bacaannya sama dengan suku kata yang pertama (pa + pan).

#b – Ejaan selepas huruf د ﺭ ﻝ ﻭ ڠ

Mana-mana perkataan yang sebutan suku kata akhirnya berbunyi (a) sejurus selepas huruf د ﺭ ﻝ ﻭ ڠ, maka perlu diletakkan huruf ا. Contoh lain yang boleh dilihat adalah pada perkataan dada (دادا) dan jala (جالا).

#c – Ejaan pusaka

Ia merupakan perkataan asal bahasa Arab yang memang tidak diubah. contohnya نعمت.

Ketiga-tiga cara ini telah dievolusi oleh Syed Naquib Al-Attas sendiri yang mempermudahkan bacaannya kepada bahasa Jawi-Melayu pada awal tahun 1970-an. Sebelumnya, ia telah menggunakan Jawi-Arab sepenuhnya.

#5 – Tulisan Jawi Yang Masih Terpelihara

Semenjak tulisan Rumi semakin bertapak di Tanah Melayu, tulisan Jawi tetap dikekalkan dan dipelihara terutamanya untuk wacana keagamaan dan kebudayaan Melayu. Walau bagaimanapun, ia semakin berevolusi dan mengalami banyak perubahan daripada segi tatacara ejaan.

Selain itu, Dewan Bahasa dan Pustaka juga telah menggantikan hasil tulisan Za’ba kepada ‘Pedoman Ejaan Jawi Yang Disempurnakan’ pada tahun 1986 yang sebelumnya dikenali sebagai ‘Sistem Ejaan Jawi Za’ba’. Ia juga digunakan ke atas wang ringgit Malaysia.

Malaysia perlu mendidik generasi muda untuk menghargai dan mengekalkan tulisan jawi agar ia tidak ditelan oleh zaman.

Kesimpulan

Tulisan Jawi merupakan proses evolusi yang pernah menjadi alat terbesar sebagai proses komunikasi di Nusantara sehingga terkenal di seluruh negara. Bahasa Jawi yang wujud pula merupakan alat komunikasi yang digunakan di daerah Jawa.

Sebagai bangsa yang pernah menggunakan tulisan tersebut, kita patut berbangga dan menghargainya dengan mengelakkannya daripada pupus dan ditelan zaman.

Baca juga:
Wacana Jawi

Sumber:
Akademi Jawi Malaysia


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Fizah Lee

Merupakan seorang graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Bahasa Melayu untuk Komunikasi Antarabangsa. Seorang yang suka membaca bahan bacaan dalam bidang sejarah dan motivasi

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami